Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendakwa kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam untuk membersihkan dirinya dalam soal pemberian kad pengenalan kepada warga asing, yang kini disiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), menggambarkan dirinya sebagai angkuh dan tidak bertanggungjawab.
Azmin berkata, kenyataan Dr. Mahathir mengheret Perdana Menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam "kekotoran ini adalah keji dan hina."
"Beliau cuba untuk mengaburi pandangan rakyat dengan menyamakan penipuan kad pengenalan yang dikendalikan dalam keadaan sembunyi semasa beliau memegang tampuk kuasa Perdana Menteri dengan pemberian kewarganegaraan di Semenanjung Malaysia semasa era Tunku," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, Dr Mahathir, yang pernah menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri, berterusan menghina akal rakyat dengan menganggap bahawa rakyat tidak berupaya untuk membezakan antara operasi gelap yang diselubungi rahsia, yang sememangnya satu jenayah dengan perkara yang berlaku dengan keputusan secara kolektif semasa pembentukan sejarah kemerdekaan.
"Maka, yang kedua itu bukanlah subjek siasatan sepertimana projek kad pengenalan tersebut."Oleh itu Dr. Mahathir harus hentikan sikap berdolak-dalik beliau yang mengalih tumpuan kita terhadap isu utama," katanya.
Azmin mendakwa "projek haram ini berlaku hanya dua minggu sebelum pilihan raya umum (negeri tahun) 1994."Katanya, Dr Mahathir harus berhenti berpura-pura yang beliau tidak mampu melihat kaitannya dengan konklusi yang jelas bahawa wujud skim kewarganegaraan untuk undi.
Sehubungan itu kata Azmin, pihaknya mahu Dr. Mahathir disiasat atas dakwaan mengkhianati rakyat dan negara dengan menjual kedaulatan dengan mengizinkan skim keji ini hanya untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional kekal di Sabah.
Petang semalam, Dr Mahathir mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah semasa pentadbirannya.Namun katanya, pemberian kerakyatan itu dilakukan mengikut undang-undang.
Menurutnya, apabila menjadi perdana menteri, beliau berkuasa dalam menentukan pelaksanaan dasar- dasar kerajaan.
"Malaysia menerima rakyat asing menjadi warganegara jika mereka memenuhi syarat- syarat tertentu dan ramai (rakyat asing) yang berada di Sabah melebihi 20 tahun dan bercakap dalam Bahasa Melayu.
“Mereka( rakyat asing) berhak menjadi rakyat dan yang menjadi masalah ialah ada orang tidak senang jika ada orang lain menjadi rakyat Malaysia walaupun mereka (rakyat asing) memang tinggal di Malaysia. Itu yang menimbulkan masalah,” katanya.
Beliau berkata, rakyat asing berhak mendapat kerakyatan sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.
"Saya bagi di zaman saya (menjadi perdana menteri) kerana mereka berulang alik dari selatan Filipina ke Sabah tidak menerima sempadan Sabah yang digariskan penjajah
"Di Sumatera dan Semenanjung, kita menerima rakyat asing ini sebagai rakyat di sini,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Tunku Abdul Rahman melakukan perkara lebih teruk dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing.
"Dia (Tunku Abdul Rahman) beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?
"Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang,” katanya.
Ketika ditemui wartawan lewat malam tadi selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, RCI bagi menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah merupakan manifestasi jelas membuktikan keikhlasan perikatan itu menyelesaikan masalah itu.
Najib yang juga pengerusi BN berkata, RCI perlu dilihat secara positif dan kredit harus diberikan kepada BN atas usaha tersebut."Kita tidak boleh melihat hasil berdasarkan seorang saksi. Terdapat seramai 167 saksi yang akan dipanggil.
Oleh itu, jangan kita membuat kesimpulan."Biarkan prosiding dijalankan," katanya.
Najib berkata memberi kerakyatan asalkan mengikut undang-undang bukan satu kesalahan, malah banyak negara lain juga memberikan kewarganegaraan.
"Jangan beritahu saya anda tidak tahu, anda tahu. Biarlah Suruhanjaya menjalankan kerja dan menyelesaikannya," katanya.
Ditanya sekiranya, RCI akan menjejaskan pilihan raya umum akan datang, Najib berkata: "Selagi rakyat tidak putar belitkan dengan cara yang salah,"
"Sila terima RCI sebagai usaha ikhlas untuk menyelesaikan masalah ini yang menjadi kebimbangan ramai rakyat Sabah. Kami telah memutuskan untuk menyelesaikan masalah ini.
"Permintaan terhadap RCI telah dibuat parti komponen BN di Sabah dan sebagai pengerusi BN, saya menghormati permintaan itu," tambah Perdana Menteri.Isnin lalu, RCI memulakan pendengaran awam pertamanya di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah sehingga hari ini.
Prosiding seterusnya akan diadakan pada 28 Jan hingga 1 Februari dan mulai 22 Februari hingga 27 Februari.
No comments:
Post a Comment