22 August 2013

Perginya Seorang Pejuang

Hari ini 22 Ogos 2013, ketika ummat Islam masih lagi meraikan syawal, seorang lagi pejuang Islam di Kota Raja iaitu Tn Haji Jupri bin Haji Said atau lebih dikenali dengan nama Hj Aman meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Berita pemergiannya diterima seawal  jam 8.00 pagi di Hospital KPJ Shah Alam setelah beliau dikejarkan ke hospital tersebut kerana mengadu sakit bahagian belakang badan malam tadi. Sebelum ini beliau pernah dirawat di hospital beberapa kali kerana keuzuran akibat tua. 

Tn Haji Jupri yang dilahirkan pada 25 Jun 1932 telah dijemput oleh Allah SWT menghadap-Nya ketika usianya menjangkau 81 tahun. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 10 orang anak. Almarhum adalah di antara pengasas Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Kg Jalan kebun pada tahun 80an. Namun penglibatan beliau dalam PAS sebenarnya lebih lama lagi bersama adik beradiknya semenjak tahun 60an lagi. Abang-abangnya Almarhum Tn Guru Haji Ali Said dan Almarhum Tn Hj. Shamsuri Said adalah di antara pengiat PAS yang banyak jasanya kepada perjuangan dan kesedaran Islam masyarakat Kg Jalan Kebun bersama rakan-rakan seangkatan dengannya.

Saya mengenali secara rapat dengan almarhum pada tahun 1986 ketika saya masih lagi bersekolah dalam tingkatan 5. Pada ketika itu PAS cawangan Jalan Kebun telahpun wujud. Saya terlibat dengan program-program pentarbiyahan yang diadakan di markaz PAS Jalan Kebun yang didirikan bersebelahan dengan rumah abangnya Tn Hj Shamsuri.

Almarhum Tn Haji Jupri yang saya kenali memang seorang yang sangat hebat sifat peribadinya. Beliau adalah seorang yang berilmu, kental imannya dan tegas dalam perkara yang berkaitan soal akidah dan amalan Islam. Apatah lagi dalam soal perjuangan Islam yang beliau dokongi. Beliau gigih, berani dan sabar dalam menghadapi rintangan perjuangan walaupun mendapat tentangan yang hebat daripada pemimpin dan penduduk  kampung. Beliau dan ahli keluarganya sudah lali dengan cacian dan fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang membenci kepada kebenaran Islam yang dibawanya.

Hubungannya sesama ahli PAS juga amat erat. Beliau menghormati sesiapa sahaja ahli-ahli PAS tidak mengira umur dan kedudukan. Bahkan beliau bersifat terbuka, boleh menerima pandangan dan menyantuni saya seperti rakan-rakan dewasa yang lain walaupun usia saya terlalu muda ketika itu.

Sifat dermawannya juga amat teserlah. Buktinya, markaz PAS Jalan Kebun yang tesergam indah sekarangpun adalah di antara sumbangan-sumbangan besar daripadanya. Ketika PASTI Nurul Hidayah ditubuhkan pada tahun 1989, beliau adalah di antara individu yang banyak membantu dari sudut pandangan nasihat dan sumber kewangan. Sifat kepemurahan beliau mengingatkan saya kepada Almarhum Ustaz hj Hambari Hj Noor yang saya kenali di Bukit Naga. Mereka adalah pejuang kembar yang dilahirkan oleh Allah SWT untuk pejuang generasi hari ini mengambil iktibar daripada keikhlasan, kegigihan dan pengorbanan mereka.

Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati Almarhum Tn Haji Jupri bin Haji Said dan mengumpulkannya bersama para mujahid di sepanjang zaman. Amin
….
Catatan Azman bin Mohd Mah Husin
Sekretariat Ahli Parlimen Kota Raja

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini