BIAR pun Harakah edisi cetak keluaran Isnin lepas menggunakan tajuk ‘PRU Julai’, namun Perdana Menteri nampaknya masih teragak-agak. Kenaikan tarif elektrik menjadi bebanan baru buat Datuk Seri Najib Razak.
Kenaikan sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen bagi kilowat jam (kwj) menyebabkan bil sebelumnya tentu bertambah lagi. Cuma bil elektrik tidak berubah apabila rumah tidak ada penghuni.
Paling minima disebut RM20 bagi pengguaan elektrik 91.7 kwj. Itu pun hanya terpakai setakat 31 Disember depan. Selepas itu mungkin kerajaan akan mengkaji balik kadar terbabit.
Namun, pada pengumuman 31 Mei lalu, kerajaan tidak menyebut kajian akan dibuat dalam tempoh setiap enam bulan, seperti didakwa banyak pihak sebelum ini.
Aneh juga berdasar iklan disiar media 1 Jun lalu, TNB menyifatkan sumber tenaga boleh baharu seperti hidro, biomass dan solar disifatkan tidak berdaya saing.
TNB juga menyebut sumber tenaga konvensional iaitu penjanaan elektrik berskala besar lebih berdaya saing.
Nampak sangatlah tenaga boleh baru yang mampu menjimatkan wang rakyat bukan pilihan utama kerajaan BN. Betullah seperti didakwa bekas akauntan Petronas, Mohd Rafizi Ramli kewujudan penjana tenaga bebas (IPP) hanya projek menguntungkan kroni.
Dan apabila kroni laba tentunya untung akan mengalir juga kepada pemimpin politik.
Maka tidak hairanlah awal-awal lagi Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan meminta jangan dipolitikkan kenaikan tarif baru.
Nada itu samalah seperti acap kali diulang-ulang sebelum ini. Menteri tidak mahu harga barangan dinaikkan, sedangkan harga bahan api bertambah. Ini seperti cerita pak pandir.
Teori lama itu tidak mampu diguna pakai lagi. Apa yang rakyat hendak tahu Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan pemilik IPP.
Malangnya Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin awal-awal lagi memberitahu kerajaan tidak boleh memaksa didedahkan kepada umum PPA yang dimeterai.
PPA ditandatangani antara beberapa IPP dan TNB. "Siapa kita untuk beritahu mereka supaya mendedahkannya” kata Peter kepada kepada sebuah laman berita baru-baru ini.
PPA ialah kontrak undang-undang antara pengeluar dan pembeli tenaga. Sekarang perjanjian itu diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Rafizi ketika berceramah di Kampung Kubur Kuda di Kota Bharu malam Sabtu lalu mendedahkan kewujudan IPP berpangkal kisah di sebalik gangguan bekalan elektrik di seluruh negara pada 1996.
Ketika itu gangguan disebabkan sistem penghantaran (transmission line) terjadi tripping. Hanya berasas masalah teknikal tiba-tiba Tun Dr Mahathir Mohamad mencetus idea besar melahirkan IPP.
Ani Arope jadi mangsa
Alasan diberi Dr Mahathir kerana TNB tidak mampu membekal elektrik mencukupi.
Pengerusi TNB yang cukup dikenali ketika itu, Tan Sri Ani Arope dijadikan mangsa. Beliau dihentam Perdana Menteri, akhirnya meletak jawatan.
Rafizi juga mendakwa TNB menjadi mangsa apabila dipaksa membeli tenaga dibekal IPP dengan harga mahal. Kesannya kerajaan terpaksa menanggung subsidi antara RM19 hingga RM21 bilion.
“Kerajaan memilih untuk menghukum pengguna dan pemilik industri tanpa menghiraukan keuntungan dikecapi IPP,” katanya.
Sedangkan harga gas di Malaysia 1 Jun lalu masih murah berbanding di negara ASEAN lain. Di negara kita ialah RM13.70 mmBtu, sedangkan di Thailand (RM18.23 per mmBtu), Singapura (RM43.32) dan Indonesia (RM21.04).
Berpandu kepada kedudukan harga gas tersebut Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) menyifatkan kenaikan tarif elektrik tidak adil.
Pengguna dipaksa menanggung bebanan akibat kegagalan pengeluar tenaga membekalkan tenaga yang murah.
Presiden FMM, Mustafa Mansur dalam kenyataannya berkata, walaupun pengurangan subsidi gas sebanyak RM3 bagi setiap mmBtu, harga gas di Malaysia masih jauh lebih rendah berbanding negara lain di rantau ini.
Hairannya biar pun harga gas lebih tinggi di Thailand, namun bagi voltage rendah, sederhana dan tinggi, tarif elektriknya lebih rendah. Bagaimanapun tarif elektrik komersil di Thailand hanya 0.4 peratus lebih tinggi daripada RM37.85 kw/j di Malaysia.
Berasas kepada perkiraan itu ramai mendakwa IPP meraih keuntungan lumayan daripada kontrak yang cuba dirahsiakan kerajaan.
IPP menikmati subsidi gas sedangkan sebahagian besar mereka disenaraikan orang paling kaya di Malaysia. Dalam senarai billionaire 2011 ada nama mereka. Malangnya kerajaan BN masih bermurah hati sedekahkan subsidi kepada billionaire.
Berpangkal kepada kemelut yang dicipta Najib 1 Jun lalu, maka petanda pilihan raya umum ke-13 kini menjadi semakin samar.
Umno belum tempah poster
Hujah itu disokong pula dengan dakwaan sumber, ibu pejabat Umno di PWTC belum lagi menempah material kempen daripada luar negara sebagaimana lazim dilakukan.
Kata sumber itu biasanya segala peralatan kempen termasuk poster ditempah dari China. Andaian itu ada asasnya.
Sebaliknya seorang pegawai jabatan pusat pula memberitahu ada arahan daripada ibu pejabat supaya jabatannya mendekati kelompok penduduk.
”Perjumpaan dengan mereka perlu diadakan bagi mengetahui apa yang kehendaki daripada kerajaan,” ujar pegawai terbabit.
Pegawai lain pula memberitahu penjawat awam yang berminat bertugas sebagai pembantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari mengundi sudah disenaraikan.
Tindak tanduk tersebut seperti menggambarkan SPR sudah bersiap sedia menghadapi pengisytiharan PRU-13 pada bila-bila masa. Cuma Najib sahaja nampak gelabah.
Malah agenda setting Umno memperkudakan Utusan sudah rapat ke siling.
Utusan hari ini benar-benar mempraktikkan teori yang digunapakai bekas Menteri Penerangan Itali zaman Hitler iaitu Joseff Goeble.
Joseff menyebut ”kerajaan hendaklah berbohong kepda rakyat dan pembohongan itu hendaklah diulang-ulang supaya rakyat percaya. Jangan sama sekali rakyat tahu kebenaran. Kebenaran adalah musuh negara.”
Inilah yang sedang berlaku di hadapan kita sekarang. Video seks adalah bukti Umno menggunapakai teori Hitler bagi menghalang kebangkitan Pakatan Rakyat.
Biar pun Wata Hawari disingkir, Umno lupa masih ramai lagi refomis journalist berada di bawah bumbung Utusan Melayu.
Sekarang siapa yang terjerat dalam isu tarif baru elektrik. Dendam rakyat pastinya akan dizahirkan pada kertas undi. Bubarlah parlimen sekarang kalau Najib berani.