29 June 2012

Pendidikan menjadi keutamaan

Sumbangan RM 170 ribu kepada Sekolah Menengah Islam (SMI) dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Ibnu Khaldun dari Selangor memberi makna besar bagi pembangunan kedua-dua sekolah berteraskan Islam itu.
Pengerusinya, Hamdan Mokhtar berkata, pihaknya berbesar hati menerima bantuan pendidikan itu buat pertama kali dan dana tersebut boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sekolah itu.
Hamdan mensasarkan pertambahan pelajar di kedua-dua sekolah itu sebanyak 400 hingga 500 orang bagi menjadikan populasi keseluruah lebih kurang 1,500 pelajar.
“Dengan peruntukan ini kita akan merancang pembangunan dengan penuh teliti untuk memanfaatkannya demi kepentingan anak-anak kita yang belajar di kedua-dua sekolah ini.
“Kita merancang membina 48 bilik kelas tambahan, kantin, dewan makan dan surau.
Ia bersesuaian dengan usia sekolah yang sudah lebih 20 tahun,” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Selangor Kepada Sekolah-Sekolah DUN Sri Muda di SMI Ibnu Khaldun di sini hari ini.
Dalam majlis itu, SMI dan SRI Ibnu Khaldun masing-masing menerima sumbangan RM 100 ribu dan RM 70 ribu yang disampaikan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.
Shuhaimi turut menghulurkan sumbangan sama kepada 16 sekolah lain iaitu 14 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dengan jumlah keseluruhan RM 446 ribu.
Kesemua sekolah itu masing-masing menerima sumbangan dari RM 5 ribu hingga RM 100 ribu.
Shuhaimi berkata, bantuan itu adalah sebahagian dari dana RM 9 juta yang disediakan bagi pembangunan pendidikan di seluruh Selangor.
“Peruntukan RM 446 ribu disalurkan bagi 16 SAR dan dua SJKC bagi DUN Sri Muda bagi Fasa Pertama tahun ini.
Kita akan terus memberikan bantuan ini kepada semua sekolah yang lain dalam Fasa Kedua nanti yang dijangka akan bermula pada Julai depan.
“Kita berharap sekolah yang belum menerima bantuan ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkannya, ” katanya.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini