05 June 2013

Umno tinggalkan rekod buruk perjuangan Melayu

Selepas keputusan PRU13, parti komponen BN nampak gelabah sehingga ada cadangan untuk menjadikan BN parti tunggal. Selain itu, ada cadangan membubarkan semua parti komponen menjadi satu sahaja seperti yang disuarakan pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.

Mesyuarat MT UMNO, Jumaat lalu, bersetuju mewujudkan makmal khusus bagi memperincikan cadangan itu dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan ahli di seluruh negara.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini ditambah pula kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang mengatakan Umno menang bukan kerana kuat,  tetapi kerana Melayu berjaya ditakutkan sehingga mereka mengundi Umno pada PRU13.

“Sampai bila Melayu hendak ditakutkan kerana Melayu yang berjaya ditakutkan sudah tidak ramai, sebagaimana orang Melayu sudah tidak ramai yang takut kepada  hantu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Umno berada pada situasi yang merbahaya jika hanya mengharapkan Melayu menyokong berdasarkan emosi kerana Melayu yang celik maklumat dan faham agama tidak diserang dengan budaya takut. 

Katanya, mereka sedar, Melayu musnah semuanya angkara Umno. Beliau berkata, golongan ini mula mempersoalkan kenapa setelah 57 tahun merdeka, Melayu semakin tertinggal ke belakang. Ini, katanya kerana Umno telah khianat amanah untuk membantu orang Melayu. 

“Berapa banyak projek yang dikhas untuk orang Melayu gagal diselenggarakan dengan baik. “Kenapa Umno hendak mengkambing hitamkan kaum lain, supaya Umno terus selamat?” tanya beliau. 

Beliau menambah, Melayu terpelajar sudah menganggap, Umno mesti bertanggungjawab terhadap musibah yang menimpa kepada orang Melayu.

 “Mereka mahu Melayu yang bermoral dan telus untuk memimpin negara. Umno telah meninggal rekod yang terlalu buruk kepada sejarah perjuangan orang Melayu di negara ini,” ujarnya lagi.

04 June 2013

Kabinet baru BN mungkir janji

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Malaysia tidak patut menuruti model Singapura yang mengawal portal atas talian kerana ia melanggar Akta Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjamin tiada penapisan internet.

"DAP kesal apabila menteri komunikasi dan multimedia yang baru dilantik Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memulakan penggalnya dengan memungkiri janji BN sebelumnya untuk tidak menapis Internet, apabila mahukan kawalan ke atas portal atas talian.

"Di mana 'Janji Ditepati' BN?" kata Lim dalam kenyataannya hari ini.

03 June 2013

Grand Finale Blackout 505

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat menyokong pengajuran perhimpunan 'Blackout 505' bagi membantah penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Anwar mengumumkan sokongan Pakatan ke atas penganjuran perhimpunan pada 15 Jun itu dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Pakatan Rakyat akan berunding dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak keselamatan bagi memastikan perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman.

Anwar berkata sekratariat perhimpunan akan memberi maklumat lanjut sama ada perhimpunan itu diadakan di jalanan atau di stadium. 

Gambar terbaik bagi bekas ahli majlis syura PAS


Matahari dah tegak ; Umno baru terjaga

Matahari Tegak dan UMNO Baru Terjaga

Saya membaca laporan muka hadapan Sinar Harian hari ini yang memuatkan pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Khabarnya ini bertujuan untuk memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana pilihan raya negara. Saya memetik kata-kata Datuk Seri Najib yang antara lain menyatakan bahawa langkah ini bagi memastikan peranan suruhanjaya itu sebagai badan bebas tidak lagi dipersoalkan, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap peranannya mengadakan pilihan raya secara telus dan lancar.

Pada saya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah sebesar-besar bukti bahawa proses perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sangat pincang. Inilah yang saya tegaskan kepada para wartawan yang bergegas ke rumah saya meminta ulasan di atas pengumuman Perdana Menteri itu. Jika sebelum ini, ada pemimpin UMNO yang mencadangkan agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya boleh keluar dari bumi Malaysia, di mana agaknya wajahnya ingin diletakkan dengan pengumuman Presiden UMNO itu sendiri?

Saya ingatkan, jangan sesekali memperlekeh pandangan pandangan rakyat marhaen. Jika dahulu pemecatan Tun Salleh Abbas daripada jawatannya selaku Ketua Hakim Negara turut dipertikai oleh rakyat jelata tetapi kerajaan bermati-matian mempertahankan pemecatan tersebut. Alih-alih apabila teraju pemerintahan negara diambil alih oleh orang lain, Tun Salleh Abbas tidak semena-mena menerima pampasan daripada 'kesilapan kerajaan'. Siapa yang kata kerajaan tidak pernah silap?

Hari ini dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap SPR, sewajarnya kerajaan mengakui sahaja kesilapan. Isu dakwat kekal yang bertukar menjadi tidak kekal dan senarai yang tidak bersih memperlihatkan seolah-olah kerajaan hari ini berdiri di atas mandat yang tidak betul.

Itu belum lagi dicampur isu undi awal yang jelas sekali prosesnya benar-benar menguntungkan Barisan Nasional. Benar sangatlah reaksi langsung daripada rakyat di seluruh negara yang bangkit beramai-ramai menuntut pembersihan di dalam pilihanraya. Perlu diingatkan, PAS bukan tidak pernah kalah di dalam pilihanraya, bahkan PAS lebih banyak kalah daripada menang. Namun dalam masa yang sama, PAS tidak boleh menerima penipuan di dalam pilihanraya. Ingatlah, amanah yang diperolehi daripada jalan yang haram hanya menjadi beban yang sangat berat untuk ditanggung di akhirat kelak!

Saya fikir mustahil Barisan Nasional ingin menurut jejak langkah rejim Hosni Mubarak di Mesir yang menang hampir seratus peratus di dalam pilihanraya tetapi akhirnya kecundang di jalan raya.

Dengarlah suara hati rakyat. SPR wajar dirombak, perbetulkan kembali sistem pilihanraya. Sayangnya, UMNO lambat sedar. Dalam pada rakyat bangkit beramai-ramai mempersoalkan kredibiliti SPR, ada pemimpin UMNO masih bermain madah pujangga menegakkan benang yang basah. Jika umpama orang yang tidur, UMNO hanya terjaga ketika matahari tegak di atas kepala!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

23 Rajab 1434H bersamaan 2 Jun 2013M
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini