04 February 2010

Khalid Samad

Oleh Khalid Samad

Saya meletakkan tulisan TITM di blog saya sebagai bukti bahawa saya tidak merasa marah atau dendam terhadap beliau. Sebenarnya saya turut bersimpati terhadap beliau dalam isu ini. Dia dikecam jauh lebih teruk dari saya, sedangkan dia hanya berusaha untuk menjalankan tugas yang tidak ingin dipikulnya sejak dari awal lagi.

TITM merupakan salah seorang pimpinan yang mudah didampingi dan di dalam sesi perbahasan atau perbincangan saya melihat beliau sanggup mendengar hujjah-hujjah dari semua pihak, termasuk yang tidak berlatar-belakang pendidikan agama. Hujjah dipertimbangkannya berdasarkan kekuatan hujjah, bukan atas dasar siapa yang bercakap. Dalam beberapa isu, termasuk berhubung isu kalimah Allah, semasa mesyuarat Lujnah Politik PAS Pusat atau yang di rumah DSAI, kami sealiran.

Namun, seperti biasa, tidak mungkin kita bersetuju di atas semua perkara. Dalam soal keputusan JK Disiplin, saya akur dan tidak membantah, namun itu tidak bererti saya setuju secara keseluruhan atau berpuas-hati. Benar, saya telah menyebut bahawa matlamat minima tercapai tetapi itu tetap merupakan yang paling minima. Tetapi, adakah kita patut berpuas-hati dengan hanya yang minima?

HARAPAN AHLI DAN PENYOKONG TERHADAP JK DISIPLIN

Sememangnya ramai yang mengharapkan JK Disiplin akan menyelesaikan kemelut di Selangor. Kemelut yang begitu meruncing sehingga TGNA mencadangkan EGM untuk diadakan. Kemelut yang berpunca dari tindakan yang sering menjejas kepentingan PR melalui tindakan dan kenyataan yang jelas bercanggah. Kemuncak dari itu apabila berlaku peristiwa berhubung SelCAT. Ramai yang mengharapkan tindakan akan diambil terhadap punca kemelut itu, tetapi malangnya harapan ini musnah apabila yang dihukum ialah orang yang mempertahankan PR dan punca kemelut dilepas dengan hanya amaran.

Apabila ahli marah dan seteru tidak, sepatutnya ianya dilihat sebagai satu petanda bahawa ada yang kurang betul. Jangan kita respon dengan memarahi pula ahli sedangkan kemarahan ahli pasti ada sebabnya. Ahli telah sabar menunggu berbulan-bulan untuk melihat penyelesaian tetapi apa yang terhasil adalah sebaliknya. Tidakkah wajar kekecewaan mereka? Maka timbullah berbagai andaian.

JANGAN DIPATAH SEMANGAT KEPEMUDAAN PEMUDA

Saudara Abdullah Karim, seorang AJK Pemuda Pusat yang tidak langsung berkepentingan dalam isu ini menjadi marah, apa sebabnya? Kita harus tanya diri kita sendiri. Jangan pula kita menempelaknya dengan ugutan tindakan atau tuduhan tidak bertanggung jawab dengan mengatakan ‘kritik kemudiannya tinggal’. Saya pasti rancangannya untuk ‘tinggal’ sudah lama dibuat, malahan lama sebelum keputusan ini dikeluarkan.

Sebagai pemimpin, kita mesti galakkan kritikan yang membina walau datang dari apa saluran dan dari siapa sekalipun. Jangan dipatahkan sayap burung yang baru ingin terbang. Jangan dipadamkan semangat kepemudaan pemuda yang ingin berjuang. Ingat akan tindakan Saidina Umar (RA) apabila dinyatakan oleh seorang pemuda akan dihunus pedang untuk dibetulkan diri Umar. Umar memuji sikap pemuda tersebut dan tidak menempelaknya.

Selami pointnya dan fikirkan. Kalau betul, terima. Kalau tidak, jelaskan mengapa tidak. Pemimpin mesti berbesar hati, jangan sempit dan ingin mengongkong pemikiran pengikut. Kita perlu ‘engage’ dan beri penjelasan. Ini akan menjadikan pengikut bangga dengan sikap pemimpinnya dan pada masa yang sama, masyarakat sekeliling akan menghormati dengan keterbukaan pemimpin kita. Maka, janganlah diperlihatkan PAS bagaikan berkuku besi - kamu kritik, kamu dikenakan tindakan!

JANGAN MENEPIS KRITIKAN

Saya melihat TITM berpegang kepada pendirian bahawa ahli tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan JK Disiplin. Mereka tiada fakta, hanya andaian. Namun inilah sebenarnya peranan JK Disiplin untuk menjelaskan. Keadilan mesti bukan sekadar dilaksana tetapi dilihat terlaksana. Dalam erti kata lain, JK Disiplin mesti meyakinkan semua bahawa keputusan dan hukuman yang telah ditetapkan adalah adil. Tidak cukup dengan hanya mengatakan “kami tahu, kamu tidak tahu” atau “kami ada fakta, kamu hanya andaian”. Ini kaedah menepis teguran namanya. Tiada yang terhasil dengan tepisan begini. Yang tidak berpuas hati akan terus tidak berpuas hati. Sebaliknya kita mesti jelaskan, dedahkan dan buktikan bahawa ianya adil.

Tepisan kedua, “kalau nak pertikai pun, guna saluran yang sepatutnya”. Sebenarnya inilah yang ahli melakukan selama ini. Mereka sabar menunggu berbulan-bulan, menjaga adab berjamaah, mengharapkan penyelesaian. Malangnya yang terhasil adalah sebaliknya. Sebenarnya keputusan JK Disiplin telah menyebabkan sebahagian dari ahli hilang keyakinan dengan ‘saluran yang sepatutnya’. Mereka menunggu dengan penuh harapan, yakin bahawa keadilan akan terlaksana namun akhirnya harapan dimusnahkan. TITM mesti ingat apa tujuan JK Disiplin dirujuk dalam soal ini. Termasuk hakikat bahawa ianya sebagai pengganti kepada EGM.

Adakah EGM dulu dicadangkan oleh kerana tindakan saya? Atau untuk menapis golongan yang dilihat anti-PR?

BUKAN SEMUANYA ANDAIAN

Hakikatnya ahli dan penyokong juga mempunyai fakta. Bukan semuanya andaian. Sebagai contoh saya kemukakan fakta yang diketahui umum.

1. Semua tahu PJ telah melakukan banyak perkara untuk menjejaskan kedudukan PR Selangor semenjak dahulu lagi. Kenyataan dan tindakan beliau menimbulkan berbagai masalah sehingga akhirnya di pertemuan di Tropicana beliau turut berjanji tidak akan bertelagah lagi dengan PR secara terbuka.
2. Beliau terus dengan kerenah beliau dalam isu SelCAT. Ini juga fakta.
3. Akhirnya beliau lepas dengan amaran dan saya yang dihukum. Sedangkan semua tahu saya menyanggah beliau kerana kesalahan beliau. Ini juga fakta.

Dengan fakta yang sebegini, tidak salah ahli dan masyarakat umum membuat andaian bahawa ada yang tidak kena. Mereka tidak boleh membaca hati dan niat seseorang. Mereka akan menghakimi tindakan JK Disiplin berdasarkan yang zahir. Mereka akan membuat andaian berdasarkan fakta yang ada pada mereka. Oleh itu pemimpin mesti jelaskan, dedahkan dan buktikan keputusan yang dibuat adalah adil. Bukan sekadar menyatakan “tiada agenda”, “saya ikhlas” dan sebagainya.

Walau dinafi seribu kali akan adanya agenda tertentu, namun “actions speak louder than words” atau tindakan lebih menyakinkan dari kata-kata. Kata-kata mengatakan tiada agenda, malangnya tindakan bagaikan menyatakan sebaliknya.

KESALAHAN KHALID LEBIH SERIUS!

Ada yang mengatakan, kesalahan Khalid lebih serius! Serius atau sebaliknya boleh dinilai berdasarkan siapa yang membuat aduan. Dalam kes saya, aduan dibuat oleh Dewan Harian PAS Selangor, pendek kata PJ sendiri.

Saya difahamkan bahawa aduan terhadap PJ dibuat oleh MB Selangor, Back Benchers Club Selangor, iaitu semua ADUN PR Selangor yang bukan ahli-exco dan juga, sekiranya diambil kira isu EGM, TGNA!

Kalau aduan MB, BBC PR Selangor dan TGNA semuanya dianggap remeh dan tidak serius, saya rasa kita kena tunggu PJ buat aduan atas dirinya sendiri barulah dianggap serius. Kalau ini berlaku, sah serius kerana ada yang sudah hilang akal!

Ada juga yang mengatakan kesalahan saya lebih serius kerana saya melakukan kesalahan terhadap parti sendiri. PJ pula melakukan kesalahan terhadap orang lain. Saya amat berharap ini bukan pandangan pimpinan PAS! Kalau ini pandangan pimpinan PAS maka tiada maknalah cogan kata ‘PAS for All’ dan pegangan, Islam adil terhadap semua. Malahan saya berani katakan sikap ini sikap Yahudi dan bukan sikap Islam. Kalau ada yang berfikiran begitu, harap sangat dibetulkan!

Lagipun, adakah benar PJ tidak menyalahi partinya? Bukankah amanat dari muktamar Ipoh dan Shah Alam mendesak supaya PR dikukuhkan? Tidakkah tindakan beliau menyalahi amanat tersebut? Atau adakah usul tersebut hanya tipu-helah politik dan satu pembohongan? Kalau ada yang menganggap ianya pembohongan, harap sedar bahawa bagi kebanyakan ahli muktamar, ianya keputusan yang mesti dipatuhi. Dan saya menyanggah PJ atas sebab tidak akur kepada keputusan muktamar.

KESAN KEPUTUSAN JK DISIPLIN

Saya tidak bersedih kerana digantung jawatan. Kita berjuang bukan kerana jawatan. Saya sedih kerana hasil keputusan JK Disiplin, imej PAS tercemar. Selama ini PAS dilihat sebagai ‘weak link’ di Selangor. Apabila disebut kerajaan PR akan jatuh kerana ada yang akan melompat, semua melihat pada PAS. Sehingga PJ terpaksa mendedahkan isu ‘Baiah taklik’ untuk meyakinkan rakan-rakan PR. Namun tindakan beliau menyanggah beberapa keputusan PR secara terbuka terus mengundang kesangsian.

Keputusan JK Disiplin mengukuhkan kesangsian ini. Rakyat melihat PAS tidak kommitted kepada usaha menjayakan PR Selangor kerana yang menimbulkan masalah tidak dikenakan tindakan. PAS terus dianggap mempunyai ‘perancangan rahsia’ dan ‘agenda tertentu’ seolah-olah hanya menunggu masa untuk bersama BN.

Sekali lagi kita tidak boleh salahkan rakyat atas andaian tersebut. Kita yang menimbulkan kesangsian dengan tindakan kita sendiri. Amat sukar untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kesungguhan PAS untuk bersama PR setelah apabila mereka baru sahaja mahu percaya, kita yang menimbulkan kesangsian kembali. Amat malang bagi PAS, peluang keemasan untuk membuktikan kesungguhan kita akhirnya terlepas begitu sahaja, malahan ditambahkan pula kesangsian.

Saya setuju dengan kata-kata TITM, “kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah”. Malangnya, bagi saya, keputusan JK Disiplin yang banyak menyusahkan PAS berbanding kritikan dan teguran ahli. Minta maaf banyak-banyak.

KALAU TERSILAP

Rasulullah (SAW) sendiri mengaku tersilap dan seterusnya meletakkan tentera Islam dikedudukan yang dicadangkan oleh Hubab di Badr. Umar (RA) pernah menarik balik keputusan beliau apabila ditegur seorang muslimat. Imam Shafii pula terkenal dengan peristiwa qaul Jadid dan qaul Qadimnya. Kalau tersilap tiada salahnya diperbetulkan kalau kita mampu. Kalau mampu diperbetulkan, tidak cukup dengan memohon ampun dengan Allah semata-mata sambil membenarkan kerosakan terhadap imej PAS berterusan.

KESIMPULAN

Hormat saya terhadap TITM tetap kekal seperti biasa. Kalau berjumpa di Shah Alam, tetap boleh berbincang dan minum bersama. Tetapi saya tidak bersetuju dengan keputusan JK Disiplin, namun saya terima dan saya akur.

Tetapi ketetapan PAS untuk mengukuhkan PR akan saya terus pertahankan. Dan akan saya sanggah siapa sahaja yang ingin menggagalkannya. Biar pun ianya bergelaran PJ.

Mahupun SUA ataupun TP dan siapa sahaja yang ingin mengkhianati keputusan muktamar dan perjanjian persepakatan PR. Kerana muktamar adalah badan tertinggi dan kehendak PAS ditentukan di sana. Yang lain hanya perlaksana!

Kita berjuang supaya keadilan dan kebenaran Islam terserlah. Bukan oleh kerana tokoh tertentu. Tokoh datang dan tokoh pergi, namun perjuangan Islam terus dihayati.

Keadilan dan kebenaran Islam tidak akan terbukti melalui ‘politik khianat’ serta ‘politik oppurtunis’. Keadilan dan kebenaran Islam akan terserlah melalui kejujuran berpakat dan semangat setiakawan bersama. Oleh itu, sekiranya ada yang ingin khianat biarlah dunia mengetahui bahawa politik khianat BUKAN dari Islam. Biarlah ahli jamaah Islam bangun untuk menghalang penkhianatan sebegini demi menyelamatkan nama baik Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

BILAMANA UMNO TIDAK MENYERANG PAS..Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bila mana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bila mana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markas PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. 

Biasa kami akan berjumpa, minum-minum dan berbual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya menghubunginya di luar negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bila mana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. 

Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan, tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid (bukan menggantungnya) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. 

Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada panglima baru bila mana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. 
Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikut kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri. 

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.
Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau. Sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau ke luar negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tidak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosedur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak di luar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu. Tetapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati. 

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.Wassalam. -  

3 comments:

  1. As'kum semua minta maaf dulu sebelum bicara ; Saya dah umur 55 tahun , masih setia bersama Pas for All; ingin juga melihat merasa untuk Pas Perintah malaysia ;Apakan daya kalau ini yang Pemimpin Pas dapat hidangkan, amat lemah; Biro politik Pas Pusat Yang Paling lemah dan tak bermaruah dan yang paling lemah sejak merdeka.; Kita perlu pemimpin Pas abab ke 21 yang IQ tinggi, warak dan terkehadapan; barisan pimpinan yang ada adalah jauh ketinggalan. Mungkin Yb beranggapan saya tak layak komen kerana YB2 adalah lagi arif dan bijak;

    ReplyDelete
  2. YB Dr Mariah,

    melihat perkembangan terkini dalam PAS membuat saya risau, adakah ustaz & pakar agama dalam jamaah kita hanya pandai berceramah, bercerita pasal hukum agama & kesah zaman nabi & sahabat baginda, mungkin bolih ulas kezaliman UMNO & BN... tetapi GAGAL bila diberi tugas untuk mentadbir/memerintah, GAGAL untuk di gunapakai dalam kehidupan/masalah harian, kes YB Khalid & PJ YB Dr Hasan pun nampak sangat gagal ditangani oleh TITM...itu belum lagi di beri kuasa perentah Malaysia yang punyai berbilang kaum, kes satu jamaah dari satu bangsa melayu pun pada saya, TITM telah gagal & mengecewakan...mungkinkah anda semua hanya layak sekadar berceramah.....

    ReplyDelete
  3. 'Saya pukul tp tak pukul'.kiasan tulisan YB khalid "Tetapi saya tidak bersetuju dengan keputusan JK Disiplin, namun saya terima dan saya akur"

    Bukan ingin menyebelahi sape-sape. tetapi ingin melontarkan teguran demi Islam yg penuh kelembutan dan kebijaksanaan.

    keputusan JK Disiplin sudah dikeluarkan. Namun TITM menyatakan pihak yg kena hukum bole buat rayuan.

    Hilang ke maruah jika pergi jumpa TITM?kalu taknak rayu, cakap la ape yg terbuku dihati. supaya bersih nama tuan kalau rasa tak bersalah. jangan pula mempertahankan diri tuan dgn menulis dlm blog tuan agar org nampak tuan ditindas.

    Memang betul bagi kita yg dituduh mempertahankan diri kita tak bersalah. tapi betol ke cara pertahankan diri kita?

    Jgn kita hanya pentingkan diri kita bersih dari tuduhan tapi persepsi terhadap jamaah diketepikan.

    Nampak tulisan tuan seolah-olah hanya mempertahankan diri tuan tanpa memandang tanggapan orang terhadap jamaah. JK Disiplin itu sebahagian dari jamaah.

    Kalau betol tuan tak bersalah, pergilah jumpa TITM agar boleh dibawa berbincang. jgn hanya ingin menunjuk kepada umum anda seorang yg suci. Sekarang TITM pula dicaci atas perbalahan tuan dgn PJ.

    TITM hanya menjalankan tugas. bukan sengaja ingin menghukum tuan. Kalau tuan ikhlas kerana jamaah, tuan akan lebih fikirkan jamaah dari diri tuan.

    tetapi sekarang semua orang mula terarah kemarahan kepada TITM kerana konon tersilap menghukum.

    Tuan membentangkan fakta yg tuan pertahankan agar tuan nampak tidak bersalah. tetapi bagaimana pula fakta sebelah pihak yg lain?

    Sebenarnya ahli bawahan bukan menyampah kerana JK Disiplin tersalah menghukum seperti yg didakwa tetapi menyampah dan benci dengan perbalahan pemimpin atasan yg tidak pernah habis-habis.

    Kes tuan pun semacam meleret-leret hingga tak nampak penghujungnya. Apakah penghujungnya apabila tuan tidak bersalah?

    Sekarang nampak semacam PAS dgn Umno sama sahaja. Bergaduh sana bergaduh sini. Cuma yg bezanya, PAS bergaduh kerana pendapat berbeza, Umno bergaduh kerana berebut harta negara.

    Sudah-sudahlah. Jangan sampai nanti rakyat dan ahli PAS akan membenci kita atas ketidak cerdikan kita menyelesaikan pertikaian yg bole disudahi dengan cara yg baik dan tenteram.

    Memang komen kita dalam blog kita nampak beradab tetapi bagaimana sebahagian pengikut kita yg taksub dengan kita?

    kalau dilihat kepada blog2 lain, Astagfirullah al-azim. masya Allah. sampai pemimpin kita, ulamak kita habis dihamburkan cacian yg tak sepatutnya.Buruknya perangai kita jika dilihatkan kepada umum.

    kembalilah kepada Allah.

    Kita berjuang bukan berseorangan tetapi berjuang secara berjamaah.

    Ikhlas menegur. Maaf jika terasa dan tersilap kata.

    ReplyDelete

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini