29 June 2013

Peluang tarbaik untuk ambil alih Terengganu

Jawatankuasa Himpunan Aman Blackout 505 perlu mengkaji untuk menambah ruang tuntutan pada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk lebih telus sempena PRK Kuala Besut akan datang.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata sekiranya tuntutan itu tidak dilaksanakan sebelum PRK Kuala Besut,

Husam  mencadangkan Himpunan Aman Blackout 505 meningkatkan lagi permohonan mereka sehingga akhirnya ia akan menjadi mercu tanda sebuah pilihanraya yang benar-benar bebas dan adil.

“Kita tidak mahu peristiwa PRU berulang lagi di sini pada pendapat saya tuntutan PRK yang adil lebih penting dari PRK itu sendiri," katanya.

Sambungnya, sekiranya tuntutan tetap tidak dilaksanakan, ada baiknya Pakatan Rakyat menolak untuk menyertai PRK itu.

Ini kerana katanya pembaikan sistem PRU lebih mustahak berbanding pilihanraya itu sendiri.

Bagaimanapun, jelasnya SPR perlu mengkaji untuk mengadakan teknik pengundian yang lebih telus berbanding perjalanan PRU lalu agar lebih bebas terhadap tentera.

Tegasnya, PAS perlu menjadikan tuntutan pilihanraya kali ini lebih bebas dari SPR melalui tentera dijadikan tuntutan penting sebelum PRK diadakan.

“Pada masa yang sama media sekali lagi kita tuntut supaya menjadi lebih bebas dan ini adalah ujian besar untuk SPR lebih telus dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Husam berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung PRK Kuala Besut yang akan diadakan nanti selepas Adunnya meninggal dunia dua hari lalu.

Pada masa yang sama beliau berkata Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut adalah ujian serta ruang penting  pada Pakatar Rakyat khususnya dalam usaha untuk menawan negeri itu setelah gagal baru-baru ini.

Jelasnya, rakyat Terengganu juga berpeluang melalui PRK untuk memperbetulkan pentadbiran kerajaan Terengganu untuk mendapatkan faedah dari habuah Royalti di negeri itu yang lebih memihak pada rakyat.

"Sekiranya PAS memenangi PRK itu, iaitu akan memperolehi 16 kerusi DUN (kini 15), berpeluang menggunakan kuasa yang ada untuk menuntut royalti sangat memberi kesan,”ujarnya.

28 June 2013

Menteri si Fening Lalat

KELMARIN saya tergamam apabila Menteri di JPM Menteri menyatakan di Dewan Rakyat tentang dakwat kekal mengandungi pewarna makanan yang dibenarkan. Tetapi kenyataan itu tidak mendesak saya untuk menulis biarpun saya janggal mendengarnya. 

HARI INI saya terkedu apabila Menteri Wilayah Persekutuan pula menyatakan Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti "negara dunia ketiga" lain. 

Saya kira kedua-dua kenyataan menteri tersebut terkeluar tajuk. Isunya ialah mengapa dakwat kekal yang digunakan oleh SPR dalam pilihan raya yang lalu tidak kekal, bukannya perlu atau tidak perlu menggunakan dakwat kekal?

Saya kira soal harapan rakyat untuk melihat dakwat kekal seperti yang dijanjikan tetapi tidak kekal adalah isu besar yang perlu dijawab oleh menteri yang bertanggungjawab dan SPR.

Oleh itu, kenyataan menteri di atas adalah satu jawapan yang pada saya menggambarkan bukannya negara kita dunia ketiga, tetapi komen pemimpin kita yang kelas ketiga. Buat apa kita membandingkan negara kita dengan dunia ketiga yang lain?

Jika kita kahu bandingkan pun, dari segi sistem pengundian, negara kita masih jauh mundur ke belakang. India dan Indonesia menggunakan dakwat kekal, tetapi tidak ada kecelakaan yang menimpa pengundi mereka.

Sebaliknya yang berlaku ialah sistem pilihan raya mereka dilihat demokratik, adil dan memenuhi aspirasi rakyat. Itu yang kita mahu—satu pilihan raya yang telus dan ada integriti supaya tidak timbul kontroversi seperti sekarang ini. 

Jika kita mahu bandingkan sistem pilihan raya kita dengan di negara maju, kedudukannya adalah jauh panggang dari api. Di negara maju, sistem pilihan rayanya adil dan bebas, medianya bebas dan pengurusan pilihan rayanya baik.

Di negara maju, mereka tidak lagi menggunakan dakwat kekal, tetapi menggunakan sistem biometrik. Apakah kita mampu menjadi seperti mereka atau telahpun mencapai tahap seperti mereka?

Baiklah, jika kita tidak mahu gunakan dakwat kekal, saya mahu cadangkan dalam pilihan raya yang akan datang, kita gunakan mesin mengesan cap jari.

Penggunaan mesin ini baik kerana selain dapat mengesahkan identiti pengundi, mesin ini juga secara automatiknya dapat menolak mereka yang cuba untuk mengundi dua kali. Mengapa timbulnya persepsi adanya pengundian dua kali ini?

Ini kerana keraguan kepada senarai pengundi SPR? Bilakah SPR dapat menyelesaikan persepsi rakyat yang negatif ini?

YB pemimpin, tolong selesaikan isu dakwat kekal ini dengan baik. Tolong jangan berikan jawapan yang berterusan mendungukan rakyat.

Setakat ini, saya lihat jawapan pemimpin adalah sama seperti pengail yang mengail, tetapi memilih menggunakan umpan yang tidak dimakan ikan.

26 June 2013

Kuala Besut : moga peristiwa KT 2008 berulang kembali

PAS bersedia menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut ekoran kematian wakil rakyatnya, Dr A Rahman Mokhtar, pagi tadi akibat sakit kanser paru-paru.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata PAS menantikan keputusan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan butiran lanjut perjalanan PRK itu.

"Seperti yang sedia maklum, akan ada PRK apabila berlaku kematian. PAS bersedia menghadapinya, dan menunggu pengumuman rasmi SPR tentang tarikh-tarikh penting, sebelum membuat sebarang keputusan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Katanya, selepas SPR memgumumkan tarikh rasmi bagi PRK itu, PAS akan bermesyuarat bagi membincangkan secara terperinci berkaitannya.

Allahyarham yang juga Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 pagi ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, allahyarham menang terhadap calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 Peratus Cina dan 0.1 peratus India. 

20 June 2013

#Black 505 Tentera akan dipanggil jika perlu

Polis akan meminta bantuan tentera jika keadaan memerlukan dalam menangani pelbagai perkara yang mungkin timbul andai pembangkang meneruskan perhimpunan mereka di ibu negara Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil langkah perlu bagi menghadapi perhimpunan yang dijangka diadakan di Padang Merbok itu.

"Setakat ini PDRM masih lagi mampu untuk kekalkan keamanan (negara).

Kami sentiasa berhubung dengan tentera dan sekiranya perlu tentera akan diminta turun membantu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Tamat Latihan Asas Konstabel Orang Asli PDRM di Ipoh hari ini.

Mengulas lanjut, Salleh menasihati orang ramai agar menjauhi perhimpunan itu yang jika diadakan adalah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

19 June 2013

Apa dah jadi : ramai wartawan keluar NST

Kakitangan akhbar New Straits Times hari ini terkejut apabila menyedari ramai rakan-rakan mereka meninggalkan akhbar berumur 167 tahun itu untuk menyertai laman The Malaysian Insider (TMI).

Menurut bekas editor kanan akhbar itu, Rocky Bru atau nama sebenarnya Datuk Ahirudin Atan, antara yang mungkin meninggalkan akhbar itu adalah Lionel Morais, editor jenayah kanan akhbar itu.

Enam orang wartawan NST dijangka menyertai Morais untuk memenuhi kelompongan di TMI yang ditinggalkan oleh Leslie Lau dan lebih dua puluh yang lain yang meninggalkan TMI.

"Berita baiknya, sehingga mereka mendapat pengganti Lionel dan pemberitanya, akan berlaku kejatuhan dalam kadar jenayah, sekurang-kurangnya di muka-muka akhbar NST," tulis Rocky .

Beliau juga mendapat maklumat, beberapa wartawan dari Singapura juga akan menyertai TMI.

Ketua Pegawai Eksekutif TMI, Jahabar Sadiq ketika dihubungi Harakahdaily mengesahkan perkara ini namun tidak menyatakan siapa yang akan menyertai beliau di TMI.

"Kita ambil sebahagiannya...semua orang nak masuk sini sekarang," kata Jahabar kepada Harakahdaily.

Seorang wartawan kanan NST ketika dihubungi mengesahkan mengenai hal ini."Terkejut jugalah kami kerana kita tidak tahu apa-apa sebelum ni," kata wartawan berkenaan.

Baru-baru ini, kira-kira 25 wartawan, perekabentuk dan jurugambar TMI dengan diketuai Eksekutif Editornya, Leslie Lau berhenti secara berkumpulan dari TMI.

Mereka akan menyertai satu laman baru yang dibentuk kumpulan The Malay Mail iaitu Malay Mail Online (MMO).

Namun, Jahabar berkata, beliau tidak akan berhenti bahkan akan meneruskan TMI.

TMI kini media online yang ke enam dari segi rankingnya sebagaimana yang dicerap oleh Alexa.com.

Malaysiakini nombor satu diikuti Sinar Harian (2), The Star (3), Harakahdaily (4), Utusan Online (5) dan TMI.

18 June 2013

Semuanya kerana mu Anwar

Pengerusi Umno Pulau Pinang Zainal Abidin Osman berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang paling layak untuk menjawab soalan berkaitan Menara Umno negeri yang didakwa dibina sebelum pelannya dihantar.

Anggota Parlimen Tanjung Ng Wei Aik semalam mempersoalkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan Gerakan sebelum ini yang didakwa membenarkan pembinaan Menara Umno sebelum pelannya dihantar atau diterima.

Ng mendakwa, kerajaan tempatan pada 23 Disember 1995 mengeluarkan permit khas kerja kepada kontraktor bangunan, dua tahun sebelum pelan pertama dihantar pada 31 Julai 1997 dan pelan pengubahsuaian pada 24 Julai 1998.

Pada 1 Oktober 1996, timbalan ketua Menteri pada masa itu Shariff Omar melawat bangunan itu dan "merestui" pembinaannya walaupun pelan bangunan belum dihantar, dakwa Ng.

Letak Jawatan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusuf tidak perlu menunggu Yang di-Pertuan Agong mengarahkan supaya meletak jawatan setelah mengakui kegagalan dakwat kekal, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Tujuan dakwat kekal ialah untuk memastikan pilihan raya yang bersih.

"Apabila Aziz mengakui dakwat tersebut tidak kekal, ia dengan sendirinya bermakna SPR mengakui ia gagal memastikan pilihan raya dijalankan dengan bersih.

"Tidak perlu tunggu Agong, itu sudah lebih dari mencukupi untuk menjadi sebab Aziz dan kepimpinan SPR sedar diri dan meletak jawatan," kata beliau.

Aziz dan SPR, kata Mahfuz, juga gagal menguruskan wang rakyat dengan sewajarnya.

"Apabila dakwat yang didakwa kekal itu terbukti tidak kekal, ia sekaligus kegagalan menguruskan wang rakyat kerana wang rakyat dibazirkan tanpa mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya.

Dalam pengakuannya bahawa dakwat yang didakwa kekal itu sebenarnya tidak kekal, Pengerusi SPR itu berkata: "Tetapi pada hari yang ditunggu-tunggu kuasa Allah lebih hebat apabila dakwat boleh hilang selepas beberapa kali dicuci, di mana silapnya?

"Dengan pengakuan itu, Mahfuz hairan mengapa Aziz dan kepimpinan SPR berpura-pura tidak boleh menilai sendiri bahawa majoriti rakyat semakin tidak percaya kepada mereka.

"Cara Aziz meletakkan beban kepada takdir Allah bukan sahaja menyebabkan rakyat semakin tidak percaya kepada SPR malah menyebabkan mereka semakin sakit hati.

"Amatlah tidak bermaruah jika Aziz dan seluruh kepimpinan SPR berdolak dalik untuk mempertahankan keengganan mereka meletak jawatan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Aziz sebelum ini berkeras menyatakan bahawa kepimpinan SPR tidak akan meletak jawatan sambil menyatakan hanya Agong yang berhak mengeluarkan arahan kepada mereka untuk meletak jawatan.

17 June 2013

Semua wajib turun #Black505

Para pimpinan PAS menggesa seluruh ahli dan penyokongnya agar turun ke Kuala Lumpur 22 Jun ini bagi menyertai perhimpunan terakhir Black505.

"Keputusan untuk menyertai himpunan ini bukan keputusan Husam Musa, bukan keputusan Haji Mohamad Sabu tetapi keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk menyokong Blackout505," kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa semua para pemuda agar jangan ragu untuk menyertainya.

"Andaikata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya Allah ia adalah syahid fi sabillah," tegas Husam Musa.

Tetapi, kata Husam, tidaklah menjadi niat PAS untuk terkorban dalam perhimpunan ini."Niat kita adalah penipuan pilihan raya mesti dihentikan dan sesiapa terlibat dengan penipuan ini mesti menerima tanggungjawabnya sekarang dalam sistem politik negara ini," tegas Husam.

"Kita boleh redha dengan kekalahan kita tetapi kita tidak diizinkan untuk redha dengan penipuan dan maksiat.

"Ini dua perkara yang berbeza. Kita boleh terima hakikat takdir yang telah ditentukan tetapi kalau penipuan demi penipuan, tiap-tiap kali pilihan raya Umno menang hanya dengan penipuan, wajib kita orang Islam tegak berdiri menentangnya," tegas beliau.

Menurut Husam, semua pihak dalam Pakatan Rakyat tidak boleh berdiam diri dengan penipuan yang dilakukan dalam pilihan raya umum lalu.

"Kalau kita berdiam diri kerana telah menang menguasai kerajaan (negeri), kita pengkhianat kepada perjuangan," kata Husam.

Sehubungan itu beliau bersyukur kerana semua hadir dalam pertemuann yang diadakan ini termasuk wakil kerajaan negeri Kelantan iaitu Datuk Ahmad Yakob

Beliau yakin undi yang diberikan oleh penyokong adalah untuk perjuangan bukan untuk mana-mana individu.

Husam juga menjelas, tujuan diadakan himpunan Black505 adalah untuk mencegah kemungkaran sebagaimana yang diminta oleh Allah.

Oleh itu, katanya, rakyat perlu bangkit menentangnya bagi memastikan penipuan tidak lagi berlaku dalam pilihan raya ke 14 dan 15 nanti.

Dalam ucapan itu juga, Husam berkata, tidak mustahil Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dalam masa terdekat.

"Kalau pengerusi SPR tak nak letak jawatan, Najib kena letak jawatan. Kalau kedua-dua letak jawatan, Alhamdulillah, itu lagi baik.

"Atas sebab itu, tidak mustahil Najib letak jawatan," tegas Husam.

Bagi beliau, dalam PRU 13 yang penuh dengan penipuan itu, orang yang paling kecewa adalah Najib kerana dengan perbelanjaan yang begitu besar, dengan penipuan yang diatur begitu rapi, kenangkitan rakyat melalui peti undi lebih besar dari yang dijangkakan.

"Kerana itu dia kecewa. Dalam politik moral, politik akhlak dan maruah, Datuk Seri Najib yang menang minoriti tidak layak untuk memimpin rakyat," tegas beliau.

Atas dasar itulah, katanya, himpunan Blackout505 akan diadakan di Kuala Lumpur 22 Jun ini bagi menuntut perubahan di negara ini.

16 June 2013

Jentera perang siber BN dilayan seperti kelas kedua

Unit Media Baru (UMB) yang menjalankan tugas perang siber Barisan Nasional (BN) mendakwa dilayan seperti kelas kedua, kata pengerusinya Tun Faisal Ismail Aziz, sambil mempertahankan mereka tidak wajar dipersalahkan kerana prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Tun Faisal berkata tidak adil hanya pihak mereka dipersalahkan kerana dikatakan memainkan peranan, sebaliknya mempersoalkan sikap pemimpin atasan yang lebih mementingkan blogger-blogger upahan yang mementingkan wang.

"Jangan bila ada peruntukan, beri pada orang lain. Bila mesyuarat, panggil orang lain. Bila makan-makan ajak orang lain. Bila jalan sana sini ajak orang lain. Bila ada maklumat bagi pada orang lain. Bila operasi turunkan orang lain. Bila buat latihan, bayar orang lain atau guna modul yang bukan cadangan UMB.

"Tetapi bila gagal, salahkan UMB. Banyak cantik...," tulis Tun Faisal dalam laman blognya tunfaisal.blogspot.com tetapi tidak merujuk secara khusus terhadap individu yang dimaksudkannya.

Tun Faisal juga mendedahkan UMB sering dijadikan "kambing hitam" oleh blogger upahan apabila berlaku sesuatu kegagalan dalam sesuatu misi walhal kumpulan tersebut menerima arahan dan peruntukkan daripada pihak atasan.

"UMB sering dijadikan scapegoat oleh pihak tertentu untuk menafikan kegagalan mereka," kata beliau.

"Mereka akan terus menyalahkan UMB sebagai jentera parti. Mereka akan kata kami bukan jentera parti, apa jentera parti buat? Sedangkan arahan dan peruntukan diberikan kepada mereka, bukan kepada jentera parti," tambahnya lagi.

Disamping itu, Tun Faisal juga mempertahankan blogger-blogger yang berada dalam UMB sebagai individu yang berpengalaman diperingkat akar umbi dan memahami keadaan semasa, bukannya seperti blogger upahan yang disifatkannya sebagai mereka yang seronok sendiri walaupun mempunyai pengalaman dan pengaruh yang luas di alam maya.

"Jelasnya mereka ini mempunyai pengikut dan kekuatan tersendiri; dan yang paling penting, mereka bukan bukan menulis, berfacebook atau bertweet hanya dari dalam bilik, sebaliknya mereka orang yang masak dengan pengalaman operasi di lapangan.

Terdapat kira-kira 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah syarikat pemantau media sosial.

Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun.

Malahan,  "Tsunami Politik" pada Pilihan Raya 2008 lalu juga dikatakan berpunca daripada peranan media baru yang terdiri daripada Facebook, Twitter, blog dan banyak lagi, dimana menyaksikan BN hilang majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dan hilang empat negeri kepada PR sebelum Perak jatuh kembali ke pangkuan mereka pada tahun 2009.

Sebahagian daripada kekalahan itu telah dikaitkan dengan BN meninggalkan laman web media sosial pada tahun 2008 apabila bilangan pengundi celik internet semakin bertambah.

Susulan keputusan mengejutkan tersebut, pemimpin atasan kerajaan pemerintah mula menyedari tentang peranan media baru tersebut dan telah membelanjakan jutaan wang untuk memperkuatkan jentera siber mereka pada pilihan raya 5 Mei lalu.

Walaubagaimanapun, keputusan sebaliknya yang berlaku apabila BN masih gagal menyaingi kekuatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang lebih ke depan dalam perang siber dimana ia sendiri diakui oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebelum Pilihan Raya 2013 lalu.

Selepas pilian raya 5 Mei lalu, BN mengekalkan kuasa untuk mentadbir negara selepas memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. PR berjaya menambahkan tujuh kerusi menjadikannya 89.
Buat pertama kali BN hilang undi popular semenjak tahun 1969 walaupun masih kekal memerintah negara.
Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan.

13 June 2013

Petisyen : BN 21, PR 39

Petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang tempohnya berakhir semalam, menyaksikan sejumlah 60 petisyen difailkan sekaligus menjadi jumlah paling banyak dalam sejarah petisyen pilihan raya di negara ini.

Apa yang menarik, tindakan memfaikan petisyen yang biasanya hanya sinonim dengan pihak pembangkang, kali ini juga turut dikemukakan oleh BN.

Daripada jumlah keseluruhan 60 petisyen itu, 39 dikemukakan oleh Pakatan Rakyat manakala 21 lagi oleh BN.

Bagi Pakatan Rakyat, 39 petisyen tersebut adalah membabitkan 25 kerusi parlimen manakala 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bagi BN pula, 21 kawasan yang terlibat adalah masing-masing enam parlimen dan 15 Dun.

11 June 2013

Racism dan Che Det berpisah tiada

DAP menyifatkan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan akhbar Utusan Malaysia sering membangkitkan isu-isu berbau perkauman di negara ini. 

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, tindak tanduk mereka selepas Pilihan raya Umum ke-13 lalu sengaja mengentengah isu tersebut, biar pun secara jelas berselindung di sebalik pembohongan dan kepalsuan bagi menakutkan orang Melayu terhadap Cina. 

"Dalam blog terbarunya, Dr Mahathir menuduh orang Cina di Malaysia pada PRU lalu mahu menggulingkan kuasa politik Melayu bagi menguasai politik Malaysia.

 “Ini adalah satu tuduhan yang paling tidak bertanggungjawab, melulu dan tidak berasas dalam sepanjang kerjaya politiknya. 

“Malah beliau juga melemparkan dakwaan yang tidak bertanggungjawab dan melulu kononnya saya bertanding di Gelang Patah untuk mewujudkan konfrontasi kaum dan menghasut orang Cina untuk membenci orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini. 

Sebelum itu beliau menghadiri pengkebumian mendiang Tan Seng Ren iaitu ayah kepada Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw di Sungai Keladi dekat sini. 

Kit Siang berkata, tidak ada satu inci pun kebenaran dalam setiap dakwaan keterlaluan dilemparkan bekas Perdana Menteri itu. 

Katanya, sepatutnya beliau dapat membawa apa-apa bukti untuk menyokong tuduhan melulunya terhadapnya. “Adakah beliau dapat membuktikan untuk menyokong dakwaannya bahawa saya telah menghasut orang Cina di Gelang Patah untuk membenci orang Melayu. 

“Sedangkan pada hakikatnya dalam mana-mana ucapan saya di Gelang Patah serta di tempat lain semasa kempen PRU 13, saya menekankan penting rakyat Malaysia tanpa mengira agama bangsa bersatu bagi melahirkan negara yang demokratik, bersih, makmur dan berdaya saing,” katanya. 

Sementara itu, Lim Kit Siang berkesempatan mengunjungi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di JKR10 sebelum Tuan Guru mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.


05 June 2013

Umno tinggalkan rekod buruk perjuangan Melayu

Selepas keputusan PRU13, parti komponen BN nampak gelabah sehingga ada cadangan untuk menjadikan BN parti tunggal. Selain itu, ada cadangan membubarkan semua parti komponen menjadi satu sahaja seperti yang disuarakan pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.

Mesyuarat MT UMNO, Jumaat lalu, bersetuju mewujudkan makmal khusus bagi memperincikan cadangan itu dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan ahli di seluruh negara.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini ditambah pula kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang mengatakan Umno menang bukan kerana kuat,  tetapi kerana Melayu berjaya ditakutkan sehingga mereka mengundi Umno pada PRU13.

“Sampai bila Melayu hendak ditakutkan kerana Melayu yang berjaya ditakutkan sudah tidak ramai, sebagaimana orang Melayu sudah tidak ramai yang takut kepada  hantu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Umno berada pada situasi yang merbahaya jika hanya mengharapkan Melayu menyokong berdasarkan emosi kerana Melayu yang celik maklumat dan faham agama tidak diserang dengan budaya takut. 

Katanya, mereka sedar, Melayu musnah semuanya angkara Umno. Beliau berkata, golongan ini mula mempersoalkan kenapa setelah 57 tahun merdeka, Melayu semakin tertinggal ke belakang. Ini, katanya kerana Umno telah khianat amanah untuk membantu orang Melayu. 

“Berapa banyak projek yang dikhas untuk orang Melayu gagal diselenggarakan dengan baik. “Kenapa Umno hendak mengkambing hitamkan kaum lain, supaya Umno terus selamat?” tanya beliau. 

Beliau menambah, Melayu terpelajar sudah menganggap, Umno mesti bertanggungjawab terhadap musibah yang menimpa kepada orang Melayu.

 “Mereka mahu Melayu yang bermoral dan telus untuk memimpin negara. Umno telah meninggal rekod yang terlalu buruk kepada sejarah perjuangan orang Melayu di negara ini,” ujarnya lagi.

04 June 2013

Kabinet baru BN mungkir janji

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Malaysia tidak patut menuruti model Singapura yang mengawal portal atas talian kerana ia melanggar Akta Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjamin tiada penapisan internet.

"DAP kesal apabila menteri komunikasi dan multimedia yang baru dilantik Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memulakan penggalnya dengan memungkiri janji BN sebelumnya untuk tidak menapis Internet, apabila mahukan kawalan ke atas portal atas talian.

"Di mana 'Janji Ditepati' BN?" kata Lim dalam kenyataannya hari ini.

03 June 2013

Grand Finale Blackout 505

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat menyokong pengajuran perhimpunan 'Blackout 505' bagi membantah penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Anwar mengumumkan sokongan Pakatan ke atas penganjuran perhimpunan pada 15 Jun itu dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Pakatan Rakyat akan berunding dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak keselamatan bagi memastikan perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman.

Anwar berkata sekratariat perhimpunan akan memberi maklumat lanjut sama ada perhimpunan itu diadakan di jalanan atau di stadium. 

Gambar terbaik bagi bekas ahli majlis syura PAS


Matahari dah tegak ; Umno baru terjaga

Matahari Tegak dan UMNO Baru Terjaga

Saya membaca laporan muka hadapan Sinar Harian hari ini yang memuatkan pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Khabarnya ini bertujuan untuk memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana pilihan raya negara. Saya memetik kata-kata Datuk Seri Najib yang antara lain menyatakan bahawa langkah ini bagi memastikan peranan suruhanjaya itu sebagai badan bebas tidak lagi dipersoalkan, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap peranannya mengadakan pilihan raya secara telus dan lancar.

Pada saya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah sebesar-besar bukti bahawa proses perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sangat pincang. Inilah yang saya tegaskan kepada para wartawan yang bergegas ke rumah saya meminta ulasan di atas pengumuman Perdana Menteri itu. Jika sebelum ini, ada pemimpin UMNO yang mencadangkan agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya boleh keluar dari bumi Malaysia, di mana agaknya wajahnya ingin diletakkan dengan pengumuman Presiden UMNO itu sendiri?

Saya ingatkan, jangan sesekali memperlekeh pandangan pandangan rakyat marhaen. Jika dahulu pemecatan Tun Salleh Abbas daripada jawatannya selaku Ketua Hakim Negara turut dipertikai oleh rakyat jelata tetapi kerajaan bermati-matian mempertahankan pemecatan tersebut. Alih-alih apabila teraju pemerintahan negara diambil alih oleh orang lain, Tun Salleh Abbas tidak semena-mena menerima pampasan daripada 'kesilapan kerajaan'. Siapa yang kata kerajaan tidak pernah silap?

Hari ini dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap SPR, sewajarnya kerajaan mengakui sahaja kesilapan. Isu dakwat kekal yang bertukar menjadi tidak kekal dan senarai yang tidak bersih memperlihatkan seolah-olah kerajaan hari ini berdiri di atas mandat yang tidak betul.

Itu belum lagi dicampur isu undi awal yang jelas sekali prosesnya benar-benar menguntungkan Barisan Nasional. Benar sangatlah reaksi langsung daripada rakyat di seluruh negara yang bangkit beramai-ramai menuntut pembersihan di dalam pilihanraya. Perlu diingatkan, PAS bukan tidak pernah kalah di dalam pilihanraya, bahkan PAS lebih banyak kalah daripada menang. Namun dalam masa yang sama, PAS tidak boleh menerima penipuan di dalam pilihanraya. Ingatlah, amanah yang diperolehi daripada jalan yang haram hanya menjadi beban yang sangat berat untuk ditanggung di akhirat kelak!

Saya fikir mustahil Barisan Nasional ingin menurut jejak langkah rejim Hosni Mubarak di Mesir yang menang hampir seratus peratus di dalam pilihanraya tetapi akhirnya kecundang di jalan raya.

Dengarlah suara hati rakyat. SPR wajar dirombak, perbetulkan kembali sistem pilihanraya. Sayangnya, UMNO lambat sedar. Dalam pada rakyat bangkit beramai-ramai mempersoalkan kredibiliti SPR, ada pemimpin UMNO masih bermain madah pujangga menegakkan benang yang basah. Jika umpama orang yang tidur, UMNO hanya terjaga ketika matahari tegak di atas kepala!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

23 Rajab 1434H bersamaan 2 Jun 2013M
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini