31 January 2013

TGHH di Kota Raja


Warga pendidik dijemput untuk menghadiri program siri Jelajah Kebangkitan Pendidik Kebangsaan yang akan berlangsung pada 3 Febuari ini.

Program sehari anjuran Lujnah Pendidikan PAS Pusat akan dilancarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermula jam 9.00 pagi di Dewan MBSA Bukit Naga, Seksyen 32 Shah Alam.

Bertemakan "Bangkit Pendidik Memimpin Perubahan" pihak penganjur turut mengadakan ceramah yang akan membariskan beberapa penceramah antaranya mantan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin, mantan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak Datuk Adnan Ibrahim, mantan Pengarah Pelajaran Negeri Johor Ramlan Sariman, Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Pusat Datuk Abu Bakar Chik  dan Presiden Ngo Pendidik Cikgu Normala Sudirman. 

Ceramah ini akan bermula jam 9.00 malam bertempat di Markaz PAS Bukit Naga Shah Alam. 

Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan pengarah program Muhammad Abdullah di talian 017 2866571 ataupun boleh dilayari melalui www.ustream.tv/channel/cikgumalatv.

29 January 2013

TGNA dan misi antara Agama

Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau gembira dengan kunjungannya ke Pulau Pinang dalam misi untuk bertemu pemimpin Kristian dan mewujudkan keharmonian agama di negeri itu.

"Alhamudlillah, dengan izin-Nya, misi mengharmonikan hubungan antara agama berjaya ketika berkunjung ke negeri Pulau Pinang.

"Amat gembira kerana sempat menerima kunjungan Father Sebastian Michael Biskop Roman Katholik bagi negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu," katanya dalam satu tulisan di Facebook.

Pertemuannya dengan pemimpim Kristian itu dilihat oleh pemerhati sebagai usaha untuk memperbaiki hubungan antara penganut Islam dan Krisitan di negeri itu, yang menjadi tumpuan ekoran kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Seorang aktivis politik, Anil Netto yang turut hadir ketika pertemuan Nik Aziz dan Michael berkata, menteri besar Kelantan itu turut menghadiahkan sebiji kek kepada pemimpin berkenaan sebagai "tanda persahabatan".

Netto berkata, Nik Aziz malah turut membatalkan satu temujanji lain untuk menemui Michael dalam perjumpaan di sebuah hotel itu.

Netto yang mengupas mengenai pertemuan berkenaan di blognya berkata, Nik Aziz antara lainnya menyatakan kekesalan kerana kontroversit itu tercetus berhubung isu keagamaan.

Beliau juga menulis bahawa Biskop berkenaan mempersetujui kenyataan Nik Aziz.

26 January 2013

Calun PAS dari DHPP guna lambang Bulan

PAS akan mencatat sejarah apabila buat pertama kali membenarkan calon bukan Islam bertanding di atas tiket PAS dan menggunakan lambang parti dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti. 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Majlis Syura telah membenarkan perkara tersebut dan PAS akan memilih calon yang sesuai untuk bertanding dari kalangan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Ini kali pertama dalam sejarah kita calonkan DHPP. Kerusi itu (yang mereka tandingi) memang kerusi PAS maka mereka akan bertanding atas lambang parti," katanya lagi. 

Beliau menyatakan pada sidang media selepas merasmikan program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Markas PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai semalam.

Beliau berkata, DHPP sebagai sayap parti PAS yang baru, mempunyai keahlian seramai 35,000 orang di kalangan bukan Melayu dan bukan Islam.

Dalam PRU12 pada 2008, PAS Johor meletakkan calon wanita bukan Islam, Kumutha Raman, pemegang ijazah undang-undang dari Britain, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tiram dalam kawasan Parlimen Johor Baharu.

24 January 2013

Bermula dengan tutup Bilik Gerakan. .. Sebelum Rakyat menutup Bilik-Bilik Pejabat di Putrajaya

Penutupan beberapa bilik gerakan Umno di Johor hanya kes terpencil, kata Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Sambil menyifatkan kes itu tidak serius dan hanya melibatkan masalah di kalangan segelintir individu tertentu, Ahmad tidak menolak kemungkinan kejadian itu berunsur cubaan memboikot dan sabotaj parti atau calon menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Memang ada bilik gerakan yang masih lagi ditutup sebab kita belum berkempen lagi. Kalau ada yang tutup, kita boleh buka di tempat lain dan kita ada banyak masa untuk buat perubahan.

"Tidak menjadi masalah kalau ada cubaan memboikot. Kita ada 35 hingga 40 bilik mengundi (di satu kawasan)," katanya ketika diminat mengulas laporan sebuah akhbar mengenai penutupan bilik gerakan Umno di Johor yang kononnyamemboikot kempen pilihan raya umum kerana kecewa dengan kerajaan negeri.

Beliau menegaskan tindakan tata tertib dan disiplin akan diambil jika didapati ada anggota Umno menjadi dalang sabotaj dan pemboikot kempen.

"Mereka boleh cari badan bukan kerajaan (NGO) lain. Kami serius dalam parti. Kami tiada masa melayan kerenah segelintir individu yang tidak baik dan sakit ini. Kami masih ada ramai lagi ahli yang setia pada parti," katanya.

23 January 2013

Rizab minyak didaratan : Pusat dan Petronas bakal melopong

Ura-ura mengatakan terdapat rizab minyak dalam jumlah besar di Kota Bharu dan beberapa lokasi berhampiran di Kelantan bakal terjawab apabila kerajaan negeri bersetuju untuk melantik sebuah syarikat yang akan mengkaji secara sah kewujudan hasil bumi itu.

Pengerusi Jawatankuasa, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, kelulusan berkenaan perkara itu dicapai pada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini dan proses pelantikan syarikat berkenaan akan dilakukan dalam waktu terdekat.

“Kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk melantik satu syarikat bagi mengkaji isu ini.“Bila ia disahkan satu hari nanti, bahawa kita mempunyai rizab minyak di darat, apakah Kerajaan Pusat bersetuju bahawa 100 peratus milik kerajaan negeri sebagaimana hujah digunakan sekarang, iaitu jika ditemui telaga minyak di daratan pusat tidak mempunyai hak,” katanya kepada media  selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Husam berkata, beliau akan berunding dengan syarikat yang berkemahiran dalam perkara itu bagi mempercepatkan proses penemuan minyak di daratan negeri ini, termasuk mengguna pakai setiap undang- undang yang ada bagi menghasilkan sendiri pengeluaran minyak tersebut.

“Kita mempunyai rizab daratan, sekiranya Petronas terus berdegil ia akan menjadi satu pertikaian baru dan Kelantan akan menggunakan semua instrumen yang ada untuk mengusahakan sendiri minyak di daratan ini tanpa mengambil kira kedudukan Petronas,” katanya.

Mengulas mengenai anggaran keluasan kawasan yang ditemui, Husam berkata, ia lebih besar dari rizab di lautan.

“Saya tak boleh buat sepekulasi. Yang pentingnya adalah, Kelantan pada asasnya mempunyai rizab minyak di daratan,” katanya.

21 January 2013

Gelagat Che Det merugikan Umno

Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari mempersoalkan cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya satu suruhanjaya diraja dibentuk untuk menyiasat pemberian kerakyatan kepada pendatang asing ketika pentadbiran perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman.

Katanya, parti BN dan Majlis Raja-Raja perlu meminta penjelasan Mahathir kerana cadangan tersebut  bermaksud bahawa golongan terbabit menerima kerakyatan itu dengan cara tidak sah.

"Lucu sekali, Mahathir, dalam cubaannya untuk menyelamatkan diri bagaimanapun menyusahkan Umno.

"Bila dia kata Tunku melakukan jenayah yang sama, dia sebenarnya menjejaskan konsep kontrak sosial yang antara lainnya termasuk penerimaan kedudukan istimewa orang Melayu untuk status kerakyatan orang Cina dan India.

“Umno, MCA dan MIC tidak harus berdiam diri. Mereka perlu nyatakan pendirian. Mahathir  secara tidak langsung menyatakan bahawa orang Cina dan India mendapat kerakyatan secara tidak bermoral dan tidak sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas profesor undang-undang itu juga menyebut, wujud perbezaan ketara di antara apa yang dilakukan Tunku dan Mahathir.

Maka, tiada keperluan untuk menubuhkan RCI seperti yang dicadangkan Mahathir kerana "berbanding Tunku, apa yang dilakukan Mahathir pada 1994 kelihatan seperti jenayah, dan lebih teruk, pengkhianatan kepada negara".

Jelasnya, Tunku hanya mengikut syor dalam laporan Suruhanjaya Reid, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam Bahagian III dalam perlembagaan persekutuan.

Liqa Fikri JPrK Kota Raja "Mencintai Rasulullah SAW"





18 January 2013

Che Det tidak wajar cemar nama baik TAR

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendakwa kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam untuk membersihkan dirinya dalam soal pemberian kad pengenalan kepada warga asing, yang kini disiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), menggambarkan dirinya sebagai angkuh dan tidak bertanggungjawab.

Azmin berkata, kenyataan Dr. Mahathir mengheret Perdana Menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam "kekotoran ini adalah keji dan hina."

"Beliau cuba untuk mengaburi pandangan rakyat dengan menyamakan penipuan kad pengenalan yang dikendalikan dalam keadaan sembunyi semasa beliau memegang tampuk kuasa Perdana Menteri dengan pemberian kewarganegaraan di Semenanjung Malaysia semasa era Tunku," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, Dr Mahathir, yang pernah menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri, berterusan menghina akal rakyat dengan menganggap bahawa rakyat tidak berupaya untuk membezakan antara operasi gelap yang diselubungi rahsia, yang sememangnya satu jenayah dengan perkara yang berlaku dengan keputusan secara kolektif semasa pembentukan sejarah kemerdekaan.

"Maka, yang kedua itu bukanlah subjek siasatan sepertimana projek kad pengenalan tersebut."Oleh itu Dr. Mahathir harus hentikan sikap berdolak-dalik beliau yang mengalih tumpuan kita terhadap isu utama," katanya.

Azmin mendakwa "projek haram ini berlaku hanya dua minggu sebelum pilihan raya umum (negeri tahun) 1994."Katanya, Dr Mahathir harus berhenti berpura-pura yang beliau tidak mampu melihat kaitannya dengan konklusi yang jelas bahawa wujud skim kewarganegaraan untuk undi.

Sehubungan itu kata Azmin, pihaknya mahu Dr. Mahathir disiasat atas dakwaan mengkhianati rakyat dan negara dengan menjual kedaulatan dengan mengizinkan skim keji ini hanya untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional kekal di Sabah.

Petang semalam, Dr Mahathir mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah semasa pentadbirannya.Namun katanya, pemberian kerakyatan itu dilakukan mengikut undang-undang.

Menurutnya, apabila menjadi perdana menteri, beliau berkuasa dalam menentukan pelaksanaan dasar- dasar kerajaan.

"Malaysia menerima rakyat asing menjadi warganegara jika mereka memenuhi syarat- syarat tertentu dan ramai (rakyat asing) yang berada di Sabah melebihi 20 tahun dan bercakap dalam Bahasa Melayu.

“Mereka( rakyat asing) berhak menjadi rakyat dan yang menjadi masalah ialah ada orang tidak senang jika ada orang lain menjadi rakyat Malaysia walaupun mereka (rakyat asing) memang tinggal di Malaysia. Itu yang menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat asing berhak mendapat kerakyatan sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

"Saya bagi di zaman saya (menjadi perdana menteri) kerana mereka berulang alik dari selatan Filipina ke Sabah tidak menerima sempadan Sabah yang digariskan penjajah

"Di Sumatera dan Semenanjung, kita menerima rakyat asing ini sebagai rakyat di sini,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Tunku Abdul Rahman melakukan perkara lebih teruk dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

"Dia (Tunku Abdul Rahman) beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?

"Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang,” katanya.

Ketika ditemui wartawan lewat malam tadi selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, RCI bagi menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah merupakan manifestasi jelas membuktikan keikhlasan perikatan itu menyelesaikan masalah itu.

Najib yang juga pengerusi BN berkata, RCI perlu dilihat secara positif dan kredit harus diberikan kepada BN atas usaha tersebut."Kita tidak boleh melihat hasil berdasarkan seorang saksi. Terdapat seramai 167 saksi yang akan dipanggil.

Oleh itu, jangan kita membuat kesimpulan."Biarkan prosiding dijalankan," katanya.

Najib berkata memberi kerakyatan asalkan mengikut undang-undang bukan satu  kesalahan, malah banyak negara lain juga memberikan kewarganegaraan.

"Jangan beritahu saya anda tidak tahu, anda tahu. Biarlah Suruhanjaya menjalankan kerja dan menyelesaikannya," katanya.

Ditanya sekiranya, RCI akan menjejaskan pilihan raya umum akan datang, Najib berkata: "Selagi rakyat tidak putar belitkan dengan cara yang salah,"

"Sila terima RCI sebagai usaha ikhlas untuk menyelesaikan masalah ini yang menjadi kebimbangan ramai rakyat Sabah. Kami telah memutuskan untuk menyelesaikan masalah ini.

"Permintaan terhadap RCI telah dibuat parti komponen BN di Sabah dan sebagai pengerusi BN, saya menghormati permintaan itu," tambah Perdana Menteri.Isnin lalu, RCI memulakan pendengaran awam pertamanya di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah sehingga hari ini.

Prosiding seterusnya akan diadakan pada 28 Jan hingga 1 Februari dan mulai 22 Februari hingga 27 Februari.

Umno sanggup menjaja isu "Kalimah Allah"

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang kenyataan atau pandangan berhubung  polemik kalimah Allah yang telah berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu.

Presidennya, Amidi Abdul Manan, berkata selaras dengan gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menggesa agar semua pihakmenghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan proses perundangan berkaitan masih di peringkat Mahkamah Rayuan selain menyambut baik pendirian Pas melalui kenyataan Setiausaha Agung parti itu Datuk Mustapha Ali yang menegaskan isu kalimah Allah tidak perlu dibangkitkan lagi.

Berdasarkan kepada perkembangan isu terbabit, Abim menilai ia terlalu dipengaruhi oleh kepentingan saingan politik bersifat kepartian serta boleh menjejaskan keseimbangan dalam tatacara keharmonian antara kaum di negara.

“Sekiranya isu  ini berlarutan, Abim khuatir ia akan mencemari sebarang pertimbangan ilmiah, akademik serta dakwah yang seharusnya menjadi asas rujukan dalam membicarakan isu ini,” katanya.

Tambahnya, janganlah kerana ingin mengejar populariti politik, kesucian serta nama baik Islam  dijadikan  modal meraih populariti siasah semata-mata.

Berpegang pada hakikat ini, Abim menggesa gencatan isu ‘kalimah ALLAH’ perlu dipatuhi dan dan dihormati menggesa agar sebarang kenyataan tidak dikeluarkan lagi buat masa ini.

17 January 2013

Pandangan peribadi " Profesor Kangkung"

Meskipun pembangkang menggambarkan bahawa Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung Sabtu lalu sebagai satu kejayaan besar, yang membawa petanda baik kepada mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pemerhati melihat ia dari sudut pandang berbeza.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, apa yang berlaku sebenarnya menzahirkan tsunami politik 2008 semakin menjauh.

"Dalam sastera Melayu ada bincang tentang riak-riak yang membawa gelombang. Jadi saya tengok dari segi itu, (memang ada) riak-riak kecil, mungkin ia tidak jadi gelombang tetapi riak sahaja.

"Jadi untuk pilihan raya akan datang, ia soal riak-riak, bukan soal tsunami," katanya pada sidang media Wacana Pra-PRU13: Siapa Jadi Pilihan, di sini, hari ini.

Menurut Shamsul Amri, meskipun terdapat beberapa siri #KL112 diadakan sebelum kemuncak himpunan itu pada 12 Januari lalu, ia nyata gagal mencapai angka yang disasarkan penganjur.

"Bila saya kira semula sehinggalah data yang diberikan pada hari Sabtu tempoh hari, tidak sampai sejuta.

"Jadi maknanya ada sokongan tetapi apakah sokongan itu boleh menjadi satu gelombang yang boleh merubah... ia kecil-kecil," ujar beliau.

Mengulas perhimpunan itu, Selasa lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa himpunan Sabtu lalu bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada seperti yang berlaku di sesetengah negara Arab.

Pengarah #KL112, Mohamad Sabu menegaskan, memang Pakatan Rakyat berniat mahu menggulingkan kerajaan namun katanya, ia bukan lah menerusi himpunan jalanan sebaliknya akan direalisasikan menggunakan laluan demokrasi.

16 January 2013

Mahkamah arah tangkap Perdana Menteri

Mahkamah Agung Pakistan telah mengarahkan penangkapan Raja Pervez Ashraf, Perdana Menteri Pakistan, berkaitan dengan kes rasuah, lapor pegawai kerajaan.

Mahkamah memerintahkan penangkapan Ashraf pagi Selasa lalu, dalam kes yang berkaitan dengan kontrak pembelian loji janakuasa oleh kerajaan persekutuan ketika Ashraf menjawat jawatan Menteri Air dan Tenaga.

Ashraf, dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Air dan Tenaga, "melanggar prinsip ketelusan, maka, penglibatan [beliau] dalam mendapat faedah kewangan yang sama dengan terlibat dalam rasuah tidak boleh ditolak", baca perintah mahkamah tersebut.

Mahkamah Agung mengarahkan penangkapan 16 orang, termasuk Ashraf, dan mengarahkan pihak berkuasa membawa beliau ke mahkamah Khamis ini, ujar Aamir Abbas, peguam Biro Akauntabiliti Negara (NAB).

"Ketua Hakim Negara mengarahkan bahawa semua pihak yang terlibat, tanpa mengira pangkat, yang telah diarahkan untuk ditangkap supaya ditahan dan jika mereka meninggalkan negara ini, maka pengerusi kepada NAB akan bertanggungjawab beserta dengan pasukan penyiasat beliau, "Abbas berkata.

Fawad Chaudhry, penasihat kepada PM, mengutuk perintah mahkamah tersebut dan menyifatkannya sebagai "tidak mematuhi perlembagaan". (aljazeera.com)

DAP tiada masaalah. .. Umno dan sekutunya yang "PROBLEM"

Isu berkenaan kalimah ALLAH tidak harus diperbesarkan sebaliknya perlu dibuat perbincangan bagi menyelesaikannya.Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Majlis Syura Ulama Pas bahawa kalimah ALLAH adalah universal dan sesiapa pun boleh menyebutnya.

Beliau berkata, setiap agama mempercayai bahawa wujudnya satu tuhan iaitu ALLAH cuma setiap agama berbeza perspektif dalam mempercayainya.

“Saya yakin kebanyakan agama di dunia meyakini tuhan itu satu tetapi konsep ketuhanan itu sedikit berbeza.

“Saya juga bersetuju bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah ALLAH untuk maksud yang lain,” kata beliau.

Koo Ham berkata demikian ketika mengulas Keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan bahawa perkataan ALLAH tidak boleh digunakan di dalam kitab mana-mana agama di negara Ini.

03 January 2013

HKR 12 Jan 2013 : ahli PAS Selangor wajib hadir

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Othman menyeru seluruh ahli dan kepimpinan PAS negeri turut serta dalam Himpunan 1 juta rakyat pada 12 Januari yang dirancang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.  

Beliau berkata, himpunan 1 juta rakyat itu merupakan kemuncak himpunan yang telah diadakan di seluruh negara bagi menuntut pilihan raya yang bersih dilaksanakan.

 "Saya mengarahkan semua ahli dan pimpinan PAS cawangan, kawasan dan negeri serta penyokong PAS dan Pakatan Rakyat mesti turun menyatakan kehendak untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih," katanya.

 Beliau menjamin ahli dan pimpinan PAS Selangor tidak akan melakukan sebarang provokasi sebaliknya hanya berkumpul secara aman di Stadium sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

"Ahli PAS dan seluruh rakyat Selangor mesti komited menuntut pilihan raya bersih dan adil untuk kita tawan Putrajaya nanti," katanya. 

Dalam masa yang sama beliau mengingatkan seluruh ahli dan pimpinan PAS supaya bekerja keras mendekati seluruh pengundi supaya memberi sokongan dan undi kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat. 

Pada Himpunan 1 juta rakyat hadiri digalakkan memakai kuning mewakili Bersih, merah untuk R yang menuntut royalti Petroleum Kelantan, hijau mewakili Anti Lynas manakala oren mewakili Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini