12 October 2013

TGNA cadang Selangor mula laksanakan syariat Islam

SHAH ALAM: Isu tahaluf siyasi menjadi bahan utama ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi ia senyap apabila Pakatan Rakyat dapat mengekalkan kemenangan di Selangor. 

Menurut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, begitu juga dengan isu perlaksanaan syariah Islam yang ditimbulkan akan selesai apabila Selangor memulakan langkah melaksanakan syariah Islam. 

"Selangor negeri orang cerdik pandai, ada pakar-pakar duduk di sini, banyak universiti di sini, buat perlaksanaan Islam ini, Insya Allah berjaya," katanya ketika menutup Seminar Syariah Islam, di sini, petang ini. 

Beliau turut menyentuh tentang kewajiban umat Islam perlu melaksanakan syariat Islam kerana ia menjadi `pasport' manusia untuk duduk di bumi ini. 

"Mana-mana orang yang tidak redha dengan hukuman Allah, boleh pergi ke bumi Amerika, bumi Jepun tetapi semua bumi itu milik Allah," tegasnya. 

Beliau menegaskan bahawa perlaksanaan syariat Islam itu wajib, mereka yang tidak melaksanakan hukum itu amat bertentangan dengan hukum Allah. 

"Susah nak jaga undang-undang ini sama juga nak jaga agama. Mana lebih baik jaga undang-undang buatan manusia dengan jaga syariat Allah," tegasnya. 

Perlaksanaan Islam tidak halang kerjasama PAS/PR

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perlaksanaan undang-undang Islam tidak menghalang kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat termasuk rakan bukan Islam kerana mereka tidak terlibat dengan undang-undang tersebut sebaliknya mereka harus melihat undang-undang itu dilaksanakan terlebih dahulu. 

Katanya, PAS menyatakan dasarnya secara terbuka manakala DAP turut menyatakan perjuangannya secara terbuka dengan berdialog maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa menghalang dalam perkara yang berbeza. 

Beliau turut menegaskan untuk melaksanakan undang-undang Islam kuasa politik  merupakan syarat utama untuk menggubal undang-undang dalam perlembagaan negara. 

Katanya, undang-undang merupakan salah satu rukun dalam negara mengikut kaedah politik dan undang undang sebuah negara tidak boleh diikhtiraf  kecuali mempunyai lima syarat. 

"Sebuah negara mesti mempunyai pemimpin iaitu kerajaan yang memerintah, negeri atau negara, rakyat, ada perlembagaan dan kedaulatan sebuah negara mesti bebas sepenuhnya," katanya dalam ucaptama `56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia', di Unisel, Shah Alam. 

Beliau menegaskan sebab itu negeri Kelantan, Terengganu ketika memerintah bahkan Selangor mempunyai bidang kuasa yang terhad untuk melaksanakan undang-undang Islam. 

Menurut beliau, penjajah telah meminggirkan undang-undang Islam setelah mereka gagal untuk memurtadkan penduduk supaya meninggalkan ajaran Islam kerana melaksanakan konsep sekularisma memisahkan agama dengan urusan dunia. 

Undang-undang Islam itu katanya telah dipinggirkan secara halus dengan cara mewujudkan Jabatan Agama Islam sedangkan Islam itu lebih besar dan tidak perlu berada di bawah satu jabatan.

 "Mengapa Islam ada pejabat seperti pejabat haiwan, pejabat hutan dan bermacam-macam pejabat lagi. Islam ditadbirkan bukan Islam dikongkong," tegasnya. 

Beliau berkata, undang-undang Islam bukan sekadar undang-undang keluarga, pusaka serta berkait dengan wakaf bahkan undang-undang keluarga tidak boleh diasingkan daripada undang-undang lain. 

Mengulas tentang Suruhanjaya Reid katanya, PAS bersama NGO Islam pernah menghantar memorandum mendesak supaya Islam diletakkan dalam pelembagaan kerana umat Islam merupakan majoriti besar selepas kemerdekaan. 

Katanya, tekanan itu menyebabkan Suruhanjaya Reid meletakkan Perlembagaan Fasa 3 Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama lain boleh diamalkan. 

Menurut beliau, selepas 56 tahun negara mencapai kemerdekaan pemikiran pimpinan negara masih jumud kerana mereka tidak mengikut ajaran Islam.

PAS mendesak supaya syariat Islam yang sempurna dilaksanakan secara umum malangnya ada kalangan yang menentang kerana menganggap syariat Islam lemah sehingga mereka menghentam undang-undang Islam, katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengimbas sejarah PAS menyertai kerajaan campuran pada tahun 1970-an yang tegas dengan pendirian sehingga menegaskan majlis tari menari bercampur lelaki dan perempuan. 

"PAS membantah minuman arak dihidangkan dalam jamuan negara menuntut laungan azan di radio dan TV di adakan," katanya. 

Begitu juga tambah beliau, iklan arak dan judi dihapuskan dalam media kerajaan dan PAS minta supaya ada hak untuk menyebarkan kefahaman Islam di Kementerian.

22 September 2013

Profesional dan Ulamak

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, golongan profesional sangat berperanan dalam PAS sejak awal penubuhannya lagi.

Malah katanya, pimpinan dari kalangan itulah yang telah memainkan peranan penting dalam mendaftarkan PAS menjadi sebuah parti politik yang pada asalnya adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurutnya, sejak ditubuhkan tahun 1951, ia telah melibatkan profesional bahkan Yang Dipertua PAS paling awal antaranya Dr Abbas adalah dari kalangan profesional.

"Dr Abbas ini adalah antara generasi awal barang kali dulu dari Dr Mahathir lagi kelulusan Universiti Singapura, dialah yang bertanggungjawab mendaftarkan PAS sebagai parti politik yang asalnya adalah NGO.

"Dan yang terlibat juga, Prof Ahmad Ibrahim iaitu pengasas Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dia ialah ahli PAS yang ke 6,000 di samping Prof Ungku Omar, Aminuddin Baki dan begitulah seterusnya perjalan PAS sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pusat Tarbiyyah dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PAS Kawasan Tambun, Taman Meru, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Hadi menjelaskan, golongan profesional sangat diperlukan dengan bekerjasama bersama ulama untuk mentadbir negeri mahupun negara.

Katanya, jika ingin menjadi kerajaan mestilah mempunyai kemahiran hukum-hakam Islam dan kepakaran pelbagai bidang yang dikuasai oleh profesional.Ketika ditanya apa jaminan Ustaz Hadi tentang kedudukan golongan profesional dalam PAS, beliau berkata, ia tidak perlu dijamin kerana mereka menjadi pemimpin PAS sejak awal penubuhan PAS lagi.

Sebelum itu, Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam ucapannya menjelaskan tiada pemisahan antara golongan ulama dan profesional.

“Tiada pemisahan antara golongan ulama dan profesional dalam Islam ini, dan orang PAS jangan terikut-ikut," tegasnya.

20 September 2013

Hasil kajian UMcedel : Rakyat mahu PM letak jawatan

Pembentangan hasil kajian 'Politik Malaysia Pasca PRU13', oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) hari ini menarik perhatian para wartawan terhadap satu slide yang tidak disertakan peratus keputusannya.

Slide yang hanya diletakkan tanda soal itu adalah keputusan survey yang diperolehi terhadap soalan "Adakah Datuk Seri Najib perlu melepaskan jawatan kerana gagal mendapat majoriti 2/3 dalam PRU13?

Ketika diasak wartawan untuk mendedahkan angka peratusan tersebut, Pengarah UMcedel Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, sukar baginya untuk mendedahkannya kerana ianya boleh menyebabkan hidup beliau bermasalah."

Cuma saya mahu kata, result ini tidak mengembirakan dan boleh meletakkan saya dalam masalah kalau saya dedahkan," katanya.

Memberi penjelasan lanjut berhubung slide yang penuh persoalan itu, beliau berkata, harapan rakyat termasuk ahli Umno cukup tinggi terhadap Najib untuk mendapatkan kembali 2/3 penguasaan BN di parlimen selepas jatuh teruk pada 2008.

Rakyat juga katanya yakin bahawa Najib boleh "deliver" dengan baik.

Sudah ada precedent zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dulu ya, beliau meletak jawatan (perdana menteri) kerana gagal dapat 2/3 majoriti.

"So you boleh jangka apa rakyat mahu," katanya sambil menunjuk kepada slide tersebut.Sementara itu, hasil yang dibentang UMcedel hari ini adalah kajian yang dijalankan pada 15 Ogos hingga 10 September lalu iaitu kira-kira tiga bulan selepas PRU13 berlalu.

Kajian yang dibuat secara bersemuka itu melibatkan 1546 responden selaku pemilih berdaftar, terdiri daripada Melayu, Cina dan India di seluruh Semenanjung Malaysia.

Turut serta mendengar pembentangan UMcedel tersebut adalah bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah. 

Dalam pada itu, soalan serupa turut ditanya membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.Soalan berbunyi "Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melepaskan jawatan kerana PR gagal menerajui Putrajaya?, itu bagaimanapun disertakan dengan keputusan.

Dalam keputusan kajian itu, 55 peratus menyatakan tidak bersetuju, 28 peratus bersetuju dan 18 peratus lagi tidak pasti.

Daripada 55 peratus yang tidak bersetuju itu, 72 peratus adalah dari kaum Cina manakala 52 peratus dari kaum Melayu.

Selain itu, kajian juga menunjukkan 69 peratus responden mahukan kerajaan BN mewujudkan kesepakatan nasional dengan Pakatan Rakyat.

Mungkin masyarakat sudah agak penat dengan perbalahan politik sebelum PRU13."Ini pandangan rakyat, namun caranya sudah tentu orang politik lebih tahu," kata Prof Redzuan.

17 September 2013

PAS kekal bersama PR

Pas tetap akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat walaupun Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti itu mengkaji semula tahaaluf siyaasi (kerjasama politik) khususnya dengan PKR.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan dalam Pakatan Rakyat perlu diteruskan sebagai sistem dua parti dan mengukuhkan lagi kedudukan parti itu di mata rakyat.

"Sehingga kini, kita teruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebagai sistem dua parti yang lebih kukuh, lebih baik berbanding pakatan BN.

"Tiada sebab untuk Pas mengkaji semula tahaaluf siyaasi ini," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berhubung kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat, khususnya dengan PKR.

Resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia minggu lalu antara lain mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi antara Pas bersama sekutu mereka dalam pakatan pembangkang khususnya PKR disemak semula.

Resolusi itu turut menegaskan, semakan semula hendaklah dilaksanakan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan Jawatankuasa Pas Pusat melalui kuasa yang ada bagi menjaga maslahah serta membendung dan menghalang mafsadah syariah.

Mengulas sama ada Pas bersedia untuk mengkaji semula tahaaluf siyaasi kerana kononnya menjadi sebab kemerosotan undi terhadap Pas pada PRU13 yang lalu, beliau bagaimanapun menafikannya.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, jika kemerosotan undi dijadikan penanda aras kekuatan sesebuah parti, BN lebih mengalami kemerosotan undi pada pilihan raya umum lalu.

“Tahaaluf siyaasi bukan penyebabnya. Pas dapat meningkatkan undi di Selangor. Dari tiga exco kepada empat exco dan dari lapan kerusi kepada 15 kerusi.

"Begitu juga di Terengganu. Kita juga dapat tambah kerusi di Melaka, juga Johor,” katanya.

Tambah beliau, kalau nak tengok undi merosot, BN lagi merosot undinya di Terengganu, Selangor dan Johor.

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini