Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 13 September lalu yang memerintahkan blogger pro-Umno, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris membayar RM500,000 dalam satu kes fitnah diharap dapat menamatkan budaya politik fitnah dan lucah dalam arena politik negara.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, sudah sekian lama blogger pro-Umno terutama Papagomo secara berleluasa dan sembrono memfitnah para pemimpin Pakatan Rakyat dengan tuduhan palsu dan berunsur lucah namun jenayah siber ini tidak mendapat perhatian langsung pihak berwajib khususnya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Ada banyak lagi blogger pro-Umno yang tindak tanduknya sama seperti Papagomo kerana dipercayai diupah dan diarahkan pihak tertentu.
Mengapa polis dan SKMM hanya memerhati tetapi tidak bertindak?” soal beliau. Selain diperintah membayar ganti rugi kepada plaintif, Wan Muhammad Azri turut berdepan dengan prosiding menghina mahkamah berhubung tulisannya yang mendakwa hakim yang mendengar kes itu sebagai “memudaratkan badan kehakiman”.
Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM500,000 kepada ahli perniagaan Abdul Razak Mohd Noor berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blognya.
Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam membuat keputusan itu selepas mendapati Abdul Razak berjaya membuktikan perkataan-perkataan fitnah dalam artikel yang ditulis oleh Wan Muhammad Azri itu merujuk kepadanya, dan sebenarnya memfitnah beliau.
Vazeer Alam memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar gantirugi am sebanyak RM200,000 dan gantirugi teladan RM300,000 kepada Abdul Razak, serta menetapkan kos guaman sebanyak RM50,000, selain membenarkan permohonan injunksi supaya Wan Muhammad Azri dihalang daripada terus menyiarkan kata-kata fitnah itu.
Dalam penghakimannya, Vazeer Alam berkata Abdul Razak selaku plaintif berjaya membuktikan Wan Muhammad Azri yang menerbitkan artikel itu, meskipun defendan dalam keterangannya menafikan beliau adalah pemilik blog yang dikenali sebagai 'Papa Gomo'.
Beliau berkata dalam kes ini, plaintif telah memanggil saksi pertamanya iaitu Mohd Fauzi Mohd Azmi yang mempunyai blog dikenali sebagai 'Perisik Rakyat' dan dalam keterangan saksi itu menyatakan beliau dapat mengecam defendan setelah defendan sendiri memperkenalkan dirinya sebagai 'Papa Gomo' ketika menghadiri satu persidangan bloggers di Lake View Garden, Subang Jaya pada 16 Mei 2009.
Wan Muhammad Azri sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah penulis blog kontroversi itu.
Abdul Razak, 59, memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri, 30, pada 26 Januari tahun lalu berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blog 'Papa Gomo' pada 11 Disember 2011.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Abdul Razak mendakwa Wan Muhammad Azri telah mengeluarkan kenyataan fitnah bahawa beliau merupakan seorang penipu yang telah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit setelah mendapat kontrak semasa Sukan Komanwel yang berlangsung di negara ini yang menyebabkan reputasinya terjejas.
Selain Abdul Razak, Papagomo juga bakal menghadapi saman fitnah yang difailkan beberapa pemimpin politik antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Pemuda MCA juga pernah membuat laporan polis terhadap Papagomo kerana didakwa membuat kenyataan rasis.
No comments:
Post a Comment