29 July 2013

Ahli umno semuanya kecut

Pemilihan Umno kali ini dijangka masih mengekalkan status qou bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu, biarpun pemilihan kali ini diuar-uarkan sebagai demokratik dan terbuka, tegas bekas Ketua Editor NST, Datuk A. Kadir Jasin melalui blognya.

Menurut A. Kadir, disebabkan tiada watak-watak seperti Harun Idris, Sulaiman Palestin dan Hang Tuah Arshad yang pernah menawarkan diri bertanding menentang jawatan itu, pemilihan kali ini dilihat akan berlaku pengekalan status qou terhadap dua jawatan tertinggi parti itu.

"Oleh sebab tidak ada lagi watak-watak seperti Sulaiman Palestin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad dalam Umno, maka kita bolehlah membuat andaian yang menjelang 7 September ini, Mohd Najib Abdul Razak akan 'disahkan' sekali lagi sebagai Presiden Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden," kata beliau.

Mulai tahun ini, pemilihan Umno akan berjalan secara langsung melalui mesyuarat agung peringkat bahagian di seluruh negara. Lebih 150,000 perwakilan mesyuarat setiap bahagian layak mengundi untuk semua jawatan kepimpinan utamanya. 

Pelbagai pihak dalam Umno mencadangkan agar jawatan tertinggi parti itu dikekalkan namun sehingga kini Muhyiddin masih belum memberikan kata putusnya.

Tinjauan yang dibuat oleh Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) pula mendapati Muhyidin lebih popular dari Najib dalam Umno.

Isteri beliau pula, Puan Sri Norainee Abdul Rahman  jauh lebih popular dari isteri Najib, Datin Sri Rosmah mansor.Bagi Kadir, dalam tulisannya menyebut ketiga-tiga bekas tokoh Umno, Sulaiman Palesin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad sebagai pejuang dan idealis yang berani menawarkan diri untuk bertanding dan turut mempersoalkan adakah sesiapa dalam Umno seperti ketiga-tiga ini menjelang tarikh tersebut.

Menurut Kadir lagi, Sulaiman Palestin membuat kejutan besar dengan bertanding melawan Pemangku Presiden Umno, Tun Hussein Onn dalam pemilihan tahun 1978 dan berjaya mendapat 250 undi berbanding 898 yang dimenangi Hussien walaupun dianggap calon 'outsider'.

Dua tahun kemudian, pada 1980, giliran Datuk Harun membuat kejutan apabila bertanding dari Penjara Pudu bagi menentang anak saudaranya, Ketua Pemuda Umno ketika itu, Suhaimi Kamaruddin. Turut bertanding adalah ahli perniagaan Hang Tuah yang lulus dari Universiti Nanyang, Singapura.

Persoalannya, adakah bagi pemilihan Umno kali ini, akan ada 'pewaris' ketiga-tiga pejuang ini, sementelah mereka boleh mendaftarkan nama mereka di ibu pejabat Umno negeri masing-masing.

Ia berbeza dengan konsep pemilihan sebelum ini yang mana mereka dicalonkan oleh cawangan dan seterusnya peringkat kawasan, sebelum disahkan layak bertanding dan boleh meneruskan hasrat bertanding atau menolaknya.

Mungkinkah pada pemilihan kali ini juga akan menyaksikan kedua-dua jawatan penting, presiden dan timbalannya akan dicabar oleh mana-mana pihak, selain jawatan naib presiden yang bakal mempunyai banyak persaingan?

Bagi jawatan Naib Presiden, sudah tentu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  dan Datuk Seri Hishamuddin Hussien akan mempertahankan jawatan tersebut.

Manakala, bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Azalina Othman sudah awal-awal lagi menyatakan hasratnya untuk mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan kali ini.

Apapun, pemilihan Umno kali ini lebih dinanti-nanti untuk memperlihatkan bagaimana konsep pemilihan yang dikatakan demokratik dan terbuka itu benar-benar demokratik dan terbuka.

27 July 2013

Najib kena tendang

Pengumuman terbaru bagi jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri Selangor menyaksikan Dato Seri Najib yang menjadi penyandamg jawatan tersebut sejak kekalahan BN pada 2008 ditendang keluar oleh Umno Selangor akibat kalah teruk dalam PRU lala.

Tempat beliau diganti oleh Timbalan beliau sebelum ini iaitu Dato Seri Nor Omar yg hilang jawatan menteri akibat gagal sebagai Timbalan yang baik kepada PM tetapi terus diangkat sebagai ketua kerana ketiadaan calon yang lebih wibawa dari beliau, walau pun beliau dilihat lebih layak memegang watak samseng kampung dusun.

Tahniah diatas perlantikan ini, ujar seorang pemerhati politik senior yang menhambarkan laluan mudah buat PR mempertahankan rekod sedia ada pada pru14 nanti.

Ibrahim Ali memperkosa perkasa

Seolah-oleh memperkosa Perkasa kini, melalui Mirac, bukan saja semakin mendekati halatuju perjuangan yang sedang diperjuangkan oleh Najib Razak, bahkan Perkasa kini sudah boleh dikenali sebagai Perkasa 1Malaysia.

Ini ekoran semalam tiba-tiba presidennya, Ibrahim Ali mengumumkan penubuhan Mirac yang menandakan arah baru perjuangannya selepas ini. 

Demikian tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Menurutnya, walau apa pun penafian Ibrahim mengenai kaitan penubuhan Mirac dengan pertemuannya dengan Najib, kesimpulan ramai ialah "takkan burung tempua tiba-tiba bersarang rendah", dan di sebalik mi yang sedap selalunya ada udang galah atau ketam tersorok di bawahnya.

Itulah, katanya pandangan atau tanggapan ramai mengenai Perkasa dan Ibrahim Ali sekarang ini.

“Luahan kata-kata kecewa, ugutan untuk melakukan sesuatu tindakan yang drastik kononnya dan mengumumkan sikap berkecuali kemudiannya, rupa-rupanya hanyalah "langkah silat pengantin" untuk lebih dekat dan rapat dengan Perdana Menteri,” tulisnya lagi. 

26 July 2013

Kejutan menjelang raya

Akhbar The Star hari ini memaparkan tajuk berita “Dont harbour false hope” (Jangan gantung harapan tidak bertempat) yang memetik kata-kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Datuk Abdul Rahman Othman.

Ini petanda paling jelas bahawa kerajaan Umno/BN sedang menyiapkan kejutan Hari Raya – pembatalan pendaftaran DAP atas alasan mengarut dan tidak berasas. 

Laporan The Star itu diisi dengan premis-premis yang palsu dan tidak berasas, menunjukkan Ketua Pengarah ROS itu bertindak dengan cara yang sama sekali tidak wajar, tidak saksama, dan tidak profesional dalam menjalankan tanggungjawab awam.

Mengapa Ketua Pengarah ROS mengulas tentang sebuah senario yang direka-reka sepenuhnya dan tidak lain merupakan khayalan para propagandis, cybertrooper dan agen-agen Umno/BN seolah-olah ia satu fakta?

Di bawah ini berita bertajuk “Don’t harbour false hopes” berkenaan:‘Don’t harbour false hopes’ 

PETALING JAYA: DAP members have been told not to harbour hopes of forming a new party if the Registrar of Societies (ROS) decides to de-register it.ROS director-general Datuk Abdul Rahman Othman said they would not likely entertain requests to set up a new party.

“They can apply. But the right to approve is with the ROS. We did not even entertain 29 applications to set up new parties submitted over the last five years,” he said yesterday.

He was asked to comment on the move by DAP members to look into establishing a new political party if de-registration was inevitable following complaints of election fraud in the DAP’s central executive committee (CEC) election in December.

Soal mendaftarkan sebuah parti baru jika pembatalan DAP dibatalkan tidak pernah dibangkitkan atau dilayan oleh sesiapa dalam DAP, sama ada di peringkat pimpinan mahu pun ahli biasa, memandangkan tiada asas yang munasabah untuk membatalkan pendaftaran DAP.

Senario bahawa para pemimpin DAP dan ahli-ahlinya bersedia untuk menubuhkan sebuah parti politik baru sama sekali tidak berasas dan ia adalah rekaan propagandis, cybertrooper, dan agen-agen Umno/BN untuk mencemarkan peribadi pemimpin DAP.

Apabila pembohongan dan kepalsuan seperti itu diterima sebagai hakikat dan kebenaran sehingga layak mendapat ulasan daripada Ketua Pengarah ROS, maka kebebasan, kesaksamaan, dan profesionalisme Ketua Pengarah ROS segera menjadi persoalan, memunculkan pertanyaan sama ada Ketua Pengarah ROS sendiri terlibat dalam segala pembohongan dan kepalsuan yang dilemparkan oleh propagandis, cybertrooper, dan agen-agen Umno/BN yang telah menuduh DAP dengan segala macam tindakan tidak wajar dalam pemilihan parti sewaktu Kongres Kebangsaan DAP Disember lalu.

Ketua Pengarah ROS telah membuat ulasan yang seolah-olah menyiratkan sesuatu dalam laporan Star itu ketika beliau ditanya sama ada “parti itu patut membuat pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat semula”. Ujar beliau:

“It is better for the party members and leaders to take the initiative to save the party rather than harbour false hopes of setting up a new one.” (Lebih baik jika anggota dan pimpinan parti mengambil inisiatif untuk menyelamatkan parti daripada menggantung harapan tidak bertempat untuk menubuhkan sebuah parti baru.)

Abdul Rahman perlu menjelaskan apa yang beliau maksudkan dengan “inisiatif untuk menyelamatkan parti” kerana sejak sepanjang tujuh bulan sehingga kini DAP belum menerima sebarang tuntutan untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat. Hanya propagandis, cybertrooper, dan agen-agen Umno/BN yang bising-bising tentang perkara ini sejak beberapa bulan lalu.

Dengan semakin hampirnya pemilihan parti Umno di hujung tahun ini, semakin jelas bahawa ROS tidak akan membuat keputusan profesional tentang DAP, sebaliknya keputusan politik.

Ketua Pengarah ROS dan kerajaan Umno/BN harus sedar bahawa DAP sedetik pun tidak akan berhenti menentang sebarang penyalahgunaan kuasa  yang akan menjejaskan masa depan DAP, termasuk penyalahgunaan kuasa dalam bentuk membatalkan pendaftaran DAP secara tidak berasas.

Kuala Besut "Kuala Ujian"

Saya membaca keputusan Pilihanraya Kecil DUN Kuala Besut melalui akhbar tempatan hari ini yang menyaksikan PAS gagal menawan DUN Kuala Besut daripada penguasaan UMNO/Barisan Nasional. Dalam erti kata lain, tawaran PAS kepada rakyat Kuala Besut untuk posisi 16 : 16 ditolak oleh rakyat DUN Kuala Besut yang mengambil keputusan untuk terus memangkah UMNO kelmarin.

Saya secara peribadi tidak terkejut dengan keputusan ini. Pengalaman saya turun beberapa kali membantu calon PAS berkempen dalam pilihanraya kecil ini termasuk meninjau suasana hari pengundian memberikan gambaran kepada saya suasana kehidupan masyarakat di DUN ini. Kehidupan rata-rata rakyat Kuala Besut yang mencari pendapatan sebagai nelayan memberikan peluang yang cerah kepada UMNO/Barisan Nasional menabur sebanyak mungkin projek dan habuan wang ringgit.

Inilah rahsia sebenar kekuatan UMNO. Kesusahan dan kesempitan hidup rakyat diambil kesempatan sehabis mungkin bagi memberikan kemenangan kepada mereka. Perhatikan sahaja di seluruh Malaysia ini, kesemua ibu negeri ditawan oleh Pakatan Rakyat kecuali dua sahaja jatuh ke tangan Barisan Nasional. Secara logiknya, ibu negeri tentulah tempat berhimpunnya tenaga cerdik pandai dan berpendidikan tinggi. Dan di sinilah UMNO/Barisan Nasional gagal kerana kekuatan wang dan kebendaan ada sempadannya.

Di sinilah letaknya tugas PAS selaku parti yang membawa mesej perjuangan Islam. Di Kuala Besut yang rata-rata penduduknya bergantung kepada pencarian mata pendapatan cara kampung berada dalam tekanan hidup yang tinggi dan sukar untuk membuat pilihan yang terbaik untuk taraf kehidupan mereka sendiri dalam jangka masa panjang. Apatah lagi untuk berfikir demi kepentingan agama. Pada saya, apa yang disebut sebagai penyakit ghaplah (lalai) merajai benak fikir rata-rata penduduk sehingga mengenepikan tanggungjawab terhadap agama mereka sendiri.
Inilah tugas gerakan Islam. Menyambung tugas Rasulullah SAW yang memikul tugas menghapuskan penyakit ghaplah ini. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.” – Surah Yasin, ayat 6.

Perbezaan utama Kuala Besut dengan Pasir Puteh di Kelantan ialah budaya ilmu. Daripada budaya ilmu inilah akan lahirnya masyarakat yang sentiasa beringat-ingat tentang dosa dan pahala. Sebab itu di antara perkara terawal yang dilakukan di Kelantan setelah PAS mengambil alih teraju pemerintahan pada tahun 1990 ialah menubuhkan Unit Halaqat. Ini bukan satu kerja sambil lewa kerana hanya mahu mengharapkan peruntukan kerajaan. Ia sebenarnya misi kerajaan negeri untuk mendidik rakyat melalui pembudayaan ilmu di masjid-masjid yang dikendalikan oleh Unit Halaqat.

Manusia apabila berilmu akan menolak UMNO/Barisan Nasional yang jelas dan terang melawan aspirasi perjuangan Islam. Bukan mereka menolak UMNO/Barisan Nasional dengan emosi dan taksub, tetapi mereka menolak dengan pertimbangan ilmu yang dipelajari. Dengan ilmu, mereka membezakan intan dan kaca. Tanpa ilmu, jiwa akan kosong umpama tin kosong yang hanya dipenuhi oleh sampah sarap.

Lihat sahaja dakwah Rasulullah SAW di Mekah, ditolak habis-habisan oleh masyarakat Mekah yang rata-ratanya hidup dalam permusuhan panjang dan konflik sosial yang tinggi. Namun di Madinah yang agak maju sedikit dengan perkembangan ilmu dengan kehadiran ahli Kitab, Islam mudah diterima oleh penduduk di sana.

Nyata sekali Kuala Besut adalah ‘kuala ujian’. Ujian untuk penduduknya yang ditawarkan pembangunan ratusan juta yang akhirnya ramai yang lemas di ‘kuala ujian’ ini. Ia juga medan ujian kepada petugas-petugas parti PAS yang datang dari seluruh negara namun akhirnya terpaksa menerima keputusan tewas pada malam tadi.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama PAS tewas di dalam pilihanraya. Saya mendoakan kesemua petugas parti PAS yang berpenat lelah di bulan Ramadhan ini demi kemenangan calon mereka diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Inilah bekal kita yang paling berharga iaitu kita mengharapkan pahala daripada Allah SWT. Perhatikanlah ayat al-Quran yang bermaksud : Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan.. (Surah al-Nisa’ ayat 104).

Kita bertanding di dalam pilihanraya untuk menang. Kita mungkin sedih jika tewas, tetapi jangan sesekali kita kecewa. Segera bangkit dan meneruskan perjuangan kerana perjuangan Islam sekiranya berpijak di lantai ikhlas pasti dihadiahkan dengan pahala!

Salam hormat.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam SeMalaysia

25 July 2013

Rafizi kata Timb Pengerusi SPR mengelak dari perkara pokok

MP PKR Rafizi Ramli mendakwa cabaran yang disuarakan pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke atasnya merupakan satu cara untuk mengelak daripada menjawab isu berhubung penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya 5 Mei.

Dakwanya, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan timbalan, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bersembunyi di sebalik cabaran berkenaan dan tidak berusaha membersihkan nama suruhanjaya tersebut.

“Tugas kedua-dua mereka adalah untuk menjawab perkara-perkara ini, bukannya berlagak dengan cabar-mencabar. Jika pendedahan saya itu salah, kenyataan saya di luar Dewan sudah cukup untuk mereka mengambil tindakan undang-undang.

"Kenapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR beriya-iya mahu melindungi dan menyembunyikan identiti pembekal dakwat kekal sedangkan pembekal ini telah merosakkan kredibiliti SPR di mata rakyat?," katanya.

Rafizi mengulas cabaran Abdul Aziz dan Wan Ahmad semalam, yang mahu beliau mengulangi dakwaan mengaitkan kedua-duanya dengan pembekal dakwat tersebut.

Beliau berkata Abdul Aziz dan Wan Ahmad masih perlu menjawab soalan yang dikemukakannya sebelum ini, antaranya berhubung kontrak secara rundingan terus kepada syarikat yang membekal dakwat kekal dan kelengkapan pilihan raya itu.

Beliau juga mahu kedua-duanya menjelaskan mengenai penglibatkan dalam soal perolehan bahan tersebut.

“Apakah benar kedua-dua mereka lepas tangan sepenuhnya dalam hal ehwal pembekalan sedangkan ia adalah aspek paling utama pelaksanaan dakwat kekal yang diwar-warkan mereka?

“Apakah pengerusi dan timbalan pengerusi SPR tidak terlibat langsung di dalam sebarang perbincangan mengenai dakwat kekal, termasuk demonstrasi, kandungan kimia, kaedah pelaksanaan dan lain-lain?,” kata Rafizi.

Beliau juga menuntut kedua-duanya menjelaskan sama ada mereka telah membincangkan isu dakwat kekal tersebut dengan pegawai SPR yang lain.

“Mustahil pengerusi dan timbalan pengerusi menjawab media tanpa pengetahuan dan maklumat awal mengenai pelaksanaan dakwat kekal termasuklah hal ehwal logistiknya seperti pembekalan dan lain-lain?,” katanya.

22 July 2013

PAS bakal dapat perhatian dunia

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemenangan calon PAS Azlan Yusof bakal mengubah landskap politik Terengganu dan dianggap luar biasa dalam sejarah negeri itu.

Katanya lagi, dunia akan memberi perhatian mengenai perjalanan politik di Terengganu jika PAS berjaya membawa tema 16:16 pada pilihan raya kecil 24 Julai ini.

"Percayalah, menang ia akan mengubah politik Terengganu. Seluruh negeri akan menjadi tumpuan. Seluruh kerajaan akan memberi perhatian kepada perkara ini.

"Dunia akan memberikan perhatian selepas menang dalam pilihan raya kecil," katanya dalam ceramahnya sempena kempen pilihan raya kecil DUN itu di Kampung Tok Saboh malam tadi.

Anwar berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri Turki Racep Tayyib Erdogan selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan akan menceritakan kepada pemimpin Islam itu, jika PAS berjaya mencapai kemenangan.

"Saya nak cerita, kalau menang PAS di Kuala Besut, akan membawa perubahan peta politik Terengganu dan dengan sendirinya berubah dengan rakyat memberi perhatian tentang kedudukan politik tanah air.

"Oleh itu, jangan menganggap pilihan raya ini suatu perkara yang kecil," katanya di hadapan kira-kira 1,000 orang.

21 July 2013

BN ambil MB - PAS ambil Kuala Besut

Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong pandangan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa supaya pemimpin BN kekal menjadi menteri besar jika parti Islam itu menang dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut 24 Julai ini.

TGHH yang juga ahli Parlimen Marang berkata PAS mahukan kedudukan kerusi seri 16:16 bagi membolehkan mereka menegur pentadbiran negeri sedia ada jika melakukan kesilapan.

"Tak apa, beri kita 16 kerusi, biar dia jadi MB. Tak apa kamu ambil jadi menteri besar. Kita nak 16 kerusi. Apa faedah dia kita ada 16 kerusi (dan) kita tidak menjadi menteri besar? Faedahnya, kita boleh tegur dia.

"Benda yang tidak betul, tidak boleh, kita bangkang... Kita seri, dia tidak boleh buat benda yang tidak betul. Benda yang betul kita sokong, benda yang tidak betul kita bangkang dengan 16 sama.

"Faedahnya, kita mempunyai satu kekuatan untuk membetulkan kerajaan Terengganu," katanya dalam ceramahnya di Kampung Nail, Kuala Besut malam tadi.

18 July 2013

PRU13, MP PAS minta SPRM siasat biaya iklan BN RM73 juta

Mohamed Hanipa Maidin [PAS-Sepang] minta Perdana Menteri menyatakan adakah SPRM telah menyiasat pendedahan Nielsen Media Research bahawa Barisan Nasional dan Pejabat Perdana Menteri telah membelanjakan RM73 juta hanya untuk pengiklanan bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Beliau mengemukakan soalan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang disenaraikan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini seperti di bawah.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad [Kuala Terengganu] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah hasil siasatan oleh pihak Kementerian pada tahun 2009 tentang keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan dan siapakah pihak yang bertanggungjawab atas tragedi keruntuhan tersebut. 

Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perancangan yang akan dilakukan terhadap bekas tapak pembinaan Universiti Teknologi MARA di Kuala Lipis setelah ia dipindahkan ke Raub. 

Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk meneruskan rancangan untuk mewujudkan 1Care, suatu skim caruman kesihatan. 

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Perdana Menteri menyatakan sikap rasmi Kerajaan dalam isu menangani konflik agama di negara ini. 

Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan adakah pihak Kementerian bercadang untuk menyediakan peluang pemasaran dengan kos rendah bagi para petani. 

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan bagaimana Kementerian menjustifikasikan pemberian kelulusan lebuh raya-lebuh raya baru sebelum PRU-13 yang bakal dilaksanakan secara model pengswastaan (bertol) seperti Lebuh Raya Pantai Barat dan East Valley Expressway yang konsesinya memerlukan pinjaman sokongan Kerajaan (government soft loan) yang bernilai ratusan juta ringgit dengan kadar faedah yang rendah dari pinjaman komersial. 

Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Perdana Menteri menyatakan senarai syarikat pembekal dakwat kekal kepada SPR semasa Pilihan raya Umum Ke-13 lalu. 

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada Kerajaan Pusat bercadang membenarkan kerajaan-kerajaan negeri melantik Penasihat Undang-Undang Negeri tersendiri bagi mengelakkan percanggahan kepentingan (conflict of interest) terutama apabila berlakunya sesuatu tuntutan Mahkamah antara Kerajaan Negeri terhadap Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya. 

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh mana keberkesanan sistem biometrik di dalam pengesahan pendatang asing dan apakah tindakan pihak Kerajaan untuk mengawal peningkatan pendatang asing tanpa izin (PATI). 

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan perancangan Kementerian untuk meningkatkan lagi kemudahan-kemudahan bagi nelayan di Getting, Tumpat. 

Dr.Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah menyatakan adakah langkah-langkah yang telah diambil selama ini untuk mengatasi masalah miskin tegar di negara ini telah mencapai sasarannya, dan jika belum dicapai apakah tindakan susulan untuk mencapainya. 

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Pendidikan menyatakan status pembinaan sekolah di kawasan U10 Shah Alam serta berapakah nilai kontraknya dan jumlah bilik darjahnya. 

Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Luar Negeri menyatakan status semasa Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) sebagai mercu tanda komitmen Kerajaan terhadap pelaksanaan konsep Kerjasama Selatan-Selatan, peruntukan yang telah digunakan dan impak pelaksanaan program ini di negara-negara membangun yang terlibat.

17 July 2013

Ahli Parlimen standard kedai kopi

Negara hari ini amnya dan rakyat keseluruhan khasnya tidak memerlukan ‘ahli parlimen kedai kopi’ ke arah memacu negara mencapai standard dan piawaian negara maju.

Demikian pandangan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan sebagai respons kepada kekecohan yang tercetus di Dewan Rakyat semalam.Berikut adalah tulisan beliau.  

Parlimen adalah sidang para wakil rakyat yang dipilih melalui mandat rakyat teramai dalam pilihanraya. Ertinya mereka adalah figure terpilih seramai 222 orang mewakili rakyat seluruh negara.

Sama ada mereka mewakili Barisan Nasional  [ 133 ] ataupun Pakatan Rakyat [ 89 ].Kini wakil-wakil rakyat ini sedang bersidang dan bermesyuarat sejak 24 Jun 2013 yang lalu. 

Mesyuarat pertama adalah untuk membahaskan Titah Diraja, Rang Undang-Undang dan Bajet Tambahan serta menjawab lisan soalan-soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli parlimen. 

Masa sidang masih berbaki 2 hari sahaja lagi sebelum ia berakhir pada Khamis ini bersamaan 18 Julai 2013 bagi Mesyuarat Pertama pada Penggal Pertama.Suasana sidang hari ini sangat mendukacitakan saya.

Apabila terdapat Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan atau ungkapan yang sering disebut oleh Yang Dipertua  Dewan sebagai ‘kalimah unparliamentary’. 

Mungkin kerana saya junior di Parlimen ini tetapi ia tetap menjadi satu kesalahan yang tidak wajar diungkap oleh ahli parlimen atau seorang yang bergelar pemimpin.

Contohnya semalam MP Kinabatangan beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang saya anggap keterlaluan apabila melemparkan sangkaan jahat kononnya pasangan Alvin dan Vivian yang menghina Islam adalah tajaan DAP. 

Lebih tidak beradab apabila beliau menyebut dengan nada yang tinggi perkataan ‘kafir laknat’ kepada seorang ahli parlimen yang lain meskipun ahli parlimen itu adalah seorang non muslim.

Saya menyaksikan situasi ini dengan penuh kesal. Usahkan saya, kelihatan Yang Dipertua Dewan juga sukar untuk mententeramkan mereka. 

Berhujah menggunakan bahasa kesat dan nada suara memekik terlolong tanpa memperduli amaran Yang Dipertua supaya masing-masing duduk dan menumpukan kepada topik perbahasan. 

Suasana parlimen semalam, kalaupun tidak menyerupai  ‘pasar borong’ , tidak keterlaluan kalau saya katakan ianya tidak ubah seperti kedai kopi. 

Selayaknya ahli-ahli parlimen sebegini mempertingkatkan disiplin diri, berbahas berasaskan hujah , fakta dan figur, bukan emosi yang tidak menentu disulam pula sangkaan jahat antara satu sama lain. 

Memekik terlolong meningkah antara satu sama lain. Ia tidak menyelesaikan masaalah dan tidak membantu ahli parlimen membuat keputusan dengan baik. 

Saya harap ia tidak dicontohi oleh ahli-ahli parlimen baru. Ia adalah sempadan yang wajar dihindari.Senior sayugianya menunjuk contoh yang baik kepada ahli parlimen yang  junior.

Lebih penting untuk diinsafi betapa mereka sedang ditonton oleh rakyat bahkan sedang diperhatikan oleh dunia. Kualiti ahli parlimen ini masih rendah. Justeru itu, negara perlukan perubahan besar untuk melahirkan ahli parlimen bertaraf dunia. 

Sungguh saya sebut di sini bahawa negara hari ini amnya dan rakyat keseluruhan khasnya tidak memerlukan ‘ahli parlimen kedai kopi’ ke arah memacu negara mencapai standard dan piawaian negara maju.

15 July 2013

PAS kecewa dengan larangan Tazkirah

PAS Perak melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melarang masjid dan surau mengadakan tazkirah di sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, tazkirah di bulan yang mulia ini adalah satu langkah baik dan bijak oleh kerana bilangan kehadiran umat Islam sangat tinggi.

Menurutnya, kita sepatutnya mengambil peluang terbaik ini untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat dan ianya mungkin menjadi permulaan untuk rakyat meminati dan cinta akan majlis ilmu.

“PAS Perak sangat tidak bersetuju dengan larangan daripada mufti ini kerana ianya akan merugikan peluang yang Allah berikan pada bulan yang mulia ini.

“Majlis ilmu pada bulan-bulan lain kurang sambutan, jadi apa salahnya di saat kehadiran masyarakat di bulan ini agak ramai, kita gunakan peluang yang terbaik ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau menjelaskan, tazkirah ini adalah pengganti kepada kuliah-kuliah termasuklah kuliah Maghrib yang dihentikan di sepanjang bulan Ramadhan.

Dalam keadaan ini, Misbahul berkata, PAS Perak menyarankan Pejabat Mufti mahupun Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengeluarkan garis panduan termasuklah teks tazkirah untuk dibaca oleh penyampai tazkirah.

Ujar misbah, buku tebal yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menjadi bahan tazkirah oleh para imam juga baik digunakan ketika ini. 

“Diharap mufti menarik balik larangan tazkirah yang semakin diminati oleh masyarakat dan yang tidak suka mendengar tazkirah ini hanyalah segelintir yang sememangnya tidak suka kepada majlis ilmu. 

“Kalau nak dikira bid'ah sekali pun, ia masih lagi bid'ah hasanah sebagaimana amalan-amalan bidaah yang lain.

 “Janganlah hanya kerana segelintir yang tidak suka tazkirah, amalan yang baik ini diharamkan,” jelasnya lagi. 

Tegasnya, sebagai mufti, Harussani sepatutnya menggalakkan amalan baik ini dan berterima kasih kepada penganjur serta pemberi tazkirah kerana mereka sebenarnya telah membantu menghidupkan Ihya' Ramadhan dan mengembangkan syiar dakwah.

14 July 2013

Kuala Besut milik Pakatan

In Shaa Allah sekali pun Gelombang Biru terus berjanji itu dan ini, kami para petugas awal dari JPrK Kota Raja tetap yakin bahawa Kuala Besut bakal jadi milik PAS/Pakatan.

Itulah suara hati rakyat KB.

13 July 2013

Perhimpunan menolak rampasan hingga hari raya

Perhimpunan menolak rampasan kuasa serta mendesak Presiden sah Dr Muhammad Morsi dibebaskan yang bermula selepas solat Jumaat semalam menyaksikan sekali lagi lautan manusia memenuhi wilayah Kaherah.

Dianggarkan puluhan juta keluar menyertai himpunan tersebut semalam yang bertumpu di beberapa kawasan termasuk di Dataran Raba'ah yang menjadi pusat himpunan.

Selain Raba'ah, tempat-tempat lain termasuk Dataran Nahdhah di hadapan Universiti Kaherah, Giza, Ramsis, Istana Ittihadiyyah, Iskandariyyah dan Almenia, Qina, Aswan, Asyut dan di Fayoum.

Menjelang solat Jumaat, Khutbah membakar semangat di Dataran Raba'ah disampaikan Timbalan Menteri Wakaf Dr.Jamal Abdul Sattar.

Dianggarkan lebih 3 juta penyokong memenuhi Dataran Raba'ah semalam.Kemudian selepas itu, pentas Raba'ah menyaksikan ucapan-ucapan bersemangat menuntut pembebasan Morsi.

Antara yang ucapkan berkali-kali termasuk matlamat himpunan tersebut iaitu;

1) Kembalikan Presiden Mesir Dr.Mursi ke Istana Ittihadiyah tanpa apa-apa syarat bagi beliau menjalankan tugas-tugas sebagai ketua negara.

2) Segera mengadakan Pilihanraya Dewan Rakyat dan kembalikan Dewan Senat yang dibubarkan.

3) Perlu menjayakan "Jawatankuasa Kebangsaan" yang diperintahkan oleh Presiden Mursi sebelum ini yang disertai oleh semua pihak dan lapisan masyarakat.

4) Sesiapa yang tidak berpuas hati untuk menghukum Presiden Mursi atau menyingkirkannya mestilah dilakukan mengikut perlembagaan.

"Sedia berhari raya di sini"Dalam pada itu, tokoh Ikhwanul Muslimin Dr.Sofwat Hijazi turut menyampaikan pidatonya di pentas Raba'ah."Mereka bertanya kita apa yang anda akan lakukan jika askar tidak mengendahkan tuntutan kamu?

"Kita menjawab, kami akan kekal berterusan di sini dan dataran-dataran sehingga kembali Presiden Mursi atau kami bersedia untuk mati.

"Kami akan bersiap untuk menyambut hari raya di sini. Sebahagian muslimat semalam datang mencadangkan untuk membawa ketuhar bagi menyiapkan biskut dan kuih hari raya di dataran.

"Kami akan terus menekan dengan cara yang aman. Kami sama sekali tidak akan mengangkat senjata berhadapan dengan tentera sekalipun kami dibunuh. Kita akan menjadi hamba Allah yang sedia dibunuh, bukan hamba-Nya yang membunuh.

Kami akan gunakan semaksimum mungkin cara untuk menekan. Kami juga mampu untuk mengadakan mogok dan mengepung pejabat-pejabat kerajaan akan tetapi kami tidak akan melakukannya kerana ia mengganggu kehidupan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Jutaan para penyokong Dr.Mursi yang berkumpul di dataran Raba'ah malam tadi telah mengadakan perarakan ke Istana Ittihadiyah dan Kementerian Pertahanan.Kemaraan mereka ke Istana Ittihadiyah bagaimanapun dihalang oleh sekatan tentera yang menghalang jalan dengan kawat berduri dan meletakkan kenderaan perisai di jalanraya.

Pentas Raba'ah semalam juga turut mengumumkan jumlah kehadiran penyokong Morsi sehingga kini iaitu 3 juta di Dataran Rabaah Adawiyyah,  Dataran Nahdhah di hadapan Universiti Kaherah (2 juta), Giza (350 ribu), Ramsis (500 ribu), Istana Ittihadiyyah (150 ribu), Qina (100 ribu), Aswan (30 ribu), puluhan ribu di Fayoum, ratusan ribu di Asyut serta jutaan lagi di Iskandariyyah dan Almenia.

05 July 2013

Calun BN team Idris Jusoh

PR menjangka calon diketengahkan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK ) Dun Kuala Besut ini dipilih dari ‘kem’ Datuk Seri Idris Jusoh.

Adun Chukai, Hanafiah Mat berkata, perkara itu cukup jelas melalui pelantikan Ketua Umno Bahagian Besut itu sebagai Timbalan Pengarah PRK Dun Kuala Besut, seolah-olah mengetepikan kredibiliti Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja mengejutkan beberapa pemimpin Umno, tetapi ada turut kecewa Ahmad tidak dilantik sebagai timbalan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah PRK di kerusi N1 itu.

“Adakah ini menandakan perselisihan di antara dua pemimpin ini masih berlanjutan? Melalui maklumat yang ada kita dimaklumkan bahawa Adun yang meninggal itu merupakan 'orang' Ahmad Said.

“Bagaimanapun, dengan pemilihan Idris sebagai timbalan, ia menggambarkan calon BN nanti datang dari team Idris,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam masa sama, beliau turut mengkritik gandingan Muhyiddin dan Idris yang seolah-olah tidak kena dan membelakangkan Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Beliau berkata, keadaan itu turut mendatangkan risiko yang besar terutama kepada Ahmad kerana jika kalah, sebagai Menteri Besar beliau sudah tentu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berlaku.

“Sepatutnya Ahmad berada di tempat timbalan pengarah, seolah-olah tidak kena beri kepada ketua bahagian,” katanya.

Sementara itu, mengulas potensi kemenangan Pas di Dun Kuala Besut, Hanafiah yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu turut yakin sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Beliau berkata, rata-rata yang ditemui khususnya di kawasan tersebut menyatakan keterujaan untuk melihat apa akan berlaku di Dun Terengganu dengan kedudukan seri 16-16.

“Saya sudah turun ke Besut dan ramai pengundi yang mahu tengok kedudukan 16-16. Tidak kira sama ada daripada pengundi Umno atau Pas.

"Kita lihat sentimen ini akan membantu mempengaruhi pengundi memberi undi kepada Pas, sentimen ini amat besar kerana mereka mahu lihat apa yang berlaku,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut sependapat dengan pemimpin politik lain bahawa pilihan raya ini sangat penting kepada kedua-dua parti sama ada Pas atau BN yang mahu melihat keputusan berpihak kepada parti masing-masing.

04 July 2013

Bersih 2.0, Salahuddin dan Mahfus menang saman

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Ganti rugi itu adalah berhubung dengan kes saman yang difailkan oleh mereka selaku plantif terhadap tangkapan yang tidak sah ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 di KL Sentral.

Sebelum itu Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan bahawa rayuan kerajaan Malaysia terhadap keputusan saman kedua-dua plantif adalah dibenarkan berhubung ganti rugi sahaja.

Kedua-dua plaintif telah berjaya dalam tindakan saman mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan diputuskan ganti rugi sebanyak RM70,000 tiap seorang atas tangkapan salah dan tidak sah tersebut.

03 July 2013

Kuala Besut : Umno suram, PAS Ceria

Biar pun BN bertapak kukuh di Dun Kuala Besut sejak pilihan raya umum 2004, namun Dun terbabit pernah dimenangi PAS pada empat pilihan raya umum sebelum itu.

PAS pernah menang pada pilihan raya umum 1959, 1969, 1974 dan 1999.

Situasi itu membuatkan Umno dan BN tidak mampu mendabik dada menjuarai dengan mudah pilihan raya kecil Kuala Besut tidak lama lagi.Tambahan pula isu dalaman dan luaran terus membelit parti itu.

Penyisihan terhormat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said daripada jentera utama pilihan raya BN Kuala Besut bukan lagi sekadar cerita kedai kopi.

Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut membuatkan Umno Terengganu bergolak semula.

“Isu kuasa autonomi diberi Umno pusat kepada Idris di Kuala Besut dengan mengenepikan Ahmad Said dilihat boleh membantu PAS,” katanya pada sidang media di Markas Besar PAS Dun Kuala Besut di Kampung Baharu petang semalam.

Menurutnya, penyisihan Ahmad sudah tentu memanaskan isu lama yang sudah berkocak dalam Umno sejak 2008.

Selain itu isu tempatan dengan lambakan permohonan milik tanah rakyat yang tidak selesai juga tidak boleh dipandang ringan.Kata Wan Azhar isu tanah bukan perkara kecil di Kuala Besut kerana banyak tidak selesai sehingga mengundang kemarahan rakyat.

Katanya, ditambah pula isu nasional dengan kepincangan pengurusan pilihan raya umum lalu masih diperkatakan rakyat secara meluas.

Wan Azhar juga berkata, undi kepada calon PAS pada pilihan raya umum lalu meningkat sebanyak 178 undi.

"Begitu jumlah undi diraih calon BN di Kota Putra, Hulu Besut dan Jertih juga didapati merosot berbanding 2008,” ujarnya.

Pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu. Di peringkat pusat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai jentera dan kempen BN bagi menghadapi PRK Kuala Besut.

01 July 2013

Penipu no wahid dalam dunia ialah SPR

Apakah SPR tidak memahami hukum logik sistem penggunaan dakwat kekal sebelum melontarkan cadangan yang kononnya bertujuan meredakan kemarahan rakyat?

Cukup-cukuplah dengan penipuan demi penipuan yang dilakukan SPR untuk menutup kegagalan sistem dakwat kekal, rakyat terus diperbodohkan lagi dengan cadangan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya kecil N.1 Kuala Besut,” ujar Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Susulan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar, SPR akan menggunakan dakwat kekal yang lebih baik dalam pilihan raya kecil Dun Kuala Besut, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) segera membidas cadangan yang mengelirukan rakyat.

Cukup-cukuplah dengan penipuan demi penipuan yang dilakukan SPR untuk menutup kegagalan sistem dakwat kekal, rakyat terus diperbodohkan lagi dengan cadangan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya kecil N.1 Kuala Besut.

Apakah SPR tidak memahami hukum logik sistem penggunaan dakwat kekal sebelum melontarkan cadangan yang kononnya bertujuan meredakan kemarahan rakyat?

Logiknya penggunaan sistem dakwat kekal ialah untuk memastikan setiap pengundi dicalit dakwat tersebut sebagai tanda sudah mengundi, dan ia melibatkan semua pengundi pada pilihanraya umum. 

Dakwat seharusnya kekal selama 7 hari memandangkan hampir 300 ribu pengundi awal dan pengundi pos membuang undi mereka 5 hari sebelum hari mengundi. 

Maka jika sistem ini berjalan baik, mereka yang sudah mengundi sama ada pengundi awal atau pengundi biasa, tidak boleh mengundi kali kedua kerana dakwat masih dijari. Ini konsepnya.

Tetapi apa yang berlaku pada 5 Mei lalu ialah ratusan ribu pengundi awal telah terdedah untuk mengundi lebih dari sekali malah pengundi yang membuang undi 5 Mei juga boleh berbuat demikian kerana didapati dakwat kekal itu sebenarnya pewarna tiruan sahaja, tidak mampu kekal walau 5 minit merujuk kepada banyak kes dan laporan polis. Integriti pilihanraya hancur dan undang-undang PRU13 dicemari dengan teruk sekali.

Kini setelah SPR hilang sepenuhnya kepercayaan rakyat dan didesak oleh majoriti rakyat supaya berundur, SPR yang sama telah cuba untuk perbodoh rakyat dengan cadangan sistem dakwat kekal di PRK Kuala Besut. Mana mungkin sebuah pilihanraya kecil mengamalkan sistem dakwat kekal melainkan pengundi di seluruh negara selain pengundi Dun Kuala Besut ditandakan dakwat kekal terlebih dahulu sehari sebelum hari pengundian N1 Kuala Besut.

Dengan kata lain, menandakan dakwat kekal kepada hanya sekelompok pengundi di Kuala Besut sedangkan berbelas juta pengundi tempat lain bebas untuk masuk dan menyamar sebagai pengundi adalah sangat tidak relevan. Tiada logik sistem dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya kecil.

Justeru itu, SAMM melihat cubaan Timbalan Pengerusi SPR membuktikan dakwat yang bakal digunakan di PRK Kuala Besut lebih kekal dari 5 Mei adalah berniat jahat untuk menutup isu sebenar. Rakyat kini tidak mahu lagi dakwat kekal, rakyat mahu dakwat kekal pada 5 Mei dan kegagalan berbuat demikian sepatutnya kamu dan semua koncu kamu meletakkan jawatan.

Cubaan yang baik dari SPR, namun rakyat semakin bijak dan semakin kental untuk terus melawan! Biarpun ada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menerima keputusan pilihanraya sepertimana ahli parlimen Barisan Nasional, namun rakyat tetap menolak keputusan yang penuh penipuan, menggelapkan demokrasi yang juga merampas kemenangan rakya.

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini