02 July 2009

Tulisan 'PANAS' Dr Dzulkifli yang lesap.

Berikut tulisan "panas" Dr Dzulkifli yang lesap, tiba-tiba muncul di Malaysia Insider tentang ulasan terkini Kerajaan Perpaduan


Tajuk asal: "Gagasan pemikiran kerajaan perpaduan: Mana silapnya?"

JUN 30: Penulis akan mengakhiri penguatkuasaan ’gag order’ yang dikenakannya sendiri. Mentelahan banyak pihak yang menggesa supaya penulis jangan terus membisu.

Penulisan ini akan mengutarakan penghujahan mengapa gagasan pemikiran Kerajan Perpaduan (KP) ditanggapinya sebagai ’ menentang arus’ dan berlawanan dengan momentum kebangunan tata orde Politik Baru yang sedang dalam proses pendewasaannya dan sangat-sangat dihajatkan oleh pengundi, sekaligus membela kepentingan rakyat dan kemaslahatan negara.

Penulisan ini terpaksa mengambil pendekatan separa ilmiah dan separa popular. Ringan bagi yang lebih mengetahui, berat bagi yang kurang menekuni. Yang pentingnya hujah ilmiah mesti diutarakan sebelum isu ini dapat ditamatkan secara muktamad.

Sesungguhnya, analisis secara tepat terhadap gagasan ini sukar untuk dilakukan secara lebih objektif kerana sehingga kini tidak pernah dibentangkan secara pendekatan akademik (terbuka atau tertutup) melalui satu kertas konsep yang menghuraikan falsafah, maksud dan pengoperasiannya. Tanpa itu, penilaian terperinci sememangnya sulit. Namun yang dihujjahkan di sini bukanlah aspek detail atau mikronya, tetapi secara makro atau gambaran besarnya. Sebelum itu beberapa ‘caveat’ atau peringatan awal.

Pertama, kerana yang dilontarkan Presiden parti adalah bersifat pandangan atau ‘ijtihad politik’ dan tidak bersangkutan secara langsung dengan persoalan hukum, maka penulis amat jelas bahawa ia bukan persoalan halal-haram, atau salah-betul. Penulisan tertumpu kepada aspek menilai gagasan pemikiran ini di segi ketepatan atau sebaliknya ‘ijtihad’ politik ini serta kesannya kepada politik negara amnya dan kemaslahatan perjuangan PAS (dan Pakatan) khususnya.

Keduanya, penulis sedar tidak timbul isu tidak wala’ atau kurang hormat kepada Presiden andainya penulis menolak gagasan pemikiran ini. Sebabnya? Jelas dalam hal ’pandangan politik’ seperti menurunkan strategi atau pendekatan taktik perjuangan, pandangan RasulAllah (saw) sendiri pun pernah beberapa kali ditolak oleh para sahabat. Khubab bin Munzir, contohnya pernah memperbetulkan strategi perang yang dibuat oleh RasulAllah (saw) dalam peperangan Badar ketika jelas bahawa perkara itu adalah dari ’pandangan’ Baginda yang menempatkan tentara muslimin di tempat yang tidak strategik dengan kata-kata tegasnya “fainna haza laisa bimanzilin” – ”Ini bukan kedudukan yang paling strategik”.

Begitu juga contoh perbezaan pandangan di peperangan Khandak ketika RasulAllah (saw) berhajatkan untuk berperang di luar Madinah sementara sahabat-sahabat mahu bertahan dalam kota Madinah. Tidak pula mereka dituduh tidak wala’ dan tidak mentaati Rasul Allah (saw). Sayugia bagi semua mengambil faham.

Cuma alangkah baiknya kalau kesemua lontaran ide ini ditangani dengan lebih cermat melalui saluran pemutusan sesuatu ide dalam parti. Namun penulis, selaku optimis tegar, bersedia menerima bahawa disebaliknya kegawatan dan ribut ini, mungkin ada kebaikan yang tidak semua dapat membaca dan mencerapnya. Mungkin juga kita perlu belajar dari kesilapan.

Juga, amatlah diyakini bahawa Presiden PAS sebagai seorang pemimpin negara, telah menggerakkan agenda KP ini untuk semata-mata bertujuan membawa negara keluar dari pelbagai krisis yang tidak berkesudahan dan kemelut yang berpanjangan termasuk impak kemelesetan ekonomi, kereputan institusi-institusi kritikal negara seperti Kehakiman, PDRM, SPRM, SPK dsbnya, sementara mengambil pelbagai kemaslahatan memperbaiki demokrasi dalam pendekatan KP ini.

Pokoknya dan tegasnya, konsep Kerajaan Perpaduan adalah satu pemerintahan yang akan menggembleng seluruh parti-parti politik dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk menangani krisis yang dihadapi negara sehingga diharapkan dapat ditangani bahaya-bencana kebrentakan kemelut ini.

Oleh itu kerap dikatakan Presiden PAS bahawa dalam KP tidak ada ‘pembangkang’, kerana kesemuanya ’memerintah’ dan amat menasabah juga bahawa pengagihan kedudukan kementerian adalah berdasarkan dan berkadar dengan kekuatan kedudukan kerusi setiap parti komponen BN atau Pakatan di Parlimen dalam pentadbiran KP.

Cukup menarik dan berpotensi untuk diperkembangkan secara pengoperasiannya. Pelbagai cadangan juga boleh dimuatkan dalam konsep yang sememangnya idealistik dan mungkin ada yang menelahnya sebagai ‘utopian’ atau di luar kemampuan untuk direalisasikan dalam satu realiti politik sistem pelbagai parti ala-Westminster seperti di negara ini.

Pun begitu, ini bukan sebabnya gagasan KP ini patut ditolak kerana sukar untuk dilaksanakan. Ia juga tidak wajar ditolak atas sebab tidak kesemua parti-parti komponen BN dan Pakatan bersetuju untuk menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan ini. Sememangnya ada komponen BN atau Pakatan yang menolak gagasan ini atas apa pun sebab perhitungan politik mereka masing-masing.

Sebaliknya, berikut adalah sebab-sebab utama mengapa Kerajaan Perpaduan wajar ditolak rakyat demi kepentingan negara.

Pertama:

Dalam kebangunan landskap politik negara yang semakin menampakkan kecenderungan ke arah mematangkan amalan demokrasi ala-Westminster ini ke arah ‘Sistem 2 –Parti’ yakni Barisan lawan Pakatan, apa jua tindakan yang merencat dan menghalang pendewasaan trend politik tesebut adalah satu yang ditanggapi ’pundit politik’ sebagai satu ’Retrogression’ atau ” Songsang” dan ’Berpatah-Balik’. Kerajaan Perpaduan, dalam apa jua bentuknya, di segi ini adalah bertentangan dan berlawanan dengan penyongsongan kebangunan politik baru tanah air atau ”political trajectory of a new Malaysia”.

‘Sistem 2-Parti’ sebagai yang membuka satu lambaran landskap baru memberi peluang untuk kita contohi amalan politik negara-negara maju di Barat. Mungkin ada yang menyanggah, buat apa ikut Amerika atau United Kingdom? Betul, tapi nampaknya sehingga kini tidak ada lagi contoh negara umat Islam yang layak diteladani di segi kematangan amalan demokrasi dalam abad 21 Masehi atau 15 Hijrah ini. Sistem semak-imbang urus-tadbir yang mantap meninggalkan kesan yang baik bagi negara dan ini juga adalah anjuran Al-Quran dalam 2 ayat (Al-Baqarah, Al-Hajj).

Maka ini langkah pertama, bagi mempersiapkan negara yang bakal menyaksikan perubahan kepimpinan politik di peringkat Pusat dalam PRU ke-13. Pertandingan BN lawan Pakatan diramal menjadi lebih sengit dan tajam sekali ke depan ini. Ingat PRU ke-12 bukanlah pertandingan sistem 2-Parti. Pakatan ditubuhkan atas kepentingan parti-parti pembangkang untuk menjadi pemerintah selepas pilihanraya di 5 buah negeri dan tidak sebelumnya.

Maka pembentukan sistem 2-Parti di negara ini serentak menginstitusikan amalan ‘semak-imbang’ demokrasi yang mengiktiraf dua parti besar yang sentiasa bertarung bagi merebut kerpercayaan rakyat dan kuasa pemerintahan, sekaligus mengingatkan Barisan Nasional bahawa di sana ada sebuah lagi kerajaan yang bakal mengambil alih negara ini andainya pemulihan keyakinan rakyat gagal dicapai oleh BN dalam pemerintahan parlimen ke-12 ini.

Segala petanda sehingga kini mengisyaratkan BN akan gagal memulihkan keyakinan rakyat untuk kembali menyokong mereka. Dengan kata lain, sistem 2-parti mempersiapkan psikologi rakyat, persiapan birokrasi dan kesediaan negara bahawa pertukaran kerajaan bukanlah satu kiamat kecil bagi BN. Akan silih berganti peralihan kuasa dan pemerintahan seperti yang disebutkan juga di dalam Al-Quran (Ali-Imran: 140). Nah, itu lebih cantik penghujjahannya.

Kedua:

Penulis beralih menghujjahkan ketidaktepatan gagasan KP di segi disiplin ilmu Usul Fiqh. Benar, Presiden PAS bertindak bagi mengambil pelbagai kemaslahatan untuk mengatasi kedudukan kemelut dan krisis yang mendepani negara dan bermatlamatkan kepentingan rakyat. Kesemua itu adalah perkara-perkara yang boleh disebutkan dalam istilah ‘maslahah’ yang hendak dicapai, walaupun belum pasti mampu dicapai dengan pendekatan KP ini.

Dalam usaha untuk mendapatkan pelbagai kemaslahatan ini, penulis mengingatkan parti bahawa perhitungan ‘mafsadah’ atau ‘kemudaratan’ perlu diambil kira. Tidak ada yang lebih besar dari perhitungan kemudaratan kepada perjuangan parti. Tegasnya, sebagai sebuah Gerakan Islam yang mengambil pentas dan memilih garis demokrasi sebagai jalan dan wasilah untuk merealisasikan perjuangan Parti Islam SeMalaysia, PAS ini, maka persoalan mendapat dan mengekalkan Sokongan dan Mandat Rakyat adalah perkiraan paling awla (utama) dalam perjaungan parti.

Justeru itu, PAS perlu menegaskan kepada kesemua peringkat pimpinan dan aktivis parti bahawa sementara PAS wajar mengekalkan sokongan tegar kaum Melayu-Islam, buat julung-julung kalinya juga PAS telah memecahkan tembok prajudis kaum Bukan-Melayu-Bukan Islam, lantas diberikan kepercayaan dan mandat sokongan oleh golongan kaum tersebut. Kesemua ini adalah hasil usaha PAS secara berterusan dengan pelbagai pendekatan yang Inklusif dan Telus, untuk membuktikan bahawa perjuangan ’PAS Untuk Semua’ itu adalah satu komitmen parti Islam ini dan bukannya satu retorik kosong.

Bergantung kepada demografi negeri dan kawasan plihan raya, sokongan kelompok pengundi Melayu-Cina-India adalah sangat-sangat memberangsangkan kepada PAS (dan Pakatan) mutakhir ini. Keseluruhan sokongan ini perlu diurus dengan baik bagi terus meningkatkan sokongan kepada parti Islam ini. Di sesetengah kawasan kerusi campuran, sokongan kaum Cina boleh sahaja mencecah 60-70 peratus bahkan lebih, sementara kaum India sehingga 55-60 peratus Sokongan kaum Melayu kepada PAS masih berlegar disekitar 40-50 peratus di negeri-negeri Pantai Barat dan sedikit melebihi itu di Kelantan dan Kedah.

Adalah amat wajar pimpinan parti diperingatkan bahawa dalam apa jua gagasan politik yang mahu dilontarkan bahawa kesan secara jangka pendek, sederhana dan jangka jauh perlu diperhatikan secara cermat dan strategik. Betul kita mahu mengambil kemaslahatan, tetapi perhitungan kemudaratan juga perlu dibuat dengan teliti.

Bahkan dalam hal menggunakan hujah Usul Fiqh sekalipun, kita akan berdepan dengan satu tuntutan prinsip yang menegaskan bahawa:

“Dar al-Mafaasid muqaddamun ala jalbi al-Masoleh” atau maksudnya “Menolak Kemudaratan adalah lebih penting dari mengambil Kemaslahatan”.

Berpandukan tuntutan kaedah Fiqh ini, maka meskipun ada kemaslahatn yang hendak dicapai dalam tindakan menubuhkan sebuah Kerajaan Perpaduan (yang belum tentunya dapat dicapai pun), maka menolak kemudaratan yakni kehilangan sokongan rakyat dalam perjuangan sebuah parti Islam, adalah jelasnya lebih awal dan penting di segi perhitungan Syarak.

Bersandarkan kepada hujjah tersebut, adalah juga penting bagi pimpinan tertinggi parti untuk mencermati segala lontaran gagasan pemikiran supaya tidak menjejaskan Mandat atau Sokongan Rakyat (Al-Masdaqiyyah Al-Ijtima’iyyah).

Lebih-lebih lagi kalau tindakan kita itu menghakis kepercayaan kepada pimpinan parti akibat perbuatan kita sendiri yang dilihat mengkhianati kepercayaan rakyat atau dipersepsi membelakangi prinsip-prinsip Keadilan dan sekaligus boleh membawa kebrentakan dan konflik dalaman dalam Pakatan. Bayangkan bagaimana RasulAllah (saw) mendapat dan mengekalkan sokongan kaum Bukan –Islam dari ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani dan juga Musyrikin) di Kota Madinah yang jelasnya ketika hijrah Baginda adalah golongan minoriti dan bukan majoriti.

Ketiga:

Hujah ketiga yang bersandarkan ’Tajribah’ atau pengalaman parti ini dengan Umno/BN, maka tidak wajar penulis menurun segala pengalaman pahit samada ’bersama’ dengan Umno/BN, tambah-tambah kalau ’bersaing’ dengan Umno/BN. Cukup setiap seorang kita menghitung pengalaman masing-masing.

Jelasnya Umno mengeletek kesukaan mendapat tawaran PAS untuk menyelesaikan kemelut negara natijah buruk segala perilaku kebobrokan kepimpinan parti terbesar Melayu itu, seumpama orang mengantuk disorong bantal, pucuk dicita ulam mendatang.

Atau dengan kata lain memang Umno/BN sangat-sangat berhajat untuk meneruskan dialog dan muzakarah Kerajaan Perpaduan ini dengan PAS, bukan untuk menyanggupinya tetapi sudah cukup besar menafaat yang mereka kecapi kalau ‘muzakarah’ tersebut boleh dimulakan bagi menyaksikan kebrentakan di pihak PAS dan Pakatan dan runtuhnya sokongan Bukan Melayu-Bukan-Islam kepada PAS.

KP adalah seumpama suntikan ’booster’ untuk Umno/BN untuk terus mendapat talian hayatnya, sementara suntikan Racun kepada PAS/Pakatan. Dengan izin Allah Azza Wajalla jualah segala-galanya berakhir dengan Kebijaksanaan Politik berpihak kepada PAS/Pakatan tatkala tertolak gagasan Kerajaan Perpaduan.

Semoga Perjuangan ini di pelihara Allah Azza Wajalla. Amin Ya Rabb!

Ditulis Oleh DR DZULKIFLI AHMAD,
AJK PAS PUSAT & AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR

Kenyataan Md Alwi dan Mustapa Mohamed tidak senada

Tuntutan isu royalti minyak sebanyak RM1 bilion kerajaan negeri Kelantan terhadap Kerajaan Pusat turut dipersetujui Ketua Pembangkang, Datuk Md Alwi Che Ahmad, sekiranya tuntutan tersebut mempunyai bukti kukuh bahawa terdapat petroleum dan gas seperti mana didakwa sebelum ini.

“Jika perkara ini benar, ada bukti, cukup semua dokumen, teruskan. Runding secara baik dengan Kerajaan Pusat. Tidak perlu disuarakan dengan nada marah atau sinis,” katanya ketika membahas Rang Enakmen Perbekalan Tambahan Pertama 2009 pada persidangan Dun Kelantan.

Tuntutan royalti telah dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa pada mesyuarat exco hampir dua minggu lalu berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Negara.

Namun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dilaporkan memberitahu kerajaan Kelantan tidak berhak menuntut bayaran royalti minyak dan gas kerana hasil petroleum itu diperolehi di kawasan bertindih Malaysia dan Thailand.

29 June 2009

Parti politik dan jentera kerajaan

Oleh : Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM Gombak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin minggu lalu dilaporkan berkata bahawa kakitangan awam perlu patuh kepada kerajaan yang memerintah. Kita tidak pasti mengapa beliau berkata begitu. Bagaimanapun di dalam keadaan kerajaan negeri Perak yang parti beliau tubuhkan dilihat sebagai tidak mewakili rakyat tidak sukar untuk memahami mengapa Muhyiddin berkata begitu.

Soalnya apakah beliau dan parti beliau benar-benar komited dengan apa yang diseruankannya itu? Mengapa baru sekarang beliau berkata begitu? Mengapa tidak semasa perkhidmatan awam – yang merangkum pasukan polis - dikatakan mensabotaj pentadbiran di bawah Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dahulu? Dan bagaimana dengan dakwaan bahawa di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat – di mana Barisan Nasional menjadi pembangkang – kakitangan awam diminta berbuat sesuatu yang pada hakikatnya diminta mensabotaj pentadbiran negeri-negeri tersebut?

Di Kelantan ia sudah lama berlaku. Kerajaan persekutuan yang diterajui oleh Barisan Nasional menubuhkan Jabatan Perhubungan Persekutuan (JPP) untuk menyalurkan dana dan arahan dan mengetepikan pentadbiran negeri yang sah. Ia jelas melanggar konsep federalisme yang ditetapkan oleh perlembagaan. Bagaimanapun apalah yang boleh dibuat mengingat kedudukan dan integriti mahkamah kita sekarang.

Apakah kedudukan dan peranan perkhidmatan awam di sisi perlembagaan? Secara ringkas ia adalah institusi berkecuali yang hanya perlu setia kepada negara. Lambang negara ialah Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan para Yang di-Pertua Negeri. Tetapi ini tidak bermaksud bahawa mereka boleh menggunakan perkhidmatan awam sesuka hati; mereka sekadar lambang sahaja.

Yang menjadi tonggak perkhidmatan awam ialah undang-undang dan peraturan yang kesemuanya berpaksikan perlembagaan. Kakitangan awam tidak perlu setia atau menyokong kerajaan yang memerintah dan mereka hanya perlu menjalankan arahan yang tidak bercanggah dengan undang-undang. Itu sahaja.

Malangnya itu jelas tidak berlaku di Perak sebelum ini. Pihak polis sendiri – dalam menyekat speaker masuk ke dewan – sebenarnya telah melakukan jenayah sebagaimana yang diperuntukkan oleh Kanun Keseksaan. Contoh-contoh dalam kategori ini sebenarnya terlalu banyak dan tidak perlu disenaraikan di sini. Dan sebenarnya apa yang penting ialah prinsip di sebalik segala kejadian dan contoh itu.

Tindak-tanduk Barisan Nasional penting untuk diperhatikan kerana mereka sudah memerintah negara lebih 50 tahun. Ini menyebabkan rakyat – termasuk anggota perkhidmatan awam – berasa sukar untuk membezakan yang mana kerajaan dan yang mana negara.

Dan oleh kerana Barisan memerintah di peringkat persekutuan amat sukar untuk Pakatan Rakyat melaksanakan prinsip perlembagaan dalam soal perkhidmatan awam ini: mereka terpaksa menari atau bekerja di dalam budaya dan amalan yang dibawa oleh Barisan selama ini yang malangnya didukung oleh segelintir pegawai kanan kerajaan sendiri yang berasa bahawa mereka selamat, selesa dan makmur di dalam budaya yang ditanam dan dipupuk oleh Barisan itu.

Selama ini begitu jelas bahawa mereka hanya menekankan prinsip dan amalan perlembagaan yang menguntungkan mereka sahaja. Prinsip-prinsip yang tidak menguntungkan mereka akan dilanggar tanpa segan silu. Pendek kata Barisan Nasional tak pedulikan perlembagaan.

Bagaimana dengan Pakatan Rakyat? Kita tidak tahu kerana mereka belum memerintah. Walau apa pun pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sering menyebut soal menjunjung perlembagaan. Dalam rangka memperkasa perlembagaan saya fikir elok juga kita beri mereka peluang. Manalah tahu mungkin keadaan tunggang langgang yang dilakukan oleh Barisan ini dapat diperbaiki.

Tetapi kita harus sedar bahawa ia tidak mudah untuk dilakukan. Pakatan berbeza dengan Barisan dari segi falsafah dan cara politik mereka. Dan ini mungkin akan menimbulkan masalah kepada Pakatan sendiri kerana berhadapan dengan Barisan sebagai pembangkang yang beroperasi di dalam suasana yang lebih terbuka; sesuatu yang menjadi janji dan komitmen Pakatan yang mesti dilaksanakan. Sebaliknya Barisan memerintah dengan cara yang autokratik dan inilah sebenarnya yang membolehkan mereka terus mentadbir selepas PRU ke 12. Mereka malah boleh merampas negeri Perak.

Itulah kesulitan dan kepayahan yang Pakatan perlu hadapi. Walau bagaimanapun mereka tidak ada pilihan lain. Dalam soal pentadbiran negara umpamanya mereka perlu bergantung kepada perkhidmatan awam untuk mengendalikan urusan rutin seharian.

Oleh sebab itu adalah tidak menguntungkan dan relevan apabila parti-parti dalam Pakatan seperti Pas untuk terus berdebat soal ulama dan profesional. Siapa pun mereka Pas tetap Pas dan Pas – kalau berjaya memerintah negara sendirian pun – perlu mentadbir melalui perkhidmatan awam yang ada.

Orang Pas tidak boleh mengandaikan bahawa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan jadi mufti, imam besar atau ketua hakim syarie. Apa pun kelulusan mereka kedudukan mereka kekal sebagai ahli politik yang kerjanya memandu dan membuat dasar umum negara, bukan menjadi pegawai tadbir.

Walau bagaimanapun apa yang berlaku dalam Pas itu sebenarnya berlaku dalam parti lain termasuk UMNO sendiri. Sebab itu dalam perhimpunan agung mereka sesekali kita mendengar perwakilan membuat berbagai-bagai tuntutan seolah-olah negara ini tidak ada peraturan dan perkhidmatan awam.

Orang parti selalunya berfikir bahawa hanya kerana mereka menang pilihan raya mereka boleh berbuat mengikut kehendak mereka. Parti menguasai kerajaan kata mereka. Ini salah. Memang betul bila mereka menang pilihan raya mereka ada mandat. Tetapi ini perlu dilaksanakan mengikut perlembagaan dan undang-undang. Dan inilah sebenarnya hakikat kerajaan berperlembagaan (constitutional government) dan kerajaan terhad (limited government); dua konsep yang menjadi modus operandi kepada konsep demokrasi moden yang didukung oleh perlembagaan.

Orang Pas sepatutnya faham kerangka parti mereka sendiri, khususnya kedudukan dan peranan Dewan Ulama parti itu. Kita tidak pasti apakah mereka yang dikatakan ulama oleh Pas benar-benar ulama dalam erti kata sebenar kerana bukan semua ulama masuk Pas. Dengan kata lain ulama dalam Pas ialah mereka yang paling baik kelulusan dan kelayakan ulamanya di dalam Pas; yang belum setaraf atau selaras dengan ulama di luar Pas.

Apa pun mereka perlu tahu kerangka perlembagaan dan pentadbiran negara. Jika tidak mereka tidak akan mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat. Apa yang merisaukan ialah belum apa-apa lagi sebahagian daripada ulama Pas telah pun ditipu dan dipeningkan oleh UMNO dalam isu kerajaan perpaduan.

Isu itu mendedahkan betapa sebahagian daripada para pemimpin Pas tidak faham kedudukan dan peranan parti politik dalam pentadbiran negara. Dari sudut ini mereka tidak terlalu beza dengan para pemimpin UMNO yang tidak pedulikan perlembagaan tadi. Yang membezakan setakat ini cuma cara dan tujuannya sahaja.

Saya tidak berniat untuk mengkeramatkan perlembagaan di sini. Apa yang saya buat hanyalah sekadar memastikan bahawa ada prinsip dan batasan tertentu yang perlu dipatuhi dalam kita berpolitik dan bersaing untuk mendapatkan kuasa. Ini penting kerana di dalam perlembagaan itulah termaktub segala kedudukan dan hak rakyat biasa.

27 June 2009

Mufti Perak, jawab dulu isu konsert JOM HEBOH sebelum mengharamkan kenyataan TGNA

"Umno membawa ajaran sesat dan macam komunis"

Marah betul Umno kenyataan TGNA ini, lalu diarahkan pula Anuar Safin dan koncu-koncunya membuat lapuran Polis terhadap TGNA. Tok Guru jawab itu bahasa kiasan.

Umno tak puas hati lalu meminta ulamak tersohor mereka Dato Seri Harusani Zakaria, Mufti Di Raja Perak Darul Ridzuan untuk mengeluarkan kenyataan balas TGNA, lalu Dato Mufti mengharamkan kenyataan TGNA.

Tok Guru menerangkan lagi maksud bahasa kiasan beliau supaya Umno dan ulamak-ulamak mereka faham dengan kenyataan berikut,

"Kalau tidak mahu disamakan dengan komunis, UMNO mahu disamakan dengan apa lagi?"

"Sekiranya salah satu daripada ciri-ciri yang ada pada komunis iaitu tidak mempercayai agama sudah ada pada Umno, maka tidak salah menyamakan mereka dengan komunis,"

"Walaupun UMNO secara keseluruhannya tidak menyerupai komunis, tetapi satu persamaan yakni mengetepikan hukum Allah sudah cukup untuk menyamakan meraka dengan komunis," ujar Menteri Besar Kelantan itu lagi.

Kepada Dato Seri Harusani Zakaria pula kita ingin berpesan dan mengingatkan beliau supaya tak payahlah nak tolong Umno mengeluarkan pandangan setiap kali diminta berbuat demikian kerana ada satu persoalan yang tidak terjawab sehingga kini oleh beliau iaitu "Kenapa JOM HEBOH boleh dibuat di Perak setelah keputusan Majlis Mufti-Mufti Malaysia yang dibuat pada 30 Julai 2004 memutuskan bahawa konsert Sure Heboh, sebelum ditukar nama Jom Heboh oleh TV3 adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkan maksiat di kalangan anak-anak muda"

Tolong jawab wahai Dato Mufti kenapa penganjuran Konsert Jom Heboh TV3 yang diadakan di Pengkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Lumut pada 25 dan 26 April yang alu oleh kerajaan negeri Perak DIBENARKAN. Takut Zamberi mamak ke atau takut perintah Allah? Kalau dah mengetepikan hukum Allah TGNA kata samalah macam komunis.

"Tolong jawab yang ni dulu sebelum mengharamkan kenyataan TGNA" demikian pandangan Ybhg Dr Yaacob Yusof semasa ditanya oleh saya dalam Diskusi Bulanan Lajnah Perpaduan Nasional Kota Raja tengahari tadi.

Ahli PAS wajib pertahan MU... Presiden PAS

Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di majlis pengisytiharaan calon PAS malam tadi menegaskan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai wajib dipertahankan.

"Pada tahun 1978, PAS dihentam secara habis-habisan oleh BN dengan cara yang zalim, sehingga mereka (BN/Umno) mengisytiharkan darurat dan pilihanraya pada ketika itu nyata berat sebelah," ujarnya.

Mengimbas sejarah pahit PAS yang pernah berkerjasama bersama dengan Umno pada tahun 1978 itu, beliau mengharapkan sejarah itu akan sentiasa diingati seluruh ahli PAS secara langsung akan menolak Umno/BN. "PAS ketika itu hanya mampu memenangi dua buah kerusi dan salah satu kerusi yang di menangi adalah Manek Urai, maka wajarlah untuk wajib kita pertahankan manek Urai ini," tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru khususnya kepada penduduk tempatan untuk mempertahankan Manek Urai bagi meneruskan kepimpinan ulamak yang diterajui Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini