Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan hari ini menyaksikan ikrar seramai 700 anak muda bagi mempertahankan Islam dan kerajaan negeri.
Ramai di kalangan ibu bapa kelihatan terharu di atas semangat anak-anak muda yang begitu lantang berikrar mempertahankan Islam di pentas utama.
Bacaan ikrar diketuai Presiden Minda Evolusi Rempit Anak Muda Kelantan (Merak), Azaizuree Ahmad di hadapan pemimpin PAS dan lebih 20,000 peserta ijtimak yang memenuhi pantai Geting, Pengkalan Kubur.
Dun Pengkalan Kubur dikuasai Umno sejak pilihan raya umum 2004. Pada pilihan raya umum 1990 kawasan itu diwakili calon Hamim, gabungan Angkatan Perpaduan Rakyat.
Anak muda dari pelbagai tempat yang bernaung di bawah Merak datang dengan motosikal menggegarkan kawasan perkelahan.
Mereka berjanji berusaha bersungguh-sungguh sebagai seorang anak muda bersama mengembelingkan perjuangan mempertahankan Islam di Kelantan.
Azaizuree berkata, mereka akan sentiasa bersama-sama memperkasakan kepimpinan Islam dan jemaahnya yang diketuai Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Selain itu sentiasa bersama ahli-ahli jemaah membangunkan Islam di Kelantan. Wahai pimpinan dan ibu bapa bahawa kami semua adalah sebahagian kamu, sebahagian jemaah PAS.
“Kami sama-sama mahu mempertahankan agama suci Islam walau apa jua keadaan senang atau susah, bak kata pepatah membujur lalu melintang patah. Janji kami adalah benar, ikrar kami bukan palsu,” katanya diakhirnya dengan laugan takbir beramai-ramai.
Sebelum itu anggota Merak menerima sijil pelantikan team leader Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan yang disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Gimik perasmian ijtimak dilangsungkan apabila Menteri Besar dipakaikan jaket khas oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Selain itu turut diadakan sumbangan kameja T kepada peserta gusti lengan terbuka Johor pada 23 Julai ini.
Kejohanan itu akan diadakan di Plaza Ansana Johor Bahru. Peserta terbabit termasuk Rosli Ibrahim, Zawawi Ariffin, Mohd Ropi Ibrahim dan Khusairin Siban.
Penyampaian t-shirt disampaikan anggota parlimen Tumpat, Dato’ Kamaruddin Jaaffar. Peserta Merak mengibarkan bendera Kelantan, Jalur Gemilang dan Bulan Purnama di motosikal masing-masing.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri, Wan Nik Wan Yusoff berharap setiap jentera termasuk di peringkat cawangan hendaklah meneliti apa yang disampaikan pemimpin pada ijtimak tersebut.
“Ia adalah sebagai panduan bagi menyusun gerak kerja pilihan raya yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” ujarnya.
Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Mohd Amar Abdullah menyarankan setiap ahli dan pendokong PAS perlu membeli Harakah sebagai maklumat untuk dihadam oleh mereka.
“Jangan pula beli tetapi dijadikan tempat duduk sahaja. Hadir pada program ceramah sahaja tidak mampu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai tanpa ada mekanisme lain seperti maklumat yang ada dalam Harakah,” ujarnya. [Harakah]
No comments:
Post a Comment