18 June 2013

Letak Jawatan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusuf tidak perlu menunggu Yang di-Pertuan Agong mengarahkan supaya meletak jawatan setelah mengakui kegagalan dakwat kekal, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Tujuan dakwat kekal ialah untuk memastikan pilihan raya yang bersih.

"Apabila Aziz mengakui dakwat tersebut tidak kekal, ia dengan sendirinya bermakna SPR mengakui ia gagal memastikan pilihan raya dijalankan dengan bersih.

"Tidak perlu tunggu Agong, itu sudah lebih dari mencukupi untuk menjadi sebab Aziz dan kepimpinan SPR sedar diri dan meletak jawatan," kata beliau.

Aziz dan SPR, kata Mahfuz, juga gagal menguruskan wang rakyat dengan sewajarnya.

"Apabila dakwat yang didakwa kekal itu terbukti tidak kekal, ia sekaligus kegagalan menguruskan wang rakyat kerana wang rakyat dibazirkan tanpa mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya.

Dalam pengakuannya bahawa dakwat yang didakwa kekal itu sebenarnya tidak kekal, Pengerusi SPR itu berkata: "Tetapi pada hari yang ditunggu-tunggu kuasa Allah lebih hebat apabila dakwat boleh hilang selepas beberapa kali dicuci, di mana silapnya?

"Dengan pengakuan itu, Mahfuz hairan mengapa Aziz dan kepimpinan SPR berpura-pura tidak boleh menilai sendiri bahawa majoriti rakyat semakin tidak percaya kepada mereka.

"Cara Aziz meletakkan beban kepada takdir Allah bukan sahaja menyebabkan rakyat semakin tidak percaya kepada SPR malah menyebabkan mereka semakin sakit hati.

"Amatlah tidak bermaruah jika Aziz dan seluruh kepimpinan SPR berdolak dalik untuk mempertahankan keengganan mereka meletak jawatan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Aziz sebelum ini berkeras menyatakan bahawa kepimpinan SPR tidak akan meletak jawatan sambil menyatakan hanya Agong yang berhak mengeluarkan arahan kepada mereka untuk meletak jawatan.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini