25 May 2013

Umno berada dijalan mati

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal menandakan Umno kini sudah berada di jalan mati.

Menurutnya, sambutan baik Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin terhadap cadangan itu membuktikan BN mengakui bahawa perjuangan berasaskan bangsa yang selama ini diperjuangkan oleh komponen parti itu sudah tidak relevan lagi di Malaysia.

"PAS sejak dahulu lagi sering menegaskan, perjuangan berasaskan bangsa tidak akan ke mana.

Akan sampai di satu jalan mati, Umno akan terpaksa berpatah balik semula ke belakang," kata bekas menteri besar Kelantan itu dalam satu kenyataan melalui laman facebooknya hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:Saya membaca kenyataan Timbalan Presiden UMNO hari ini yang dilaporkan menyambut baik cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal. Menurutnya cadangan ini adalah rasional dan perlu dikaji secara mendalam untuk kesinambungan sokongan rakyat pada masa depan.

Menurut laporan, kenyataan ini dikeluarkan oleh beliau sewaktu berada Phuket dalam satu lawatan kerja di sana.

Pada saya, ini menandakan bahawa UMNO sendiri mula sedar perjuangan berasaskan bangsa sudah tidak relevan lagi di Malaysia.

Sekalipun UMNO menang di kebanyakan kerusi yang ditandingi, tetapi kemerosotan Barisan Nasional di parlimen membuktikan bahawa UMNO hanya disokong oleh orang-orang Melayu yang berada di luar bandar.

Golongan inilah yang masih termakan umpan UMNO sehingga tertelan dengan mata kail.

PAS sejak dahulu lagi sering menegaskan, perjuangan berasaskan bangsa tidak akan ke mana.

Akan sampai di satu jalan mati, UMNO akan terpaksa berpatah balik semula ke belakang.

Di dalam syurga dan neraka kelak, penghuninya tidak ditentukan atas nama bangsa.

Rasulullah SAW di dalam bulan Rajab ini diisrakkan oleh Allah SWT ke langit dan baginda telah diperlihatkan syurga dan neraka.

Carilah di dalam hadis berkenaan kisah ini, tersuakah kita dengan kalimah bangsa sebagai faktor penghuni syurga atau neraka?

Sedikitpun tidak, tetapi UMNO berkokok membela Melayu bagaikan itulah segala-galanya bagi UMNO tanpa menyedari bahawa tempikan seperti itulah yang menjadi punca pemecah belah masyarakat.

Saya bukan anti Melayu, tetapi saya anti perjuangan hipokrit UMNO yang banyak menipu dalam segala hal. Dalam nampak bersungguh membela Melayu, Melayu Kelantan ditindas lebih dua dekad hanya kerana memilih PAS di dalam pilihanraya.

Royalti dinafikan, projek lebuhraya dicabut, peruntukan perumahan entah kemana dan banyak lagi senarai kezaliman UMNO kepada Melayu Kelantan. Sebab itu jika UMNO menjerit bela Melayu, pada saya itu maknanya UMNO sedang berbohong.

Jika dikatakan UMNO bela Islam, itu juga satu pembohongan. Betapa banyak karat jahiliyyah yang UMNO tinggalkan di Kelantan terpaksa dibersihkan oleh PAS apabila mengambil alih pentadbiran pada tahun 1990?

Adakah itu bukti UMNO bela Islam. Begitu juga dengan demokrasi, pun dinafikan oleh UMNO. Ketelusan di dalam pilihanraya, kebebasan bersuara dan akses kepada media yang sepatutnya menjadi inti utama kepada demokrasi pun tidak wujud di Malaysia.

Lantas, jika Melayu pun tidak dibela, Islam pun ditolak dan demokrasi pun dinafikan, apa lagi yang ada pada UMNO?

Cukup-cukuplah membohongi rakyat.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini