' |
Nyza Ayob Mon | Oct 27, 08 | 12:29:49 pm MYT | |||||||
"Nak datang ke rumah saya? Saya sekarang ni dah ada dua buah rumah. Satu di Sungai Buloh dan satu lagi di Taman Sentosa Perdana 2, di Kota Raja. "Rumah di Taman Sentosa itu dah jadi rumah kedua saya. Tapi kalau datang ke rumah saya di Sungai Buloh, Nyza boleh tengok sendiri pokok-pokok bunga saya yang sudah layu," itulah antara jawapan Dr Siti Mariah Mahmud, sambil diselangi ketawa sewaktu penulis menyatakan ingin mengunjungi rumahnya. Mungkin ada sesuatu yang menggelikan hatinya mengenai pokok-pokok bunga kesayangannya sehingga beliau menghamburkan ketawa. Memandangkan beliau juga akan bermalam di Taman Sentosa kerana mempunyai program di sekitar kawasannya, pada sebelah malamnya, penulis membuat keputusan untuk mengunjungi rumah keduanya itu. "Sebenarnya rumah saya itu, bangunan rumah kedai. Di tingkat bawah, Pusat Khidmat Masyarakat. Oleh kerana jika tiada sidang Parlimen, hampir seluruh masa saya berada di Kota Raja, jadi saya mengambil keputusan untuk menjadikan bahagian atas sebagai rumah saya. Nanti bolehlah lihat sendiri bagaimana rumah saya yang masih serba tidak lengkap itu," kata Ahli Parlimen Kota Raja itu dengan ramah. Mungkin itu antara senario baru yang ingin dikongsikan bersama pembaca, menunjukkan perbezaan komitmen antara ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan wakil rakyat Umno-BN. Kunjungan penulis, bersama wartawan English Section, Saadon Aksah dan jurugambar Wan Zahari Salleh disambut oleh pegawai khas Dr Mariah, Mohd Azmi Jusoh serta kerani pentadbir Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kota Raja, Krishnaveni Perumal. Dr Mariah yang tiba tidak lama selepas itu, menjemput kami naik ke rumahnya. "Jemputlah. Inilah rumah kedua saya. Apabila program saya sampai larut malam, saya tidak sempat pulang ke Sungai Buloh. Sebab itu saya jadikan bahagian atas ini sebagai rumah. Maaflah kosong sahaja, belum sempat beli perabut lagi," katanya. Di satu sudut di rumahnya itu, terdapat pelbagai jenis baju yang disangkut dan disusun rapi. Terdapat juga kotak-kotak yang berisi majalah dan buku-buku. Jelas Dr Mariah, barang-barang tersebut dijual sewaktu 'Jumbo Sale'. Hasil jualan tersebut akan digunakan untuk tujuan amal. Katanya, kebanyakan barang-barang tersebut didermakan oleh saudara mara dan orang perseorangan. Malah Dr Mariah dan anak-anaknya juga turut mendermakan pakaian mereka untuk tujuan amal itu. Menceritakan tentang minatnya membelai tanaman-tanaman bunga, jelas Dr Mariah peluang tersebut semakin sukar dipenuhi sejak bergelar Ahli Parlimen enam bulan yang lalu. "Di depan rumah saya tu memang penuh dengan pelbagai jenis bunga. Tapi terkejutnya saya, bila saya lihat semalam pokok-pokok bunga saya semuanya sudah layu. Rupanya pokok bunga pun tahu merajuk. Entah bila saya berpeluang membelai dan menyiram kembali bunga-bunga saya itu," katanya sambil ketawa. Jelas Dr Mariah, rakyat kini menjadi satu tanggungjawab baru yang menjadi sebahagian besar daripada amanahnya dalam kehidupan selain tanggungjawab sebagai isteri dan ibu yang masih diteruskan. Sehubungan itu katanya, situasi baru selama enam bulan menjadi Ahli Parlimen harus diharunginya dengan tabah. Tambah Dr Mariah, di saat beliau dipilih oleh masyarakat sebagai Ahli Parlimen, beliau bernasib baik kerana lima daripada enam orang anaknya telah dewasa. Jadi tumpuannya kini dapat diberikan kepada masyarakat yang memerlukan khidmatnya. "Bagaimanapun jika anak saya yang bongsu pulang dari asrama, saya akan pulang ke Sungai Buloh dan meluangkan masa untuknya. Dan saya tidak lupa memasak makanan kegemarannya," katanya sambil tersenyum. Sungguhpun sentiasa dihambat dengan waktu, salah satu sikap Dr Mariah ialah beliau lebih suka menjamah makanan di rumah. "Suami saya juga sering datang ke sini. Beliau pun lebih suka makan hasil tangan saya. Saya bersyukur, suami amat memahami tugas baru saya. Walaupun masakannya ringkas, tetapi saya dan suami lebih berpuas hati. Sejak anak-anak masih kecil saya tidak membiasakan anak-anak dengan makanan di luar. Sungguhpun 'simple' dan cuma satu atau dua jenis lauk, kebersihannya lebih terjamin. Sehingga kini anak-anak saya pun sudah terbiasa dengan masakan di rumah," katanya sambil membancuh minuman untuk kami. Sikap Dr Mariah itu turut diakui oleh pekerja-pekerjanya, Veni, Siti Esah Bakar dan Faridah Saman yang dilantik sebagi penyelaras program ibu tunggal. "Jangan tidak percaya, kadang-kadang Dr yang masak untuk kami. Kami pun apa lagi, jadi tukang makanlah," pembantunya yang mesra dengan panggilan Kak Esah menyampuk perbualan kami. Malah Kak Esah juga kadang-kadang menjadi peneman Dr Mariah sewaktu beliau bermalam di rumah keduanya itu. Jelas Dr Mariah, sejak enam bulan yang lalu, beliau bersama pekerja-pekerjanya di Pusat Khidmat Masyarakat itu bagaikan satu keluarga. Kemesraan di kalangan mereka terserlah hari itu sewaktu Dr Mariah mempelawa pekerja-pekerjanya minum pagi. "Selain menanam bunga, minat saya yang tidak dapat saya tinggalkan ialah membaca. Saya memang banyak koleksi buku daripada pelbagai jenis. Jika dahulu saya boleh membaca sebuah buku daripada awal hingga akhir, kini saya cuma berkesempatan 'fast reading'. "Cuma sekarang ini, sebuah buku yang saya perlu baca daripada awal ialah 'Malaysian Indian'. Buku ini penting untuk saya menyelami serta memahami budaya serta kehidupan masyarakat India di Malaysia," katanya yang menganggap buku tersebut amat bermanfaat baginya yang menjadi Ahli Parlimen di kawasan yang hampir majoritinya berbangsa India. - mns_ |
No comments:
Post a Comment