Pakatan Rakyat (PR) akan melancarkan manifestonya bertemakan Pakatan Harapan Rakyat pada konvensyen keempat perikatan itu awal minggu depan, di sebalik desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipanggil dalam waktu terdekat.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, Majlis Presiden PR telah meluluskan manifesto untuk dibentangkan kepada rakyat lebih awal bagi menggambarkan komitmen pemimpin.
Menurutnya, manifesto ini telah dikemas kini dan ditambah baik dari semasa ke semasa apabila jangkaan tarikh pembubaran Parlimen sering meleset.
Beliau juga berkata, manifesto tersebut merangkumi empat teras utama seperti Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.
"Lagi lambat perdana menteri umum pembubaran Parlimen, lagi banyak masa kita tambah baik manifesto kita ini.
"Manifesto untuk rakyat ini akan dibentangkan pada 25 Februari ini pada konvensyen kita yang keempat.
"Dalam manifesto ini, kita ada empat teras utama yang semuanya menitikberatkan rakyat," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Difahamkan manifesto yang telah diluluskan oleh Majlis Presiden PR baru-baru ini mengandungi dasar-dasar dan program baru yang mempunyai kaitan dengan rakyat.
Manifesto itu juga mempunyai perkara-perkara yang ada dalam Buku Jingga dan diringkaskan untuk memudahkan rakyat memahaminya.
Mengulas lanjut, Rafizi juga berkata, manifesto yang dibentangkan membolehkan rakyat dapat melihat perbezaan antara dasar kerajaan dan pembangkang.
Rafizi berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) masih berada dalam keadaan paranoid manakala pembangkang semakin maju ke hadapan.
"Sekarang Najib belum panggil untuk pilihan raya, nanti kita bentang manifesto, mungkin salah satu cara mempercepatkan pembubaran Parlimen.
"Lagi lambat Najib bentang lagi ke depanlah kita," katanya.
Dalam pada itu, ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, manifesto yang PR akan bentangkan memudahkan rakyat memahaminya.
Beliau berkata, manifesto ini bukan berbentuk akedamik tetapi diterangkan secara ringkas.
"Manifesto yang kami akan bentangkan tidak terlalu lengkap dan bukan berbentuk akademik tetapi berbentuk ringkas.
"Kita juga buat manifesto ini untuk nyatakan apa yang kita tawarkan kepada rakyat lebih baik berbanding BN," katanya.
Di samping itu, Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching berkata, dokumen yang dibentuk dalam manifesto ini menunjukkan komitmen pemimpin PR selama empat tahun berkhidmat.
"Dokumen yang bakal kita bentangkan ini menunjukkan komitmen yang ditunjukkan oleh PR," katanya.
No comments:
Post a Comment