10 June 2009

AJK tambahan serah pada Presiden : Khalid Samad

Pelantikan jawatankuasa di peringkat Pas Pusat tidak boleh didesak sebaliknya perlu diserahkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membuat keputusan dan pemilihan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad (gambar) berkata, kebiasaan yang berlaku dalam Pas ialah calon yang bertanding akan dilantik semula, tetapi dari segi jawatan tidak semestinya diberikan kepada mereka yang kalah dalam pertandingan.

Menurutnya, adalah perkara biasa sekiranya individu yang kalah dalam pertandingan dilantik sebagai ahli jawatankuasa Pas Pusat, sebaliknya pelantikan seperti pesuruhjaya, bendahari dan sebagainya, terpulang kepada keputusan Presiden parti.

“Perkara ini bergantung kepada presiden bagi memikirkan ‘pasukan’ yang beliau ingin tubuhkan, berdasarkan keadaan dan peranan yang akan dimainkan individu berkaitan. “Kebiasaannya, apabila Presiden ingin menyusun struktur organisasi, beliau akan mengambil kira faktor seperti suasana politik sedia ada, hala tuju dan peranan setiap individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan daripada Pas kawasan agar Mohamad Sabu dan Datuk Husam Musa dilantik bagi menjawat jawatan dalam Jawatankuasa Pas Pusat.

Khalid berkata, pemilihan perlu mengambil kira situasi politik pada masa kini serta agenda yang akan dibawa oleh individu yang dipilih. “Sebagai contohnya, agenda kerajaan perpaduan yang mana Presiden perlu memilih individu yang dirasakan boleh menjelaskan isu berkenaan dengan baik.

“Ketiga-tiga calon yang bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Pas memiliki wawasan yang sedikit berbeza, dan jika berkenaan isu kerajaan perpaduan, bukan untuk Husam dan Mohamat Sabu,” katanya.

Kata beliau, walaupun gagal dalam pertandingan, calon-calon yang bertanding tetapi tidak dipilih, sewajarnya dilantik dalam jawatankuasa tetapi tidak semestinya dalam jawatankuasa pusat. “Tujuannya adalah untuk memulihkan bibit-bibit perselisihan dan pertelingkahan, sekiranya ada dalam parti, yang mungkin wujud semasa pemilihan, agar dapat kembali semula dalam satu saf ,” katanya.

Khalid juga mahu agar isu kerajaan perpaduan ini dapat diperjelaskan secepat mungkin bagi menjernihkan keadaan yang dilihat kian keruh.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini