12 May 2013

Kedah dapat PJ baru

PAS melantik Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar (gambar) sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Azizan Razak.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang bersidang hari ini di Pejabat Agung PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memaklumkan, mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk membuat post mortem terhadap keputusan pilihan raya umum ke 13.

"Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub telah dilantik mengetuai jawatankuasa post mortem ini dengan timbalannya adalah Dr Dzulkefly Ahmad manakala Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Zuhdi Marzuki sebagai setiausahanya," umum Mustafa kepada Harakahdaily.

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat hari ini adalah yang pertama diadakan selepas pilihanraya umum ke 13, 5 Mei lalu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermula jam 10.30 pagi tadi yang berakhir jam 2.30 petang tadi.

Dalam PRU 13, PAS menang 21 kerusi Parlimen dan berjaya mempertahankan Kelantan namun kalah di negeri Kedah.

Mahfuz menggantikan Ustaz Azizan yang sehingga kini masih belum sihat selepas pembedahan kedua-dua belah kakinya akibat diebetis.

Mahfuz dalam PRU 13 menang kerusi Parlimen Pokok Sena manakala Ustaz Azizan kekal di Dun Sungai Limau.

Namun begitu, PAS hilang lima Parlimen di Kedah iaitu Jerai, Pendang, Sik, Baling dan Padang Terap di samping kehilangan negeri Kedah.

Post morterm dipercayai dibuat bagi mengenalpasti punca sebenar kekalahan PAS di Kedah dan beberapa negeri lain ekoran dakwaan pelbagai penyelewengan yang berlaku.

09 May 2013

Whats wrong with Azmin?

Selangor kini kubu Pakatan


PENCAPAIAN kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dengan memperolehi lebih dua pertiga majoriti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan satu pencapaian terbaik Pakatan Rakyat Selangor.

Dengan memperolehi kerusi sebanyak 44 kerusi Dun jika dibandingkan Barisan Nasional (BN) yang hanya memperolehi 12 kerusi sahaja turut menyaksikan BN yang mempunyai masa depan yang gelap di negeri tersebut.

Pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) tahun 2008, Pakatan hanya memperolehi 36 kerusi sahaja dan BN mendapat 20 kerusi, menunjukkan peningkatan kerusi Pakatan Rakyat sebanyak lapan kerusi.

BN Selangor yang sebelum ini menggunakan slogan 'Sayangi Selangor, Yakini BN' dan pelbagai tawaran dalam manifesto mereka tetap gagal menarik perhatian pengundi Selangor, apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memegang jawatan sebagai Pengerusi BN Negeri Selangor turut gagal menjadi penyumbang undi kepada BN pada PRU13 yang lepas.

Kejayaan lebih dua pertiga majoriti yang di perolehi Pakatan Rakyat menunjukkan Selangor mampu mengikut jejak Kelantan yang mampu bertahan selama 23 tahun walaupun pelbagai serangan dilakukan BN untuk merampas negeri itu.

Sebelum ini, iaitu semasa pilihanraya tahun 2004 negara menyaksikan perbezaan kerusi dun di Kelantan hanya satu kerusi sahaja namun semangat muafakat dan kesetian kepada parti, PAS Kelantan mampu memerintah dengan baik sehingga tibanya PRU12.


(Dr Rani Othman, Pesuruhjaya PAS Selangor)

Senario ini perlu ditekankan di Selangor, jika negeri ini mahu menjadi salah satu kubu kuat Pakatan Rakyat untuk pilihanraya-pilihanraya yang akan datang dengan membuat penelitian serta gerak kerja baru untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi serta menembusi kubu kuat BN.

Walaupun mendapat lebih dua pertiga majoriti, terdapat beberapa kerusi Parlimen dan Dun gagal dipertahankan oleh Pakatan Rakyat. Misalnya Dun Bukit Melawati menyaksikan kekalahan calon PKR, Manikavasagam Sundaram dengan majoriti 806 undi.

PAS yang menebus kekalahan di Dun Sabak melalui calonya Sallehen Mukhyi dengan jumlah majoriti sebanyak 399 undi, pada 2008 beliau yang juga bertanding di kawasan tesebut telah kalah kepada BN sebanyak 117 undi majoriti sahaja.

Sementara itu, DAP yang juga menunjukkan peningkatan sokongan dengan mengambil kembali kerusi di Dun Kuala Kubu Baharu apabila Lee Kee Hiong yang terpaksa bertembung lima penjuru dan mengalahkan calon BN sebanyak 1,702 undi.

Walaupun Selangor menyaksikan pertembungan yang yang ramai melibatkan calon Bebas sama ada peringkat Parlimen mahupun Dun, namun ia tidak memberi kesan kepada kemaraan Pakatan Rakyat untuk terus menguasai negeri itu bagi melaksanakan janji-janji manifesto sebelum ini.

Mungkin belum masanya untuk Pakatan Rakyat menebusi Parlimen Tanjung Karang, apabila keputusan kali ini menyaksikan BN terus menguasai kedua-dua dun yang berada di bawah parlimen itu, Pakatan Rakyat Selangor perlu mencari satu formula baru untuk menarik lebih ramai pengundi untuk menyokong parti itu nanti.

Melalui tinjauan yang dibuat sebelum berlangsungnya PRU13, faktor pengundi Melayu di Parlimen Tanjung Karang memainkan peranan utama kepada kemenangan sesebuah parti itu, dengan penguasaan 73.32 peratus, manakala kaum Cina hanya 16.61 peratus dan India 9.80 peratus dan lain-lain 0.27 peratus.


(Tan Sri Khalid Ibrahim, pemacu kejayaan Pakatan di Selangor)

Formula khusus perlu diketengahkan oleh Pakatan Rakyat Selangor untuk kaum Melayu di Parlimen Tanjung Karang jika parti itu mahu menembusi kubu kuat BN.

Berita mengejutkan apabila Parlimen Kuala Selangor gagal dipertahankan oleh calon PAS, Dr Dzulkefly Ahmad yang tewas kepada calon BN dengan majoriti yang kecil jika dibandingkan undi rosak iaitu 460. Ini kerana Dr Dzulkefly merupakan individu yang disenangi oleh seluruh penduduk Kuala Selangor dan senang didekati. 

Situasi kenapa undi rosak sebanyak 934 undi lebih tinggi dari undi majoriti perlu dikaji oleh seluruh jentera parti bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

PAS mengorak langkah dengan bergaya apabila kubu kuat BN di Dun Templer ditembusi dengan jumlah majoriti yang besar iaitu 7,467 undi. Pada PRU 2008 kerusi tersebut dimenangi BN dengan majoriti sebanyak 613 undi dan pada 2004 PAS melalui calonnya Dr Mohd Hatta Md Ramli juga turut kalah dengan majoriti cukup besar iaitu 7,625 undi.

Untuk PRU13 PAS berjaya menembus kekalahan mereka dengan merampas kerusi tersebut dengan menang bergaya.

Penguasaan PAS terus merebak di Dun Dusun Tua apabila Razaly Hassan mengalahkan calon BN, Ismail Sani dengan jumlah majoriti 4,071 undi, Dun Seri Serdang juga menunjukkan keputusan mengejut apabila memperolehi majoriti 16,251 undi. Pada PRU 2008 PAS kalah di Seri Serdang dengan majoriti hanya 45 undi sahaja.

Konflik pertindihan kerusi di Dun Semenyih dan Kota Damansara memberi kerugian yang besar kepada Pakatan Rakyat yang memberi kemenangan percuma kepada BN.

Sepatutnya isu ini dapat diselesaikan lebih awal dan setiap parti perlu bertolak ansur agar ia dapat memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat.

Undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon PKR dan PSM di Semenyih telah melebihi undi yang diperolehi BN begitu juga di Kota Damansara, namun kecuaian kedua-dua parti yang turut meletakkan calon menyebabkan Pakatan Rakyat Selangor kehilangan dua kerusi yang cukup berharga.

Pada PRU12, Dun Sementa kecoh apabila calon PKR tidak bertanding di kawasan tersebut sehingga memberi kemenangan percuma kepada BN, namun PKR menutup kesilapan mereka setelah Dr Daroyah Alwi menang di kerusi tersebut.

Mohamed Hanipa Maidin (gambar) menewaskan orang kuat BN Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed di Parlimen Sepang, walaupun beliau turun sebagai calon 'underdog' dan menumpaskan Mohd Zin di kawasan yang beliau menangi sebelum ini.

Kehilangan Dr Dzulkefly di Parlimen dan digantikan dengan Mohamed Hanipa walaupun dalam bidang berlainan setidak-tidaknya memberi kelebihan kepada PAS untuk berhujah dalam konteks yang lain.

Apa yang pasti kekuatan Pakatan Rakyat menguasai Dewan Undangan Negeri pada persidangan kali ini akan memberikan kekuatan baru untuk membawa Selangor ke arah yang terbaik, rakyat mengharapkan wakil-wakil yang dipilih dapat berhujah dengan lebih berkesan kerana dasar kejayaan sebuah kerajaan itu terletak kepada kepimpinan mereka yang dipilih.

Pada PRU13, Negeri Selangor menyaksikan jumlah pengundi seramai 2,048,828 orang dengan pecahan kaum Melayu 50.21 peratus, Cina 34.06 peratus, India 14.39 peratus dan lain-lain sebanyak 1.34 peratus.

PAS yang bertanding sebanyak 21 kerusi berjaya memperolehi 15 kerusi (2008 - 8 kerusi dimenangi), PKR bertanding 21 kerusi memperolehi 14 kerusi (2008 - 15 kerusi dimenangi) dan DAP pula bertanding sebanyak 15 kerusi berjaya memenangi kesemua kerusi yang mereka bertanding iaitu 15 kerusi (2008 - 13 kerusi dimenangi).

08 May 2013

Kata orang tua.. "kamu orang muda yang tak pandai bersyukur"

Kata orang tua...

Kamu orang muda, tak pandai bersyukur. Kamu lahir dalam kesenangan. Nikmat dari titik peluh kami dahulu.

Kami melawan penjajah untuk merdeka. Berperang dengan Jepun untuk pertahan tanah air. Berperang dengan Cina pada 13 Mei untuk pertahankan Raja Melayu.

Pertahankan hak bumiputera. Sanggupkah kamu serahkan negara ini kepada pendatang Cina?

Anak muda jawap...

Kalian orang tua sudah selesa. Kalian sudah ada sebidang tanah. Kalian sudah ada sebuah rumah. Kalian sudah ada kerja, gaji dan pencen. Dahulu, kalian mengaji percuma. Kami, belum habis mengaji sudah berhutang. Habis belajar, belum tentu ada kerja. Kalau bekerja, belum tentu boleh miliki kereta, rumah, dan tanah. Mahu makan sekali sehari pun susah.

Ya, benar. Jepun sudah pulang. Inggeris sudah berundur. Namun kami dijajah oleh bangsa sendiri. Melayu korup dan khianat. Membiar bangsa sendiri hidup melarat. Dahulu, meski dijajah, kamu masih boleh memiliki rumah sendiri. Kini, meski merdeka, kami hanya mampu menyewa.

Dahulu, demi mempertahankan tanah air, kita menghalau Joseph, Donald, Mizuno, Kozumi. Kini kita hanya berdiam diri ketika tanah kita dirampas oleh Mahmud, Muhammad dan Abdullah.

Kamu pinta kami berwaspada dengan Cina dan India? Tapi kamu import Indon, Myanmar dan Bangla? Kamu minta kami waspada dengan Cina, tapi mereka lebih prihatin tentang nasib kami berbanding Melayu, bangsa sendiri. Kamu minta kami berwaspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang merompak tanah kita. Kamu pinta kami waspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang berdusta.

Saya masih ingat. Ketika anak Melayu bawah umur dirogol oleh pembesar Melayu, Cina yang dikutuk hari ini bangkit membela. Beliau (LGE) akhirnya dihukum penjara.

Kamu kata, Cina mahu hancurkan kita. Tapi yang dibina Melayu, roboh dan runtuh belaka. Kamu kata, Cina mahu kita binasa, tapi Melayulah yang merompak harta negara, merampas Royalti dari negeri yang mempunyai penduduk Melayu paling ramai.

Kamu kata, DAP benci Islam, tapi peruntukkan Islam dilipatganda berjuta-juta. Kamu dakwa UMNO bela Islam, tapi roboh masjid, tutup sekolah agama, sekat dakwah, batal biasiswa agama.

Kamu kata DAP rasis, ultra cina dan benci Islam, tapi Zairil Khir itu Melayu, Islam dan anak pemimpin UMNO. Lalu kami tanya, mana calon Cina dari UMNO? Mana calon Melayu dari MCA?

Kamu kata, Cina itu musuh kita. Saya tanya, jiran rumah kita siapa? Bermusuh dengan jiran bukan ajaran agama.

Kamu kata, mesti bantu Melayu kerana Cina semuanya kaya. Kami tanya, Ah Chong, penjaja sayur yang mengayuh basikal itu berbangsa apa?

Kamu kata, berpakat dengan Cina DAP haram. Kami tanya, MCA dan Chua Soi Lek itu Melayu?

Bila kami hormati Cina, kamu kata kami lupa asal usul. Yang kami ingat, kami berasal dari negara Malaysia yang berbilang bangsa, Cina, India Kadazan, Murut dan sebagainya.

Kamu kata, hanya BN yang boleh memerintah. Kami kata, Penang lebih cemerlang di bawah DAP, Selangor lebih maju di bawah PKR.

Malaysia apa yang kamu gambarkan kepada kami?

Kami inginkan Malaysia yang lebih damai. Warganya aman tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kami tidak perlu memaki dan mengutuk Cina untuk membela Melayu. Kami anak Malaysia!

Semoga rakan-rakan Cina dan India saya tabah dalam menghadapi segelintir ultra Melayu yang nakal.

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini