29 June 2009

Parti politik dan jentera kerajaan

Oleh : Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM Gombak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin minggu lalu dilaporkan berkata bahawa kakitangan awam perlu patuh kepada kerajaan yang memerintah. Kita tidak pasti mengapa beliau berkata begitu. Bagaimanapun di dalam keadaan kerajaan negeri Perak yang parti beliau tubuhkan dilihat sebagai tidak mewakili rakyat tidak sukar untuk memahami mengapa Muhyiddin berkata begitu.

Soalnya apakah beliau dan parti beliau benar-benar komited dengan apa yang diseruankannya itu? Mengapa baru sekarang beliau berkata begitu? Mengapa tidak semasa perkhidmatan awam – yang merangkum pasukan polis - dikatakan mensabotaj pentadbiran di bawah Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dahulu? Dan bagaimana dengan dakwaan bahawa di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat – di mana Barisan Nasional menjadi pembangkang – kakitangan awam diminta berbuat sesuatu yang pada hakikatnya diminta mensabotaj pentadbiran negeri-negeri tersebut?

Di Kelantan ia sudah lama berlaku. Kerajaan persekutuan yang diterajui oleh Barisan Nasional menubuhkan Jabatan Perhubungan Persekutuan (JPP) untuk menyalurkan dana dan arahan dan mengetepikan pentadbiran negeri yang sah. Ia jelas melanggar konsep federalisme yang ditetapkan oleh perlembagaan. Bagaimanapun apalah yang boleh dibuat mengingat kedudukan dan integriti mahkamah kita sekarang.

Apakah kedudukan dan peranan perkhidmatan awam di sisi perlembagaan? Secara ringkas ia adalah institusi berkecuali yang hanya perlu setia kepada negara. Lambang negara ialah Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan para Yang di-Pertua Negeri. Tetapi ini tidak bermaksud bahawa mereka boleh menggunakan perkhidmatan awam sesuka hati; mereka sekadar lambang sahaja.

Yang menjadi tonggak perkhidmatan awam ialah undang-undang dan peraturan yang kesemuanya berpaksikan perlembagaan. Kakitangan awam tidak perlu setia atau menyokong kerajaan yang memerintah dan mereka hanya perlu menjalankan arahan yang tidak bercanggah dengan undang-undang. Itu sahaja.

Malangnya itu jelas tidak berlaku di Perak sebelum ini. Pihak polis sendiri – dalam menyekat speaker masuk ke dewan – sebenarnya telah melakukan jenayah sebagaimana yang diperuntukkan oleh Kanun Keseksaan. Contoh-contoh dalam kategori ini sebenarnya terlalu banyak dan tidak perlu disenaraikan di sini. Dan sebenarnya apa yang penting ialah prinsip di sebalik segala kejadian dan contoh itu.

Tindak-tanduk Barisan Nasional penting untuk diperhatikan kerana mereka sudah memerintah negara lebih 50 tahun. Ini menyebabkan rakyat – termasuk anggota perkhidmatan awam – berasa sukar untuk membezakan yang mana kerajaan dan yang mana negara.

Dan oleh kerana Barisan memerintah di peringkat persekutuan amat sukar untuk Pakatan Rakyat melaksanakan prinsip perlembagaan dalam soal perkhidmatan awam ini: mereka terpaksa menari atau bekerja di dalam budaya dan amalan yang dibawa oleh Barisan selama ini yang malangnya didukung oleh segelintir pegawai kanan kerajaan sendiri yang berasa bahawa mereka selamat, selesa dan makmur di dalam budaya yang ditanam dan dipupuk oleh Barisan itu.

Selama ini begitu jelas bahawa mereka hanya menekankan prinsip dan amalan perlembagaan yang menguntungkan mereka sahaja. Prinsip-prinsip yang tidak menguntungkan mereka akan dilanggar tanpa segan silu. Pendek kata Barisan Nasional tak pedulikan perlembagaan.

Bagaimana dengan Pakatan Rakyat? Kita tidak tahu kerana mereka belum memerintah. Walau apa pun pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sering menyebut soal menjunjung perlembagaan. Dalam rangka memperkasa perlembagaan saya fikir elok juga kita beri mereka peluang. Manalah tahu mungkin keadaan tunggang langgang yang dilakukan oleh Barisan ini dapat diperbaiki.

Tetapi kita harus sedar bahawa ia tidak mudah untuk dilakukan. Pakatan berbeza dengan Barisan dari segi falsafah dan cara politik mereka. Dan ini mungkin akan menimbulkan masalah kepada Pakatan sendiri kerana berhadapan dengan Barisan sebagai pembangkang yang beroperasi di dalam suasana yang lebih terbuka; sesuatu yang menjadi janji dan komitmen Pakatan yang mesti dilaksanakan. Sebaliknya Barisan memerintah dengan cara yang autokratik dan inilah sebenarnya yang membolehkan mereka terus mentadbir selepas PRU ke 12. Mereka malah boleh merampas negeri Perak.

Itulah kesulitan dan kepayahan yang Pakatan perlu hadapi. Walau bagaimanapun mereka tidak ada pilihan lain. Dalam soal pentadbiran negara umpamanya mereka perlu bergantung kepada perkhidmatan awam untuk mengendalikan urusan rutin seharian.

Oleh sebab itu adalah tidak menguntungkan dan relevan apabila parti-parti dalam Pakatan seperti Pas untuk terus berdebat soal ulama dan profesional. Siapa pun mereka Pas tetap Pas dan Pas – kalau berjaya memerintah negara sendirian pun – perlu mentadbir melalui perkhidmatan awam yang ada.

Orang Pas tidak boleh mengandaikan bahawa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan jadi mufti, imam besar atau ketua hakim syarie. Apa pun kelulusan mereka kedudukan mereka kekal sebagai ahli politik yang kerjanya memandu dan membuat dasar umum negara, bukan menjadi pegawai tadbir.

Walau bagaimanapun apa yang berlaku dalam Pas itu sebenarnya berlaku dalam parti lain termasuk UMNO sendiri. Sebab itu dalam perhimpunan agung mereka sesekali kita mendengar perwakilan membuat berbagai-bagai tuntutan seolah-olah negara ini tidak ada peraturan dan perkhidmatan awam.

Orang parti selalunya berfikir bahawa hanya kerana mereka menang pilihan raya mereka boleh berbuat mengikut kehendak mereka. Parti menguasai kerajaan kata mereka. Ini salah. Memang betul bila mereka menang pilihan raya mereka ada mandat. Tetapi ini perlu dilaksanakan mengikut perlembagaan dan undang-undang. Dan inilah sebenarnya hakikat kerajaan berperlembagaan (constitutional government) dan kerajaan terhad (limited government); dua konsep yang menjadi modus operandi kepada konsep demokrasi moden yang didukung oleh perlembagaan.

Orang Pas sepatutnya faham kerangka parti mereka sendiri, khususnya kedudukan dan peranan Dewan Ulama parti itu. Kita tidak pasti apakah mereka yang dikatakan ulama oleh Pas benar-benar ulama dalam erti kata sebenar kerana bukan semua ulama masuk Pas. Dengan kata lain ulama dalam Pas ialah mereka yang paling baik kelulusan dan kelayakan ulamanya di dalam Pas; yang belum setaraf atau selaras dengan ulama di luar Pas.

Apa pun mereka perlu tahu kerangka perlembagaan dan pentadbiran negara. Jika tidak mereka tidak akan mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat. Apa yang merisaukan ialah belum apa-apa lagi sebahagian daripada ulama Pas telah pun ditipu dan dipeningkan oleh UMNO dalam isu kerajaan perpaduan.

Isu itu mendedahkan betapa sebahagian daripada para pemimpin Pas tidak faham kedudukan dan peranan parti politik dalam pentadbiran negara. Dari sudut ini mereka tidak terlalu beza dengan para pemimpin UMNO yang tidak pedulikan perlembagaan tadi. Yang membezakan setakat ini cuma cara dan tujuannya sahaja.

Saya tidak berniat untuk mengkeramatkan perlembagaan di sini. Apa yang saya buat hanyalah sekadar memastikan bahawa ada prinsip dan batasan tertentu yang perlu dipatuhi dalam kita berpolitik dan bersaing untuk mendapatkan kuasa. Ini penting kerana di dalam perlembagaan itulah termaktub segala kedudukan dan hak rakyat biasa.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini