31 October 2013

Min 500 undi

JERAI: PAS menjangkakan mampu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau yang dijadual 4 November ini dengan meletakkan minumum majoriti sebanyak 500 undi.

Pengarah Jawatankuasa Induk PAS bagi PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata sasaran itu mengambil rujukan keputusan yang diperoleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan ketika kali pertama bertanding di Dun itu lima penggal lalu.

Ketika itu katanya, Allahyarham menang sekitar majoriti tersebut dan calon PAS kali ini Ustaz Mohd Azam Abd Samad juga diletakkan kayu aras yang sama.

"Kita jangka majoriti lantai tidak akan kurang daripada 500 undi seperti kali pertama Allahyarham Ustaz Azizan bertanding dulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keyakinan semasa PAS terhadap PRK kali ini pada sidang media di Markas Induk PAS di Sungai Limau hari ini.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan pengudi di sini yang akan membuat pilihan tepat pada 4 November ini.

Bagaimanapun beliau tidak mahu terlalu yakin kerana tempoh berkempen masih berbaki beberapa hari dan banyak perkara lagi yang harus dilakukan.

Beliau turut ditanya keadaan di mana jentera BN di dakwa telah berjaya masuk ke beberapa kawasan yang dikatakan kubu kuat PAS selama ini.

"Kita tidak terlalu gusar, kita yakin dengan pengundi.

"Kita amal demokrasi, politik damai, dan kita tidak halang pihak lawan nak masuk kempen ke mana sahaja mereka mahu," katanya.

Dun Angkat

Ditanya berhubung cadangan agar Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menjadikan Sungai Limau sebagai Dun angkat jika menang, Mahfuz berkata rakyat boleh menilai perkara itu.

"Kalau Datuk Mukhriz ikhlas, tak perlu tunggu menang pilihan raya, sepatutnya dia dah ambil Dun Sungai Limau ini sebagai Dun angkat sewaktu Allahyarham Ustaz Azizan sakit lagi.

"Jadi kenapa baru sekarang, bila ada pilihan raya kecil, baru perkara ini ditimbulkan," soalnya.

Siapa bertanding

Dalam pada itu, Mahfuz turut persoal siapakah sebenarnya calon BN yang bertanding ekoran wujud beberapa kain rentang yang boleh mengelirukan.

Beliau merujuk kepada kain rentang serta poster yang meletakkan gambar Mukhriz dengan tulisan "N20 PRK Sungai Limau" iaitu seolah-olah Menteri Besar itu yang bertanding.

"Biasa kita letak gambar pemimpin lain sebelah calon ke, atau letak undilah BN ke. Ni macam dia yang kadi calon. Ini boleh mengelirukan."Saya minta SPR jelaskan adakah perkara ini dibenarkan," katanya.

Umno dan kopiah putih

Latar belakang dan budaya masyarakat Islam di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau yang taat beragama mungkin mendorong calon BN dan para pemimpin Umno merubah corak pemakaian dan bahan kempen apabila mengenakan kopiah putih yang agak sinonim dengan PAS.

Sepanduk dan papan iklan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang dipasang di sekitar kawasan PRK Dun Sungai Limau sebahagiannya memaparkan foto beliau dengan kopiah atau ketayap putih.

Imej Dr Ahmad dengan kopiah putih ini menghiasi sepanduk dan papan iklan bertemakan "Berani Hijrah" bagi menyaingi tema "Kekal" calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat.Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yangjuga Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir turut kelihatan berjemaah di beberapa masjid di sekitar Dun Sungai Limau dengan berkopiah putih.

Mungkin juga kempen harmoni yang dilancarkan PAS dan BN di Sungai Limau membuahkan hasil apabila pemimpin kedua-dua parti cuba mengetepikan perbezaan melalui perlambangan.

Budaya baru Umno ini amat berbeza dengan pendirian bekas Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin yang mahukan songkok hitam menjadi pemakaian orang Melayu berbanding kopiah putih.

Begitu juga dengan Ketua Bahagian Umno Baling yang juga Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mahukan para jemaah haji Malaysia memakai songkok dan berbaju Melayu ketika menunaikan solat di Masjidil Haram, Makkah.

Pantun 4 kerat buat pengundi Sg Limau

Pagi hari menabur padi....
Padi ditabur si anak teruna.....
4hb haribulan hari mengundi....
Pastikan undi PAS naaa....

30 October 2013

Malaysiakini menang

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Malaysiakini dalam kes permohonan permit penerbitan yang ditolaknya.

Hakim Alizatul Khair Othman berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

"Oleh itu, kami menolak rayuan itu," katanya.Hakim juga membenarkan kos RM5,000 dibayar kepadaMalaysiakini.

Keputusan itu dibuat setelah rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan arahan KDN untuk tidak mengeluarkan lesen penerbitan kepada penerbit Malaysiakini Mkini Dotcom Sdn Bhd, didengar hari ini.

Peguam kanan persekutuan Norhisham Ismail berkata, beliau akan menunggu arahan sama ada mahu merayu atau tidak terhadap keputusan hari ini.

Manakala peguam Malaysiakini K Shanmuga pula berkata, dengan keputusan itu, portal bebas atas talian itu harus menghantar semula permohonan untuk mendapatkan permit penerbitan akhbar bercetak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa khas) pada 1 Oktober 2012 membatalkan keputusan KDN kerana ia "tidak wajar dan tidak rasional".

Syarikat itu memohon menerbitkan akhbar harian dinamakan "Malaysiakini" dengan edaran 40,000 naskhah di Lembah Klang untuk dijual dengan harga RM1.

28 October 2013

Pemimpin berjiwa besar

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan hari ini mengumumkan menarik diri bertanding jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang disandang beliau sejak 2009.

Mengumumkannya kepada Harakahdaily sebentar tadi, Nasrudin berkata keputusan itu dibuat beliau bagi memberi laluan kepada kepimpinan baru untuk mengepalai dewan itu dengan lebih baik.Beliau bagaimanapun berkata, akan menerima untuk pencalonan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

"Secara rasminya saya mahu mengumumkan bahawa saya menarik diri dari bertanding mengekalkan jawatan Ketua Pemuda PAS Malaysia.

"Dewan pemuda tidak pernah ketandusan pemimpin berwibawa. Jadi terserah kepada perwakilan untuk membuat pilihan kepimpinan baru menerajui pemuda akan datang," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Bagi jawatan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Jawatankuasa Pemilihan Muktamar sebelum ini mengumumkan menerima enam pencalonan.

Selain Nasrudin, lima lagi pencalonan adalah Kamaruzzaman Mohammad, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-His, Dr Riduan Mohd Nor, Suhaizan Kaiat dan Zulhazmi Zakaria.

23 October 2013

RM370,000 utk Mazlan Aliman

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman hari ini diisytiharkan menang kes saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia oleh Mahkamah Tinggi Temerloh.

Peguam yang mewakili Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata, Hakim Datuk Akhtar Tahir turut mengarahkan Kerajaan Malaysia selaku defendan membayar ganti rugi akibat polis tersalah tahan sebanyak RM300,000, ganti rugi tauladan RM50,000, kos mahkamah RM20,000 dan faedah 8% dari tarikh saman. 

Pada 18 Ogos 2010, Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia. 

Saman bernilai RM20 juta itu berikutan tangkapan (berniat jahat) yang dibuat terhadap Mazlan di Felda Lembah Klau dua tahun lalu.

Namun pada perbicaraan 21 Jun 2011, Hakim Mahkamah Tinggi telah menggugur Felda daripada dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac 2010 kira-kira jam 3 petang, Mazlan ketika memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda. 

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun sebelum itu Pengurus Rancangan Felda Lembah Klau ketika itu Awang Sulong, telah membuat laporan polis dengan mendakwa kononnya Mazlan datang untuk membuat kacau atau menceroboh. 

Kemudian pada pukul 11 malam Mazlan ditahan, dimasukkan ke dalam lokap dan direman empat hari di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan (Criminal Trespass).   

Wan Rohimi berkata, hakim dalam penghujahan keputusannya berkata, plaintif (Mazlan) tidak bersalah kerana berdialog dengan kebenaran tuan rumah (Hamidun).

Hakim berkata sebagai warganegara, Mazlan bebas bergerak ke mana saja kerana itu hak asasinya. Jadi dalam kes ini polis tersalah tangkap dan salah tahan selama dua hari serta dilayan seperti penjenayah.

“Mazlan tidak berceramah di balai raya. Jadi tidak ada elemen kesalahan jenayah tetapi kenapa beliau ditahan, direman dan merengkok di lokap IPD Raub dahulu. Jadi atas asas inilah plaintif menyaman polis dan Kerajaan Malaysia.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan hari ini, sebelum inipun saya yakin Mazlan menjadi mangsa penganiayaan politik,” katanya.

Tambah Wan Rohimi, beliau berharap pihak kerajaan Malaysia tidak akan membuat rayuan dengan memberikan keadilan dan kebebasan kepada mahkamah tinggi.

Turut berada di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini ialah Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Pengerusi Bangkit Abdul Rahman Ramli, Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus serta kira-kira 30 penyokong di kalangan warga Felda. 

22 October 2013

Rakan Pakatan mahu pastikan PAS kekal di Sg Limau

JERAI: PKR dan DAP berikrar memberi komitmen sepenuhnya bagi membantu PAS untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Dun Sungai Limau pada pilihan raya kecil itu 4 November ini.Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata selaku rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, PKR akan turut sama berkempen dan berikrar untuk memenangkan calon PAS.

Kita dari PKR akan turut sama berkampung mulai hari ini sehingga hari pengundian nanti bagi usaha untuk berkempen bersama-sama PAS agar kerusi ini terus kekal di tangan parti itu.

"PKR yang akan diketuai Datuk Johari Abdul akan melaksanakan tugas mereka selari dengan apa yang dikehendaki oleh PAS dan kita turut meletakkan beberapa individu yang mempunyai kepakaran agar serangan kita terhadap Barisan Nasional (BN) berjalan dengan lancar," jelas beliau.

Katanya lagi, kemenangan PAS pada PRK kali sangat penting sebagai satu isyarat kepada kerajaan agar tidak terus membebani rakyat.Selain itu katanya, kemenangan ini juga sebagai satu 'amanah kedamaian' yang akan diteruskan setelah sekian lama diperjuangkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak," ucap beliau.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut sama hadir pada majlis tersebut menyatakan dengan tema 'kekal' yang akan digunakan PAS, sangat bertepatan.Jelasnya lagi, kemenangan pada 4 November nanti juga merupakan satu isyarat jelas untuk Pakatan Rakyat serta rakyat membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita yakin PAS dengan calon yang diumumkan ini akan terus berada di kerusi Dun Sungai Limau."Kemenangan kita merupakan satu isyarat yang amat jelas untuk kita membuat perubahan pada PRU14 nanti," ucapnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengundi agar tidak terpengaruh dengan fitnah yang akan digunakan oleh BN dalam kempen mereka nanti.Katanya, BN pasti akan menberitahu kepada rakyat tentang sikap perkauman DAP yang anti kepada Melayu serta mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.

Pengundi perlu berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan kempen fitnah BN terhadap rakan-rakan parti di dalam Pakatan Rakyat.

"Mereka pasti menuduh DAP anti Islam dan Melayu, malah akan mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.

"Saya sehingga sekarang mengesa mereka kemukakan bukti manakah yang kata DAP anti Islam atau Melayu tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa bukti ditunjukkan," ucapnya.

Beliau yakin dengan apa yang telah dibina oleh Ustaz Azizan sebelum ini, pengundi tidak terpengaruh dan bijak dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Calon PAS

Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.Pengumuman dibuat Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 10 malam ini di majlis pengumuman calon di sini.Ustaz Azam yang juga bekas guru bakal berdepan calon BN Ahmad Sohaimi Lazim.

Ustaz Azam ketika memberikan ucapan sulung malam ini berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.Beliau menegaskan, azamnya untuk meneruskan agenda bekas Menteri Besar Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Beliau juga berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.Ustaz Azam turut menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Razak kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi. 

21 October 2013

PAS keluar dari kebiasaan, berbincang soal muzik dan cetak rompak

PAS keluar dari kebiasaannya malam tadi apabila berbincang soal seni dan budaya sambil berdialog bagaimana mahu melawan budaya cetak rompak yang menzalimi industri muzik tempatan.
Dengan diketuai sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mereka berbincang bagaimana mahu meningkatkan industri ini di samping meletakkan industri muzik di jalan yang tepat.
Bersama mereka adalah para penyanyi, pelakun, pembuat filem, budayawan, karyawan termasuk kartunis dan penyair tanah air.
Antaranya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, tokoh sains dan matematik Profesor Shahrir Mohd Zin, budayawan Dinsman, penyanyi Mel dari kumpulan Wing, kartunis Zunar dan lain-lain nama besar lagi.
Turut serta adalah pelakon Abby Abadi dan suaminya serta penyanyi Wan Aisyah.
Antara pemimpin PAS yang menyertai dialog budaya ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib-naib Presiden Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar di samping dua exco kerajaan negeri Selangor.
Mel, Zua dari kumpulan XPDC dan juga Blank dari kumpulan rock Gamma telah membuat persembahan secara live di depan para pimpinan PAS termasuk Abdul Hadi.
"Budaya adalah fitrah manusia," kata Abdul Hadi yang menyokong aktiviti kebudayaan yang tidak bercanggah dengan Islam.
Namun, katanya, ada juga kebudayaan yang digunakan sebagai alat untuk merosakkan nama baik Islam.
"Misalnya filem Semerah Padi lakunan P Ramlee yang dibuat semasa zaman penjajahan dahulu. Ia sengaja memberikan nama tidak baik kepada hukum hudud," kata Abdul Hadi kesal kerana filem itu tidak memberikan gambaran yang betul tentang syariat Islam sehingga menakutkan orang terhadapnya.
"Mana ada mereka gunakan keperluan empat saksi untuk jatuhkan hukuman hudud?" kata beliau merujuk kepada filem yang memberikan gambaran salah tentang perundangan Islam itu.
Mohamad Sabu pula bercakap soal cetak rompak yang sangat tidak menghormati hak cipta dan karya seni negara.
"Ini semua berlaku kerana kita orang Melayu dan Islam hilang etika," kata Mohamad yang kesal dengannya.
Namun pembicara terbaik malam tadi adalah penyanyi Aishah yang memberikan gambaran jelas apa yang berlaku dalam industri muzik negara.
"Bayangkan tuan puan, negara kehilangan RM38 juta setahun kerana kegiatan ciplak, cetak rompak dan download lagu dan filem secara haram," kata Aishah kesal.
Beliau juga berkata, petugas industri tempatan juga selalu sahaja menghadapi kebanjiran pesaing mereka dari luar.
"Masa saya dahulu, Dangdut masuk. Sekarang K-Pop dari Korea Selatan pula yang mendapat tempat. Mana ada artis tempatan dapat bayaran sehingga RM1.6 juta," kata Aishah merujuk kepada laporan Audit Negara yang mendedahkan hal itu.
Bagi beliau, sebagai sebuah parti Islam, PAS perlu mengambil berat tentang industri hiburan ini kerana Malaysia negara ke-10 paling suka berhibur di seluruh dunia.
"Kalau kita tidak memberikan alternatif kita, orang lain akan ambil," kata Aishah yang terkenal dengan lagu Janji Manis Mu.
Beliau juga berkata, anak muda negara ini dipengaruhi oleh muzik dan berkata, "Kita tidak boleh berdakwah dalam masjid sahaja tetapi perlu keluar”.
"Kita perlu bagi hiburan jenis kita dan cara kita," kata Aishah yang bertanding sebagai calon PAS di Parlimen Jelebu dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.
Di kalangan budayawan pula, mereka sangat kesal dengan sikap susah berkira kerajaan negeri Pakatan Rakyat khasnya Selangor dalam memajukan seni budaya.
"Nak minta RM10,000 untuk anjurkan program pun susah dan akhirnya melopong saja," kata Dinsman dalam ucapan panjang lebarnya.
Beliau juga kesal kerana Sasterawan Negara Samad yang tidak di manafaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR).
"Apa salahnya Pak Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu oleh Unisel dengan memberikan kemudahan kepada beliau untuk berkarya di samping memanafaatkan beliau?" kata Dinsman.
Exco kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab dengan pendidikan, Dr Halimah Ali, ketika memberikan respon terhadap cadangan berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada kerajaan negeri Selangor.
Namun cita-cita besar Pengerusi Lajnah Seni dan Budaya PAS, Dr Muhaimin Sulam amat menarik perhatian hampir 100 yang hadir malam tadi.
"Saya bercita-cita mahu jadi budaya ini satu kuasa baru selepas ekonomi. Kita gabungkan budayawan dan kuasawan (ahli politik)," kata Muhaimin.
Namun begitu, dalam ucapan aluannya, beliau juga melahirkan kekesalan dengan sikap sesetengah pihak dalam PAS sendiri yang hanya menggunakan khidmat budayawan dan seniman ini secara bermusim sahaja.
"Saya ingin tegaskan, kami bukan askar upahan tetapi pejuang sepanjang zaman," kata Muhaimin disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Pendekatan pertemuan malam tadi memberikan nafas baru selepas kemasukan beramai-ramai golongan seni ini ke dalam PAS sebelum pilihan raya umum lalu.

Najib berjaya sekat Mahathir

Anak Tun Dr Mahathir Mohamad tewas. Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir tewas meskipun ibunya terpaksa memberikan wawancara yang amat jarang untuk berkempen untuk anaknya.Ini menyebabkan Mahathir marah walaupun beliau berkata sudah menjangkakan kekalahan Mukhriz.

Tapi itu tidak menyebabkan Mahathir menjadi lebih marah. Yang bakal membuat Mahathir 'meletup' adalah hakikat bahawa anaknya kini ketinggalan berbanding Khairy Jamaluddin, orang yang paling tidak disukainya dalam Umno.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengawal kemarahan ini.Kemarahan Mahathir perlu dikawal daripada 'meletup'.

Pertama mereka kena yakinkan beliau bahawa tiada arahan spesifik kepada perwakilan untuk mengekalkan ketiga-tiga Naib Presiden.Najib menafikan bahawa beliau ada campurtangan. Beliau juga menegaskan undi adalah sulit dan ia adalah hak setiap perwakilan.

"Tak ada, ini (melibatkan) 150,000 perwakilan, macamana nak campur tangan? Undi semua adalah sulit. Semua orang boleh beri pandangan di semua peringkat tetapi akhirnya undi itu adalah undi sulit dan ia hak setiap perwakilan," tegasnya.

Muhyiddin turut sama-sama menyatakan bahawa menafikan keputusan pemilihan di Bahagian Pagoh sebagai isyarat kepada bahagian-bahagian lain untuk mengekalkan tiga penyandang Naib Presiden Umno.

Perlu nafi supaya Mahathir tak 'meletup'. Jika Mahathir 'meletup' dan bertekad untuk membalas malu yang terpalit pada anaknya, Najib dan Muhyiddin akan mengalami mimpi ngeri sebagaimana Tun Abdullah Badawi dulu.

20 October 2013

Transformasi vs transfermoney

Walau pun Presiden Umno DS Najib dah berbuih mulut bercakap mengenai perlunya transformasi dlm Umno namun pemimpin parti yang bertanding dalam pemilihan Parti minggu ini tetap tidak memahami apa itu transformasi yang dikehendaki oleh rakyat.

Pemimpin-pemimpin ini cuma faham dari dulu, kini dan selamanya ialah "budaya transfermoney" mesti dikekalkan demi kelangsungan perjuangan Macai yg penuh dgn dosa dan noda. Alahai macai...

19 October 2013

Keputusan tidak resmi MACAI lawan MACAI

Keputusan tidak rasmi pertandingan antara MACAI dgn MACAI adalah seperti berikut:

1. Zahid Hamidi - 1362.
2. Shafie Apdal - 1243.
3. Hishammuddin - 784.
4. Mukhriz Mahathir - 595.
5. Isa Samad - 86.
6. Ali Rustam - 7

PAS Kelantan yakin Sg Limau milik kita

PAS Kelantan yakin Dun Sungai Limau akan dapat dipertahankan kemenangannya pada pilihan raya kecil (PRK) pada 4 November nanti.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasarkan rekod lalu, calon PAS yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah memenangi lima kali Dun pada PRU.

“Malah Allahyarham Ustaz Azizan telah memenangi kerusi Dun berkenaan sejak Kedah di zaman pemerintahan Umno lagi,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Beliau yakin kemenangan akan memihak kepada PAS berdasarkan rekod kecemerlangan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ibadat korban dan majlis bersama rakyat di Pejabat Dun Panchor, di sini semalam.

Beliau memberitahu, PAS Kelantan akan menghantar petugasnya untuk berkempen bagi membantu kemenangan calon pada PRK itu nanti.Katanya, gelombang pertama akan memulakan tugas mereka bermula hari ini.

“Pada kesempatan ini saya menyeru pada semua petugas kita bertugas dengan baik di samping sentiasa merujuk pada petugas tempatan bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini.

“Pada masa yang sama ikut arahan pimpinan yang telah ditetapkan, insyaalah.

Sg Limau : jadikan skor 10-4

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Dato' Ir Amiruddin Hamzah (gambar) menggesa pengundi dalam kawasan ini menjadikan skor terbaru untuk keputusan pilihanraya Dun Sungai Limau sebagai 10-4.

Berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Rakyat untuk PRK Sungai Limau, Amiruddin memberitahu, sejak pilihan raya umum diadakan pada 1955 sehingga 2013, Sungai Limau yang dahulunya dikenali sebagai Sala telah mencatatkan 9 kemenangan untuk PAS dan hanya empat kemenangan untuk BN.

"Saya menyeru pengundi Sungai Limau memberi satu lagi kemenangan untuk PAS dalam PRK ini bagi menjadikan kedudukan 10-4," ujarnya.

Beliau berkata, walaupun perkara tersebut menjadi tekad PAS untuk PRK kali ini namun ia bukanlah perkara yang boleh dianggap mudah untuk dicapai kerana BN pasti akan turun dengan jentera kerajaan yang luarbiasa. Para petugas Pakatan diseru bertemu dan menyantuni kesemua pengundi yang terdapat di Sungai Limau.

Menurut Amiruddin, walaupun kerajaan BN sudah lebih lima bulan menerajui pentadbiran negeri namun tiada apa lagi perubahan yang dapat dilihat oleh rakyat. Secara sinis beliau berkata, kerajaan pimpinan Mukhriz terlalu banyak saintis yang membawa semua cadangan pembangunan dalam makmal kajian tetapi tidak nampak pula hasil kajiannya.

Rakyat Kedah kini, katanya  sudah dapat membuat perbandingan antara kejayaan yang dicatatkan oleh kerajaan Pakatan dahulu berbanding BN kini. 

"Kalau dahulu bila berlaku kematian kerajaan beri bantuam Kafalah sebanyak RM500,  masa BN sekarang kalau mati cuma ada 'Kafanlah' tanpa sebarang bantuan," ujarnya.

Begitu juga bantuan untuk pelajar yang berjaya memasuki IPTA. "Masa kita dulu ada, sekarang sudah tiada," katanya.

Apa yang lebih mengecewakan adalah kegagalan BN menguruskan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang terdapat di Kuala Ketil. 

Menurut Amiruddin, walaupun Pakatan meninggalkan kepada mereka sebuah kampus induk yang mempunyai pelbagai kemudahan tetapi BN ibarat 'kera mendapat bunga' kerana tidak tahu menggunakannya.

"Malah terdapat pelajar yang diarah kembali ke kampus lama yang serba sempit, sehingga terdapat pelajar terpaksa mengikuti kuliah dengan 'menyerenggoh' di luar tingkap," ujar Amiruddin.

Pelancaran Jentera Pakatan Rakyat untuk PRK Sungai Limau itu dihadiri oleh sebahagian besar pemimpin utama PAS, KeADILan dan DAP negeri Kedah. Perasmian pelancaran dilakukan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

17 October 2013

Adakah "budak tingkat 4" perlu dibersihkan

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan calon-calon korup yang dimaksudkan beliau agar mereka itu tidak diangkat oleh para perwakilan dari membarisi kepimpinan parti Melayu itu pada Perhimpunan Agung Umno hujung minggu ini.

Ujar Mahfuz, penjelasan itu perlu untuk membolehkan ahli-ahli Umno membuat pembersihan pada Pemilihan Umno 19 Oktober ini untuk mengelakkan kepimpinan dimenangi calon yang tidak sewajarnya.

“Tun (Mahathir) sebut perlu ada pembersihan dalam Umno sebelum pemilihan kerana kata Tun, ramai orang yang masuk Umno ini mahu jadi kaya.

Apatah lagi dibimbangi mereka yang menjadi kaya tidak itu mengikut saluran betul dan akan menyebabkan berlakunya salahguna kuasa, rasuah dan sebagainya.

“Dibimbangi bahawa perasuah inilah yang jadi pimpinan Umno dan pimpinan negara. Jadi, saya nak minta satu penjelasan dari Tun, kerana ini kenyataan cukup serius dibuat Tun.

Bolehkah Tun senaraikan mereka yang dimaksudkan orang-orang Umno dan pemimpin Umno yang masuk Umno untuk jadi kaya?

“Daripada mereka ini siapakah yang tersenarai untuk bertanding sebagai calon dalam pemilihan Umno pada 19 Oktober ini yang dimaksudkan Tun?” gesanya pada sidang media di Kompleks PAS Kawasan Pokok Sena, di sini kelmarin.

Jelas Mahfuz, sangat penting untuk Tun Mahathir menyatakan pendiriannya yang jelas kerana Mantan Perdana Menteri itu sebelum ini pernah mengkritik hebat Khairy Jamaludin. 

Tetapi ujarnya, seolah-olah pandangan Tun terhadap Khairy sejak dari zaman Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri berkaitan ‘Isu Budak Tingkat Empat’ ketika itu langsung tidak dipedulikan. 

“Perwakilan Umno, Pemuda dan Wanitanya terus memilih orang seperti Khairy yang dilihat Tun tidak punya tahap integriti yang tinggi termasuk kepada Ketua Wanitanya.
Saya hendak minta penjelasan daripada Tun apakah dia telah lihat Wanita dan Pemuda yang dipilih beberapa hari lalu memenuhi ciri-ciri kepimpinan yang bersih?

 “Saya juga meminta Tun menyenaraikan kepimpinan Umno dan calon-calon Umno yang bertanding dan mereka itu dianggap oleh Tun perlu dibersihkan daripada Umno untuk ditolak pada pemilihan ini sebagai menunjukkan Umno tidak mahu pemimpin yang korup,” tegas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah. 

Perkara itu juga katanya, sangat bersesuaian dengan tema dibawa oleh anak Tun iaitu Dato’ Mukhriz Mahathir iaitu “Berani Berubah”. 

Jelasnya, Tun sebagai senior Umno yang tiada kepentingan harus berani menunjukkan satu sikap kepada perwakilan untuk menolak kepimpinan seperti dimaksudkannya pada Himpunan Agung Umno. 

“Ini sangat jelas dengan tema atau tujuan Dato’ Mukhriz yang menyatakan beliau bertanding kerana hendak menyelamatkan Umno pada Pilihan Raya Umum akan datang, tanpanya Umno tidak akan selamat. 

“Tun harus menjelaskan perkara ini untuk membolehkan perwakilan menetapkan hala tuju kerana sesiapa pun yang menang nanti inilah, yang akan diletakkan diperingkat tertinggi dalam negara kita.

Saya percaya bahawa rombakan Kabinet akan berlaku, mahu tidak mahu Umno akan kekal menjadi tulang belakang ini terus menerajui Kerajaan BN ini. 

“Sebab itu kita mahu kerajaan itu nanti kerajaan yang bersih, jadi sudah tentu Tun perlu membersihkan kepimpinan Umno pada pemilihan kali ini,” serunya. 

Terdahulu pada sidang media itu, Mahfuz turut menyinggung tempelakan Tun Mahathir ke atas kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak yang dilihat gagal mengurus kewangan negara sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara.

Ujarnya, Tun telah menggesa mereka itu meletak jawatan sekaligus memberi signal jelas kepada Perdana Menteri kerana  bertanggung jawab memilih dan melantik Menteri-menteri berkenaan.

“Bermakna bahawa, PM salah pilih menyebabkan memilih orang yang gagal mengurus dan menangani persoalan kewangan bawah kementerian masing-masing, ini kenyataan Tun kebelakangan ini,” ujar Mahfuz.

16 October 2013

Tidak wajar kata Muslim kafir kerana soal penggunaan kalimah Allah, kata Asri

Bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menolak pandangan mengatakan seseorang Muslim tersebut kafir kerana mempersoalkan pengharaman penggunaan kalimah Allah ke atas penganut agama lain.
Kenyataan Asri tersebut membidas bekas mufti Johor, Datuk Noh Gadut, yang juga penasihat Majlis Agama Islam, kerana memberi amaran kepada penganut Muslim yang mempersoalkan pengharaman kalimah Allah ke atas yang bukan Muslim.
"Walaupun kamu penyokong kuat kerajaan dan bersetuju dengan apa yang mereka lakukan, kamu tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan kebodohan kamu," kata Asri kepada The Malaysian Insider.
Asri kemudian menjelaskan isu kalimah Allah hanya menjadi pertikaian di Semenanjung Malaysia, sebaliknya kalimah suci tersebut tidak menjadi isu di negara-negara lain yang juga mengamalkan ajaran Islam.
"Di negara Arab yang penganutnya Muslim, tiada masalah seperti ini. Negara seperti Jordan dan Mesir, kalimah Allah telah digunakan oleh pihak gereja besar lebih 1,400 tahun dahulu lagi," katanya lagi.
"Jadi, adakah beliau (Noh) berkata semua cerdik pandai Muslim dan ulama seluruh dunia kecuali di Semenanjung Malaysia adalah kafir?"
Asri menganggap kenyataan sedemikian oleh Noh akan memberikan kesan yang besar kerana isu kalimah Allah tidak wujud di negara Islam lain.
"Beliau menuduh umat Islam seluruh negara sebagai murtad kerana membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah, ini sangat besar," dakwa Asri.
Noh dipetik berkata dalam Utusan Malaysia menyelar sesiapa yang mempersoalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai menderhaka dan keji.
"Jika Muslim mempersoalkan dengan menyedarinya, mereka boleh dianggap sebagai kafir atau menjadi murtad," kata Noh yang dipetik berkata dalam Utusan Malaysia.
Selain itu, Asri juga menerangkan selagi kalimah Allah digunakan untuk merujuk kepada "paling agung", ia tidak bukan satu masalah kepada pihak bukan Islam untuk menggunakannya.
"Jadi, ia sebenarnya bukan satu isu. Muslim percaya kepada satu tuhan. Maka bagaimana kita boleh mengatakan Tuhan kamu berbeza daripada saya," tambah beliau.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan semalam sebulat suara telah menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada Tuhan bagi agama Kristian.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campurtangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.
Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan.
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.
Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.
Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

15 October 2013

Dialog Antara Agama semakin Mundur


MP Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan Mahkamah Rayuan semalam berhubung kes melibatkan penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah Katolik The Herald menunjukkan dialog antara agama semakin mundur di negara ini.

Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini, anggota jawatankuasa PAS pusat itu menyalahkan kumpulan berhaluan kanan atas keadaan itu.

Katanya, beliau menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang mehe namun tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Katanya, banyak liputan dari media kerajaan mewakili pandangan dari kumpulan berhaluan kanan yang ekstrem.

“Ini adalah orang yang tidak dapat memahami keperluan hubungan antara agama. Mereka diberi perhatian seolah-olah mereka mewakili keseluruh masyarakat (Islam), yang tidak sepatutnya,” katanya.

Anak kepada bekas presiden PAS Yusof Rawa itu berkata, beliau telah meneliti penghakiman yang disampaikan oleh mahkamah semalam.

Katanya, beliau tidak setuju dengan alasan berhubung ancaman pengembangan agama ke atas orang Islam, seperti yang disebut dalam penghakiman tersebut.

Mujahid berkata, alasan tersebut seolah-olah menunjukkan Islam adalah agama yang lemah.

"Orang Islam harus melindungi agama lain untuk memastikan kebebasan beragama. Kita sepatutnya menunjukkan contoh bahawa tiada paksaan dalam Islam,” katanya.

Menurutnya, tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut mungkin dipengaruhi oleh kumpulan berhaluan kanan.

"Kita sepatutnya mampu melihat gambaran yang lebih besar. Keputusan ini bermakna kumpulan dari agama lain tidak boleh disatukan sekiranya kita terus bersikap sebegini,” katanya.

Tambahnya, keputusan semalam akan memberi kesan yang besar, terutama kepada golongan di Sabah dan Sarawak, yang menggunakan Bible dalam bahasa Indonesia atau bahasa Malaysia.

12 October 2013

TGNA cadang Selangor mula laksanakan syariat Islam

SHAH ALAM: Isu tahaluf siyasi menjadi bahan utama ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi ia senyap apabila Pakatan Rakyat dapat mengekalkan kemenangan di Selangor. 

Menurut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, begitu juga dengan isu perlaksanaan syariah Islam yang ditimbulkan akan selesai apabila Selangor memulakan langkah melaksanakan syariah Islam. 

"Selangor negeri orang cerdik pandai, ada pakar-pakar duduk di sini, banyak universiti di sini, buat perlaksanaan Islam ini, Insya Allah berjaya," katanya ketika menutup Seminar Syariah Islam, di sini, petang ini. 

Beliau turut menyentuh tentang kewajiban umat Islam perlu melaksanakan syariat Islam kerana ia menjadi `pasport' manusia untuk duduk di bumi ini. 

"Mana-mana orang yang tidak redha dengan hukuman Allah, boleh pergi ke bumi Amerika, bumi Jepun tetapi semua bumi itu milik Allah," tegasnya. 

Beliau menegaskan bahawa perlaksanaan syariat Islam itu wajib, mereka yang tidak melaksanakan hukum itu amat bertentangan dengan hukum Allah. 

"Susah nak jaga undang-undang ini sama juga nak jaga agama. Mana lebih baik jaga undang-undang buatan manusia dengan jaga syariat Allah," tegasnya. 

Perlaksanaan Islam tidak halang kerjasama PAS/PR

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perlaksanaan undang-undang Islam tidak menghalang kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat termasuk rakan bukan Islam kerana mereka tidak terlibat dengan undang-undang tersebut sebaliknya mereka harus melihat undang-undang itu dilaksanakan terlebih dahulu. 

Katanya, PAS menyatakan dasarnya secara terbuka manakala DAP turut menyatakan perjuangannya secara terbuka dengan berdialog maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa menghalang dalam perkara yang berbeza. 

Beliau turut menegaskan untuk melaksanakan undang-undang Islam kuasa politik  merupakan syarat utama untuk menggubal undang-undang dalam perlembagaan negara. 

Katanya, undang-undang merupakan salah satu rukun dalam negara mengikut kaedah politik dan undang undang sebuah negara tidak boleh diikhtiraf  kecuali mempunyai lima syarat. 

"Sebuah negara mesti mempunyai pemimpin iaitu kerajaan yang memerintah, negeri atau negara, rakyat, ada perlembagaan dan kedaulatan sebuah negara mesti bebas sepenuhnya," katanya dalam ucaptama `56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia', di Unisel, Shah Alam. 

Beliau menegaskan sebab itu negeri Kelantan, Terengganu ketika memerintah bahkan Selangor mempunyai bidang kuasa yang terhad untuk melaksanakan undang-undang Islam. 

Menurut beliau, penjajah telah meminggirkan undang-undang Islam setelah mereka gagal untuk memurtadkan penduduk supaya meninggalkan ajaran Islam kerana melaksanakan konsep sekularisma memisahkan agama dengan urusan dunia. 

Undang-undang Islam itu katanya telah dipinggirkan secara halus dengan cara mewujudkan Jabatan Agama Islam sedangkan Islam itu lebih besar dan tidak perlu berada di bawah satu jabatan.

 "Mengapa Islam ada pejabat seperti pejabat haiwan, pejabat hutan dan bermacam-macam pejabat lagi. Islam ditadbirkan bukan Islam dikongkong," tegasnya. 

Beliau berkata, undang-undang Islam bukan sekadar undang-undang keluarga, pusaka serta berkait dengan wakaf bahkan undang-undang keluarga tidak boleh diasingkan daripada undang-undang lain. 

Mengulas tentang Suruhanjaya Reid katanya, PAS bersama NGO Islam pernah menghantar memorandum mendesak supaya Islam diletakkan dalam pelembagaan kerana umat Islam merupakan majoriti besar selepas kemerdekaan. 

Katanya, tekanan itu menyebabkan Suruhanjaya Reid meletakkan Perlembagaan Fasa 3 Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama lain boleh diamalkan. 

Menurut beliau, selepas 56 tahun negara mencapai kemerdekaan pemikiran pimpinan negara masih jumud kerana mereka tidak mengikut ajaran Islam.

PAS mendesak supaya syariat Islam yang sempurna dilaksanakan secara umum malangnya ada kalangan yang menentang kerana menganggap syariat Islam lemah sehingga mereka menghentam undang-undang Islam, katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengimbas sejarah PAS menyertai kerajaan campuran pada tahun 1970-an yang tegas dengan pendirian sehingga menegaskan majlis tari menari bercampur lelaki dan perempuan. 

"PAS membantah minuman arak dihidangkan dalam jamuan negara menuntut laungan azan di radio dan TV di adakan," katanya. 

Begitu juga tambah beliau, iklan arak dan judi dihapuskan dalam media kerajaan dan PAS minta supaya ada hak untuk menyebarkan kefahaman Islam di Kementerian.

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini