28 October 2013

Pemimpin berjiwa besar

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan hari ini mengumumkan menarik diri bertanding jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang disandang beliau sejak 2009.

Mengumumkannya kepada Harakahdaily sebentar tadi, Nasrudin berkata keputusan itu dibuat beliau bagi memberi laluan kepada kepimpinan baru untuk mengepalai dewan itu dengan lebih baik.Beliau bagaimanapun berkata, akan menerima untuk pencalonan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

"Secara rasminya saya mahu mengumumkan bahawa saya menarik diri dari bertanding mengekalkan jawatan Ketua Pemuda PAS Malaysia.

"Dewan pemuda tidak pernah ketandusan pemimpin berwibawa. Jadi terserah kepada perwakilan untuk membuat pilihan kepimpinan baru menerajui pemuda akan datang," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Bagi jawatan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Jawatankuasa Pemilihan Muktamar sebelum ini mengumumkan menerima enam pencalonan.

Selain Nasrudin, lima lagi pencalonan adalah Kamaruzzaman Mohammad, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-His, Dr Riduan Mohd Nor, Suhaizan Kaiat dan Zulhazmi Zakaria.

23 October 2013

RM370,000 utk Mazlan Aliman

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman hari ini diisytiharkan menang kes saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia oleh Mahkamah Tinggi Temerloh.

Peguam yang mewakili Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata, Hakim Datuk Akhtar Tahir turut mengarahkan Kerajaan Malaysia selaku defendan membayar ganti rugi akibat polis tersalah tahan sebanyak RM300,000, ganti rugi tauladan RM50,000, kos mahkamah RM20,000 dan faedah 8% dari tarikh saman. 

Pada 18 Ogos 2010, Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia. 

Saman bernilai RM20 juta itu berikutan tangkapan (berniat jahat) yang dibuat terhadap Mazlan di Felda Lembah Klau dua tahun lalu.

Namun pada perbicaraan 21 Jun 2011, Hakim Mahkamah Tinggi telah menggugur Felda daripada dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac 2010 kira-kira jam 3 petang, Mazlan ketika memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda. 

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun sebelum itu Pengurus Rancangan Felda Lembah Klau ketika itu Awang Sulong, telah membuat laporan polis dengan mendakwa kononnya Mazlan datang untuk membuat kacau atau menceroboh. 

Kemudian pada pukul 11 malam Mazlan ditahan, dimasukkan ke dalam lokap dan direman empat hari di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan (Criminal Trespass).   

Wan Rohimi berkata, hakim dalam penghujahan keputusannya berkata, plaintif (Mazlan) tidak bersalah kerana berdialog dengan kebenaran tuan rumah (Hamidun).

Hakim berkata sebagai warganegara, Mazlan bebas bergerak ke mana saja kerana itu hak asasinya. Jadi dalam kes ini polis tersalah tangkap dan salah tahan selama dua hari serta dilayan seperti penjenayah.

“Mazlan tidak berceramah di balai raya. Jadi tidak ada elemen kesalahan jenayah tetapi kenapa beliau ditahan, direman dan merengkok di lokap IPD Raub dahulu. Jadi atas asas inilah plaintif menyaman polis dan Kerajaan Malaysia.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan hari ini, sebelum inipun saya yakin Mazlan menjadi mangsa penganiayaan politik,” katanya.

Tambah Wan Rohimi, beliau berharap pihak kerajaan Malaysia tidak akan membuat rayuan dengan memberikan keadilan dan kebebasan kepada mahkamah tinggi.

Turut berada di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini ialah Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Pengerusi Bangkit Abdul Rahman Ramli, Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus serta kira-kira 30 penyokong di kalangan warga Felda. 

22 October 2013

Rakan Pakatan mahu pastikan PAS kekal di Sg Limau

JERAI: PKR dan DAP berikrar memberi komitmen sepenuhnya bagi membantu PAS untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Dun Sungai Limau pada pilihan raya kecil itu 4 November ini.Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata selaku rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, PKR akan turut sama berkempen dan berikrar untuk memenangkan calon PAS.

Kita dari PKR akan turut sama berkampung mulai hari ini sehingga hari pengundian nanti bagi usaha untuk berkempen bersama-sama PAS agar kerusi ini terus kekal di tangan parti itu.

"PKR yang akan diketuai Datuk Johari Abdul akan melaksanakan tugas mereka selari dengan apa yang dikehendaki oleh PAS dan kita turut meletakkan beberapa individu yang mempunyai kepakaran agar serangan kita terhadap Barisan Nasional (BN) berjalan dengan lancar," jelas beliau.

Katanya lagi, kemenangan PAS pada PRK kali sangat penting sebagai satu isyarat kepada kerajaan agar tidak terus membebani rakyat.Selain itu katanya, kemenangan ini juga sebagai satu 'amanah kedamaian' yang akan diteruskan setelah sekian lama diperjuangkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak," ucap beliau.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut sama hadir pada majlis tersebut menyatakan dengan tema 'kekal' yang akan digunakan PAS, sangat bertepatan.Jelasnya lagi, kemenangan pada 4 November nanti juga merupakan satu isyarat jelas untuk Pakatan Rakyat serta rakyat membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita yakin PAS dengan calon yang diumumkan ini akan terus berada di kerusi Dun Sungai Limau."Kemenangan kita merupakan satu isyarat yang amat jelas untuk kita membuat perubahan pada PRU14 nanti," ucapnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengundi agar tidak terpengaruh dengan fitnah yang akan digunakan oleh BN dalam kempen mereka nanti.Katanya, BN pasti akan menberitahu kepada rakyat tentang sikap perkauman DAP yang anti kepada Melayu serta mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.

Pengundi perlu berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan kempen fitnah BN terhadap rakan-rakan parti di dalam Pakatan Rakyat.

"Mereka pasti menuduh DAP anti Islam dan Melayu, malah akan mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.

"Saya sehingga sekarang mengesa mereka kemukakan bukti manakah yang kata DAP anti Islam atau Melayu tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa bukti ditunjukkan," ucapnya.

Beliau yakin dengan apa yang telah dibina oleh Ustaz Azizan sebelum ini, pengundi tidak terpengaruh dan bijak dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Calon PAS

Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.Pengumuman dibuat Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 10 malam ini di majlis pengumuman calon di sini.Ustaz Azam yang juga bekas guru bakal berdepan calon BN Ahmad Sohaimi Lazim.

Ustaz Azam ketika memberikan ucapan sulung malam ini berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.Beliau menegaskan, azamnya untuk meneruskan agenda bekas Menteri Besar Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Beliau juga berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.Ustaz Azam turut menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Razak kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi. 

21 October 2013

PAS keluar dari kebiasaan, berbincang soal muzik dan cetak rompak

PAS keluar dari kebiasaannya malam tadi apabila berbincang soal seni dan budaya sambil berdialog bagaimana mahu melawan budaya cetak rompak yang menzalimi industri muzik tempatan.
Dengan diketuai sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mereka berbincang bagaimana mahu meningkatkan industri ini di samping meletakkan industri muzik di jalan yang tepat.
Bersama mereka adalah para penyanyi, pelakun, pembuat filem, budayawan, karyawan termasuk kartunis dan penyair tanah air.
Antaranya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, tokoh sains dan matematik Profesor Shahrir Mohd Zin, budayawan Dinsman, penyanyi Mel dari kumpulan Wing, kartunis Zunar dan lain-lain nama besar lagi.
Turut serta adalah pelakon Abby Abadi dan suaminya serta penyanyi Wan Aisyah.
Antara pemimpin PAS yang menyertai dialog budaya ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib-naib Presiden Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar di samping dua exco kerajaan negeri Selangor.
Mel, Zua dari kumpulan XPDC dan juga Blank dari kumpulan rock Gamma telah membuat persembahan secara live di depan para pimpinan PAS termasuk Abdul Hadi.
"Budaya adalah fitrah manusia," kata Abdul Hadi yang menyokong aktiviti kebudayaan yang tidak bercanggah dengan Islam.
Namun, katanya, ada juga kebudayaan yang digunakan sebagai alat untuk merosakkan nama baik Islam.
"Misalnya filem Semerah Padi lakunan P Ramlee yang dibuat semasa zaman penjajahan dahulu. Ia sengaja memberikan nama tidak baik kepada hukum hudud," kata Abdul Hadi kesal kerana filem itu tidak memberikan gambaran yang betul tentang syariat Islam sehingga menakutkan orang terhadapnya.
"Mana ada mereka gunakan keperluan empat saksi untuk jatuhkan hukuman hudud?" kata beliau merujuk kepada filem yang memberikan gambaran salah tentang perundangan Islam itu.
Mohamad Sabu pula bercakap soal cetak rompak yang sangat tidak menghormati hak cipta dan karya seni negara.
"Ini semua berlaku kerana kita orang Melayu dan Islam hilang etika," kata Mohamad yang kesal dengannya.
Namun pembicara terbaik malam tadi adalah penyanyi Aishah yang memberikan gambaran jelas apa yang berlaku dalam industri muzik negara.
"Bayangkan tuan puan, negara kehilangan RM38 juta setahun kerana kegiatan ciplak, cetak rompak dan download lagu dan filem secara haram," kata Aishah kesal.
Beliau juga berkata, petugas industri tempatan juga selalu sahaja menghadapi kebanjiran pesaing mereka dari luar.
"Masa saya dahulu, Dangdut masuk. Sekarang K-Pop dari Korea Selatan pula yang mendapat tempat. Mana ada artis tempatan dapat bayaran sehingga RM1.6 juta," kata Aishah merujuk kepada laporan Audit Negara yang mendedahkan hal itu.
Bagi beliau, sebagai sebuah parti Islam, PAS perlu mengambil berat tentang industri hiburan ini kerana Malaysia negara ke-10 paling suka berhibur di seluruh dunia.
"Kalau kita tidak memberikan alternatif kita, orang lain akan ambil," kata Aishah yang terkenal dengan lagu Janji Manis Mu.
Beliau juga berkata, anak muda negara ini dipengaruhi oleh muzik dan berkata, "Kita tidak boleh berdakwah dalam masjid sahaja tetapi perlu keluar”.
"Kita perlu bagi hiburan jenis kita dan cara kita," kata Aishah yang bertanding sebagai calon PAS di Parlimen Jelebu dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.
Di kalangan budayawan pula, mereka sangat kesal dengan sikap susah berkira kerajaan negeri Pakatan Rakyat khasnya Selangor dalam memajukan seni budaya.
"Nak minta RM10,000 untuk anjurkan program pun susah dan akhirnya melopong saja," kata Dinsman dalam ucapan panjang lebarnya.
Beliau juga kesal kerana Sasterawan Negara Samad yang tidak di manafaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR).
"Apa salahnya Pak Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu oleh Unisel dengan memberikan kemudahan kepada beliau untuk berkarya di samping memanafaatkan beliau?" kata Dinsman.
Exco kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab dengan pendidikan, Dr Halimah Ali, ketika memberikan respon terhadap cadangan berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada kerajaan negeri Selangor.
Namun cita-cita besar Pengerusi Lajnah Seni dan Budaya PAS, Dr Muhaimin Sulam amat menarik perhatian hampir 100 yang hadir malam tadi.
"Saya bercita-cita mahu jadi budaya ini satu kuasa baru selepas ekonomi. Kita gabungkan budayawan dan kuasawan (ahli politik)," kata Muhaimin.
Namun begitu, dalam ucapan aluannya, beliau juga melahirkan kekesalan dengan sikap sesetengah pihak dalam PAS sendiri yang hanya menggunakan khidmat budayawan dan seniman ini secara bermusim sahaja.
"Saya ingin tegaskan, kami bukan askar upahan tetapi pejuang sepanjang zaman," kata Muhaimin disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Pendekatan pertemuan malam tadi memberikan nafas baru selepas kemasukan beramai-ramai golongan seni ini ke dalam PAS sebelum pilihan raya umum lalu.

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini