AHMAD LUTFI OTHMAN dan SAIDAH HAIRAN dengan Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Selangor
Jaafar Samsudin, di pejabat Harakah, 2 Nov lalu. Lebih dikenali sebagai Cikgu Jaafar, beliau banyak menyentuh isu daftar pemilih yang cukup kritikal di Selangor. Mengapa BN mempunyai keyakinan tinggi untuk menawan negeri termaju ini?
HARAKAH: Selangor menjadi negeri tumpuan Umno dan Pengerusi Perhubungan Negeri, Najib Razak. Bagi BN, negeri termaju ini mesti dirampas semula, dengan apa cara sekalipun. Justeru, ramai bimbang pelbagai penipuan dan tipuhelah akan dilakukan, termasuk jalan pintasnya dengan memanipulasikan senarai daftar pemilih. Kepada cikgu, apakah kekhuatiran orang ramai itu berasas?
JAAFAR: Kekhuatiran itu ramai memang berasas. Ini dapat dikesan daripada rang daftar yang kita semak dan bantah sejak suku tahun 2010 hingga suku tahun ketiga 2011. Kita bantah berdasarkan semakan kita kerana timbul keraguan.
Pertama, pertambahan bakal pemilih begitu banyak. Begitu juga dengan pendaftaran tukar alamat. Begitu ramai pemilih yang didaftarkan, tukar alamat masuk ke Selangor. Pertukaran tukar alamat masuk itu perkara janggal dan tidak pernah berlaku sebesar itu sebelum ini. Maknanya, ada gerakan besar-besaran dibuat oleh pihak tertentu. Mereka masukkan pengundi yang berasal dari Sabah dan Sarawak khususnya di kawasan Parlimen dan Dun yang dimenangi Pakatan Rakyat.
Misalnya, di Parlimen Kota Raja, bagi suku tahun kedua sebanyak 7,000 pengundi masuk. Di Parlimen Shah Alam, 5,000 dan di Parlimen Kapar, juga 5000. Dun yang paling besar menerima penambahan ialah Bangi, 3,000.
Sebelum ini, kebanyakannya kurang 1,000. Ini menunjukkan proses pendaftaran dibuat begitu hebat. Saya semak, ada unsur pendaftaran luar biasa dan mungkin berlaku penyelewengan.
Pengundi bukan bermastautin di Parlimen dan Dun berkenaan. Kita bantah 1,600 dan kita berjaya 1,400. Bagi suku tahun kedua, kita bantah 1,400, dan kita berjaya 1350. Hanya 50 orang yang kita bantah ditolak SPR. Ramai yang dibantah itu tidak datang semasa bantahan. Kita mengemukakan bukti yang cukup.
Saya nampak kerjasama SPR dalam soal bantahan semakin baik. Tapi bukan bermakna kita cukup puas hati atau berasa sudah selamat ... proses ini mesti berterusan. Ia juga memberikan latihan dan kepekaan kepada jentera pendaftaran pilihan raya PAS kita baik
Cuba jelaskan bagaimana proses semakan dan bantahan?
Untuk suku tahun pertama yang berakhir Mac, proses bantahan pada April. Tempoh bantahan hanya seminggu. Tempoh ini tidak mencukupi. Kita tidak berkemampuan melakukan bantahan yang lebih banyak dalam waktu singkat.
Berapa banyak bantahan dapat dibuat?
Saya agak dalam 20 peratus yang masih kita tidak dapat bantah. Ia terutama yang babitkan kad pengenalan menggunakan kod 71. Iaitu mereka belum ditentukan negeri lahirnya. Kalau dilahirkan di Amerika atau England ada kod-kod tertentu. Tapi awal dulu JPN menggunakan kod yang sama, 71. Sekarang JPN menggunakan kod 71 ini untuk ambil jalan mudah atau ada perkara yang disorokkan.
Kalau kita semak di JPN kita dapati ia juga babitkan kad pengenalan merah. Jumlahnya agak ramai. Dalam suku tahun kedua, sebanyak 17,000 seluruh Selangor.
Dalam 17,000 itu dapat kita buktikan mempunyai kad pengenalan warna merah atau bukan warganegara. Ia tidak boleh didaftarkan. Bukan semua kod 71 kita bantah, tapi hanya yang timbul keraguan.
Adakah ada bukti bahawa semua itu merupakan perancangan Umno?
Apabila kita bantah, ada kalanya nampak orang belakang mereka adalah pimpinan Umno. Dalam bantahan suku tahun dulu, mereka dibawa beramai-ramai, malah jawapan yang diberikan adalah sama. Ada juga yang mengakui bahawa mereka tidak pernah mendaftar.
Contohnya, soalan di mana mereka didaftarkan, jawapannya sama. Begitu juga dengan bukti-bukti lain, yang menunjukkan memang mereka diatur oleh pihak lain untuk menekan kita. Banyak juga kos yang perlu dikeluarkan. Kita sudah belanjakan untuk suku tahun kedua sekitar RM42,000, yang kita kalah kes.
Beberapa kawasan 100 peratus kita menang. Hulu Langat, 100 peratus menang. Kota Raja, 98 peratus menang iaitu sebanyak 243. Hanya tiga pemilih ditolak.
Tentunya proses semakan dan bantahan yang rumit dan memakan belanja besar itu tidak dapat menghalang usaha licik Umno untuk merampas Selangor?
Ya, kita masih lagi bimbang ... tapi kita kena lakukan proses itu secara berterusan, sekurang-kurangnya untuk mengingatkan pihak berkuasa. Umno-BN juga akan lebih berhati-hati kerana tahu mereka diperhatikan. Kita harus pastikan dokumen sempurna ketika menyemak. Akibat bantahan kita, pendaftaran untuk suku tahun ketiga agak berkurangan.
Bagaimana pula dengan undi pos, yang juga dilihat seperti simpanan tetap buat BN?
SPR membuat pengakuan secara rasmi dengan PAS Selangor bahawa undi pos ditolak sebanyak 3,000. Ini kerana undi pos dibuat untuk menukar status pengundi awam di kalangan isteri polis. Sedangkan isteri polis tidak layak untuk mengundi pos. Dia undi biasa tapi ditukarkan dan dibuat suku tahun kedua dan ketiga. Sebanyak 3,200 untuk Selangor dan semua ditolak.
Undi pos dipanggil pengundi tidak hadir. Sesiapa boleh mengundi bagi pihak mereka.
Dalam konteks Selangor, apakah masalah undi pos ini membimbangkan?
Di Selangor, ada beberapa kawasan yang kritikan kerana undi pos, misalnya di Hulu Langat sebanyak 7,000. Dulu hanya 3,500, naik sekali ganda. Tahun 2008, majoriti kita menang kerusi berkenaan lebih kurang 1,700. Apabila undi pos naik 7,000, rasanya kerusi Hulu Langat dalam keadaan cemas.
Undi pos kita boleh bantah bila terdapat pengundi byang tidak layak, pada bila-bila masa, sepanjang tahun. Ia bertambah mungkin disebabkan kewujudan kem yang baru atau penambahan anggota.
Ada sahaja polis dan tentera yang bersara setiap masa, kita dibenarkan kemukakan dokumen dan kita minta SPR keluarkan senarai dan padamkan nama mereka, yang bukan lagi polis dan tentera.
Seharusnya proses membersihkan nama itu tugas SPR, kan?
Ya, tetapi mereka kata sukar untuk kemaskini. Dan kita mesti ingat, undi pos ini sering menjadi faktor untuk memenangkan pihak lawan. Jumlah undi pos tidak perlu besar, sehinga 10,000, untuk menjejaskan kemenangan kita, cukup dengan 1,000 undi.
Misalnya, di kerusi Dun Morib, keputusan undi biasa menunjukkan PAS menang dengan majoriti 400. Apabila dibawa undi pos sebanyak 640, BN pula menang dengan majoriti 400 lebih.
Undi pos ada di Dun Paya Jaras, Morib, Dusun Tua dan Gombak Setia. Sekarang ini undi pos banyak di Parlimen Shah Alam, 700, sedangkan asalnya 20 orang sahaja. Di Kota Raja hanya lapan.
Ia juga satu perencanaan untuk mengalahkan kita?
Ada keraguan, khususnya di Paya Jaras, Shah Alam, Hulu Langat, undi pos meningkat. Undi pos jika dikendalikan seperti sekarang memang satuancaman. Ini kekuatan atau senjata parti lawan mereka untuk merampas kerusi kita.
Di Hulu Langat kemasukan sehingga 3,000 undi pos. Kita jangka kedudukan kita tidak selamat.
Kita mengakui pengakuan BN boleh merampas Selangor, atau menyatakan Selangor dalam genggaman, ada asasnya. Ini dilaungkan pemimpin BN di hadapan jentera mereka sendiri. Misalnya, dalam himpunan guru-guru Kemas, pemimpin BN yakin Selangor dapat dirampas.
Memang kempen dari rumah ke rumah yang dibuat secara agresif oleh guru Kemas boleh mempengaruhi. Betapa cantik jentera BN, sebab mereka ada 'skrip'. Dari segi ini mereka lebih berdisiplin dan sistematik.
Jentera pilihan raya BN paling utama ialah Kemas. Di setiap Parlimen ada guru Kemas sekitare 30 orang. Seluruh Selangor, melebihi 600 yang menggerakkan jentera perayu dan kempen.
Skrip mereka boleh mempengaruhi rakyat. Kita sudah ada sejarah bagaimana segelintir orang ramai terpengaruh dengan kes Anwar Ibrahim dulu. Walaupun ia dusta, tetapi jika diulang-ulang terutama di kawasan luar bandar, ia mungkin dapat mempengaruhi.
Itu menunjukkan jentera kempen kita juga lemah, ya?
Saya pernah bertanya pengundi di Dun Selat Kelang; ada pengundi warga emas percaya kerajaan kita lemah dan tidak tolong rakyat. Walaupun ia tidak benar, tetapi guru Kemas sering melaungkan perkara ini, dan ada yang percaya. Salah atau benar cerita lain.
Memang kita di pihak yang benar dan kuat, tapi bagaimana kita sampaikan kebenaran dan maklumat itu kepada rakyat. Ini sangat kurang. Sebab itu saya tidak percaya orang Melayu tidak sokong PAS; ia berpunca kelemahan jentera parti.
Bagus kempen PAS Ganti Umno, tapi kita kena menyediakan sistem yang canggih bahawa orang Melayu mesti menggantikan Umno dengan PAS. Cadangan saya, pertama kuatkan jentera parti. Kedua, kuatkan jentera pilihan raya dan ketiga kuatkan jentera penerangan.
Penerangan ini cukup penting. Kekuatan jentera BN terutama di kampung, pada penerangan, iaitu guru-guru Kemas. Kalau penerangan kita dilipatgandakan, rakyat akan dapat maklumat dan kefahaman.
Dengan kemasukan pengundi luar yang ramai ke Selangor, ditambah kecurigaan terhadap pemegang kad pengenalan merah dan kod 71, serta kemungkinan mengundi lebih daripada sekali, selain undi pos, apakah taktik jahat BN untuk rampas Selangor dapat kita sekat? Tarikh pilihan raya pula semakin dekat.
Kita akan berjumpa SPR di Putrajaya, 20 Nov dan bawa bahan-bahan bukti. Akan kami timbulkan beberapa kelemahan besar terutama daftar pemilih dan Pendaftar Pilihan raya Parti Politik (PP-PP) yang diberhentikan SPR tanpa pengetahuan kita. Sedangkan mereka jalankan kerja yang baik.
Cikgu berpuas hari gerakerja pilihan raya PAS Selangor?
Umumnya belum memuaskan. Pertama pendaftaran tidak memuaskan, penerangan tidak menyeluruh dan berkesan, manakala penculaan lemah. Penculaan ini satu daripada kelemahan yang ditegur Presiden PAS. Banyak kerusi Dun PAS yang begitu lemah pendaftaran pemilih baru.
Hanya aspek kebajikan memuaskan tapi kena lipatgandakan usaha. Program seperti merakyatkan ekonomi Selangor dan Jom Shopping menarik perhatian. Ada warga emas menangis dengan layanan petugas kita.