21 July 2011

Ku Li nasihat Najib timbang 8 tuntutan Bersih 2.0

Ku Li nasihat Najib timbang 8 tuntutan Bersih 2.0

Posted on 07:08 by jebat

Ku Li atau nama sebenarnya Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak terus bertindak dingin dengan protes rakyat pada 9 Julai lalu, sebaliknya bersedia untuk mempertimbang lapan tuntutan Bersih 2.0 demi memperbaiki sistem demokrasi negara. “Sebagai seorang demokrat yang melihat kepada keadaan ini dan UMNO sendiri juga menjanjikan supaya demokrasi dipertahankan dalam negara kita, wajar kita timbang semua tuntutan yang dibuat (oleh Bersih),” ujarnya semalam.

Veteran Umno itu turut menasihatkan Najib supaya tidak terus menggelarkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram kerana badan gabungan itu disertai oleh 62 badan bukan kerajaan yang sah berdaftar di bawah Pendaftar Petubuhan (ROS). Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata 8 tuntutan yang diperjuangkan oleh Bersih 2.0 adalah sesuatu yang tidak keterlaluan.

Justeru katanya, polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak wajar bertindakan keras ke atas mereka yang menyertai perhimpunan aman tersebut. "Tujuan (Bersih) supaya perjalanan pilihan raya dilakukan secara adil dan bersih, terbuka, supaya rakyat turun mengundi mana-mana calon pilihan mereka, dapat berbuat demikian tanpa ugutan, tanpa sebarang perasaan tak puas hati selepas itu. "Tuntutan yang dibuat oleh mereka ini...ialah supaya kempen pilihan raya dilanjutkan sedikit, bukan 7 hari. kalau 7-8 hari tak sempat orang-orang nak berkempen. "Saya boleh menerima pendapat ini. Misalnya kalau kita datang dari Kelantan nak tolong kempen di Sabah ataupun di pedalaman Sarawak, tak sempat nak balik, apatah lagi perjalanan sukar ke tempat-tempat yang dihajati untuk melawat.

"Jadi untuk berlaku adil supaya rakyat yang berada di kawasan seumpama itu mendengar penerangan daripada pihak yang menawar khidmat dalam pilihan raya berkesempatan mendengar penerangan penerangan mereka dengan memberi masa yang lebih lanjut. Kalau 7 hari tak sempat, macam mana nak kata adil?," ujar beliau. Dalam perkembangan yang sama, beliau yang juga bekas Menteri Kewangan merangkap bekas Naib Presiden Umno turut menyindir pentadbiran Najib supaya lebih peka pada peredaran masa dan perubahan teknologi. Beliau berkata tindakan kerajaan pusat yang diteraju oleh Barisan Nasional dan Umno menafikan hak parti pembangkang mendapat liputan media arus perdana akan hanya memakan diri pemerintah.

"Dulu zaman Tunku Abdul Rahman, samada pemerintah ataupun parti lawan, bergantung kepada jumlah kerusi yang kita bertanding dan jumlah undi yang diperolehi sebelum ini, kita diberi masa untuk bercakap. "Saya tak boleh cari sebab mengapa (pembangkang) tak boleh dibenarkan sekarang, sebab kalau tak dibenar pun mereka boleh guna internet, emel, facebook macam-macam. "Keadaan sudah berubah. Namun untuk nak berlaku adil kepada semua pihak, saya rasa elok diberi layanan yang sama kepada semua pihak yang menawar diri untuk bertanding dalam pilihan raya," tegas beliau.

penangdaily

1 comment:

  1. Kawe stuju bonar denge Pok Ku kite sore ni...X tau la pulok Pok Jib dan kuncu2nya setuju atek ko tidok...gano Pok Jib kite???

    ReplyDelete

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini