Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan terus berjuang melawan pihak yang menentang Islam selagi diberi kesihatan.
Menteri Besar Kelantan itu juga menjelaskan, beliau sangat bersyukur kerana sehingga kini masih diberi nikmat kesihatan oleh Allah untuk meneruskan tugas dakwah kepada masyarakat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan kesihatan di sebuah pusat rawatan di Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati gula dalam darah, buah pinggang semuanya baik, malah jantungnya juga dalam keadaan baik.
“Pendek kata, kalau nak lawan pihak yang menentang Islam boleh lagilah,” ujarnya bersemangat ketika berucap meraikan Anak Kelantan di Perantauan Sabah bersama anggota keluarga masing-masing hari ini.
Semalam, beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk bertanding pada PRU13 memandangkan kesihatannya masih baik.
Katanya, untuk bertanding pada pilihan raya, apatah lagi melawan Umno, isu kesihatan tubuh badan bukan menjadi faktor utama sebaliknya cukup dengan mempunyai pemikiran yang baik.
"Insya-ALLAH...apa sahaja yang Umno tidak suka, itulah yang saya akan buat (bertanding).
"Bertanding politik bukan perlu tubuh badan sihat tetapi akal yang sihat. Bertanding bukan semestinya untuk bertumbuk. Kalau bertumbuk saya minta maaf," katanya.
Dalam pada itu, seramai 120 orang anak perantauan diraikan dalam majlis tersebut hari ini dalam satu majlis di JKR 10 di sini.
No comments:
Post a Comment