Buat pertama kali dalam sejarah sejak lebih 18 tahun Kelantan di bawah teraju PAS apabila dapat menghimpunkan lebih 1,000 masyarakat India sempena perayaan Deepavali, di sini malam tadi. Kehadiran mereka menyedatkan Dewan Sri Guchil yang terletak tidak jauh dari bandar Kuala Krai. Kecil besar, tua dan muda memenuhi dewan tersebut. Mereka datang dengan kenderaan sendiri dan beberapa bas termasuk dari Gua Musang, Tanah Merah, Kota Bharu dan beberapa ladang di sekitar Kuala Krai. Golongan warga emas ketika ditemui seronok dengan program tersebut yang julung diadakan melibatkan semua masyarakat India dari seluruh Kelantan. Tahun lepas program seumpama itu hanya diadakan di Ladang Kerella, Tanah Merah. Ketika Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berucap di pentas semua mata tertumpu kepadanya biar pun sebelum ini mereka sudah acap kali mendekati Menteri Besar Kelantan. Mereka beberapa kali bertepuk tangan tanda sokongan dan setuju dengan apa yang diucapkan pemimpin kesayangan mereka. Seorang pemimpin masyarakat India dari Kota Bharu, Arjuna a/l Subramanian, 62 yakin lebih ramai lagi golongan warga emas India yang ingin datang ke majlis seperti itu sekiranya diadakan lagi tahun depan. "Biar pun saya sudah acap kali bertemu dengan Tok Guru Nik Aziz kerana tinggal di Kota Bharu, namun penduduk India yang tinggal di kawasan pedalaman cukup gembira datang ke majlis malam ini," katanya. Hadir sama pada program bersejarah itu anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Anuar Tan Abdullah, Dr Mohamed Fadzli Hassan, Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Adun Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria, Adun Galas, Chek Hashim Sulaima dan Ketua Jajahan Kuala Krai, Adnan Hussin. Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN), Ustaz Abdul Rahman Yunus. Masyarakat Cina tempatan yang terdiri daripada sebuah pertubuhan keagamaan turut kelihatan pada program tersebut. Program berkenaan bermula jam 4 petang di mana diadakan pertandingan melukis yang dikenali sebagai kolam. Manakala jamuan makan malam bermula jam 8.30 malam. Orang ramai menikmati hidangan nasi beriani. Program itu dianjur UPKN dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar. Orang ramai yang hadir turut disajikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh artis-artis Astro. Golongan kanak-kanak paling seronok dengan berkejar ke sana ke mari, manakala warga emas mengeleng-geleng kepala ketika irama lagu Tamil dinyanyi artis lelaki. Arjuna berkata, program itu diadakan di tempat yang begitu strategik kerana masyarakat India dari seluruh Kelantan dapat hadir ke program tersebut. "Bagi yang tinggal di Gua Musang tidak perlu lagi bersusah payah datang ke Kota Bharu. Oleh itu diharap kerajaan negeri menjadikan program seumpama ini sebagai acara tahunan," ujarnya. Pemilihan tempat program tersebut ditentukan sendiri Menteri Besar, beritahu pengarah UPKN. Dr Fadzli berkata, program tersebut akan diadakan lebih meriah lagi tahun depan. |
No comments:
Post a Comment