Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, golongan profesional sangat berperanan dalam PAS sejak awal penubuhannya lagi.
Malah katanya, pimpinan dari kalangan itulah yang telah memainkan peranan penting dalam mendaftarkan PAS menjadi sebuah parti politik yang pada asalnya adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Menurutnya, sejak ditubuhkan tahun 1951, ia telah melibatkan profesional bahkan Yang Dipertua PAS paling awal antaranya Dr Abbas adalah dari kalangan profesional.
"Dr Abbas ini adalah antara generasi awal barang kali dulu dari Dr Mahathir lagi kelulusan Universiti Singapura, dialah yang bertanggungjawab mendaftarkan PAS sebagai parti politik yang asalnya adalah NGO.
"Dan yang terlibat juga, Prof Ahmad Ibrahim iaitu pengasas Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dia ialah ahli PAS yang ke 6,000 di samping Prof Ungku Omar, Aminuddin Baki dan begitulah seterusnya perjalan PAS sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pusat Tarbiyyah dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PAS Kawasan Tambun, Taman Meru, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ustaz Hadi menjelaskan, golongan profesional sangat diperlukan dengan bekerjasama bersama ulama untuk mentadbir negeri mahupun negara.
Katanya, jika ingin menjadi kerajaan mestilah mempunyai kemahiran hukum-hakam Islam dan kepakaran pelbagai bidang yang dikuasai oleh profesional.Ketika ditanya apa jaminan Ustaz Hadi tentang kedudukan golongan profesional dalam PAS, beliau berkata, ia tidak perlu dijamin kerana mereka menjadi pemimpin PAS sejak awal penubuhan PAS lagi.
Sebelum itu, Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam ucapannya menjelaskan tiada pemisahan antara golongan ulama dan profesional.
“Tiada pemisahan antara golongan ulama dan profesional dalam Islam ini, dan orang PAS jangan terikut-ikut," tegasnya.
No comments:
Post a Comment