Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud untuk menyeru agar timbalan presiden parti itu dipilih daripada kalangan ulama.
Bekas menteri besar Kelantan itu hari ini berkata, laporan media berhubung dakwaan tersebut adalah tidak benar.
“Akhbar tulis itu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama.
“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama (golongan ulama dan profesional), sedangkan sebenarnya satu sahaja,” kata Nik Aziz seperti dilaporkanHarakahdaily hari ini.
Beliau turut menyalahkan pihak tertentu yang menurutnya cuba menimbulkan pergeseran antara golongan ulama dan profesional dalam PAS.
Sedangkan, golongan ulama menurutnya boleh "bercakap dengan dalil al-Quran dan Hadis biarpun bertali leher atau memakai songkok".
Laporan media pada Sabtu lalu menyebut beliau meminta agar Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai presiden, dan berharap agar jawatan timbalan tersebut diisi oleh golongan ulama.
Kenyataan tersebut kemudiannya dibaca oleh pemerhati PAS sebagai arahan dan mungkin juga isyarat kepada para perwakilan untuk memilih pemimpin dari golongan ulama.
Penjelasan itu juga muncul ketika media giat menimbulkan spekulasi berhubung kedudukan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, yang dikatakan dalam kedudukan genting susulan laporan tersebut.
No comments:
Post a Comment