17 October 2013

Adakah "budak tingkat 4" perlu dibersihkan

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan calon-calon korup yang dimaksudkan beliau agar mereka itu tidak diangkat oleh para perwakilan dari membarisi kepimpinan parti Melayu itu pada Perhimpunan Agung Umno hujung minggu ini.

Ujar Mahfuz, penjelasan itu perlu untuk membolehkan ahli-ahli Umno membuat pembersihan pada Pemilihan Umno 19 Oktober ini untuk mengelakkan kepimpinan dimenangi calon yang tidak sewajarnya.

“Tun (Mahathir) sebut perlu ada pembersihan dalam Umno sebelum pemilihan kerana kata Tun, ramai orang yang masuk Umno ini mahu jadi kaya.

Apatah lagi dibimbangi mereka yang menjadi kaya tidak itu mengikut saluran betul dan akan menyebabkan berlakunya salahguna kuasa, rasuah dan sebagainya.

“Dibimbangi bahawa perasuah inilah yang jadi pimpinan Umno dan pimpinan negara. Jadi, saya nak minta satu penjelasan dari Tun, kerana ini kenyataan cukup serius dibuat Tun.

Bolehkah Tun senaraikan mereka yang dimaksudkan orang-orang Umno dan pemimpin Umno yang masuk Umno untuk jadi kaya?

“Daripada mereka ini siapakah yang tersenarai untuk bertanding sebagai calon dalam pemilihan Umno pada 19 Oktober ini yang dimaksudkan Tun?” gesanya pada sidang media di Kompleks PAS Kawasan Pokok Sena, di sini kelmarin.

Jelas Mahfuz, sangat penting untuk Tun Mahathir menyatakan pendiriannya yang jelas kerana Mantan Perdana Menteri itu sebelum ini pernah mengkritik hebat Khairy Jamaludin. 

Tetapi ujarnya, seolah-olah pandangan Tun terhadap Khairy sejak dari zaman Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri berkaitan ‘Isu Budak Tingkat Empat’ ketika itu langsung tidak dipedulikan. 

“Perwakilan Umno, Pemuda dan Wanitanya terus memilih orang seperti Khairy yang dilihat Tun tidak punya tahap integriti yang tinggi termasuk kepada Ketua Wanitanya.
Saya hendak minta penjelasan daripada Tun apakah dia telah lihat Wanita dan Pemuda yang dipilih beberapa hari lalu memenuhi ciri-ciri kepimpinan yang bersih?

 “Saya juga meminta Tun menyenaraikan kepimpinan Umno dan calon-calon Umno yang bertanding dan mereka itu dianggap oleh Tun perlu dibersihkan daripada Umno untuk ditolak pada pemilihan ini sebagai menunjukkan Umno tidak mahu pemimpin yang korup,” tegas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah. 

Perkara itu juga katanya, sangat bersesuaian dengan tema dibawa oleh anak Tun iaitu Dato’ Mukhriz Mahathir iaitu “Berani Berubah”. 

Jelasnya, Tun sebagai senior Umno yang tiada kepentingan harus berani menunjukkan satu sikap kepada perwakilan untuk menolak kepimpinan seperti dimaksudkannya pada Himpunan Agung Umno. 

“Ini sangat jelas dengan tema atau tujuan Dato’ Mukhriz yang menyatakan beliau bertanding kerana hendak menyelamatkan Umno pada Pilihan Raya Umum akan datang, tanpanya Umno tidak akan selamat. 

“Tun harus menjelaskan perkara ini untuk membolehkan perwakilan menetapkan hala tuju kerana sesiapa pun yang menang nanti inilah, yang akan diletakkan diperingkat tertinggi dalam negara kita.

Saya percaya bahawa rombakan Kabinet akan berlaku, mahu tidak mahu Umno akan kekal menjadi tulang belakang ini terus menerajui Kerajaan BN ini. 

“Sebab itu kita mahu kerajaan itu nanti kerajaan yang bersih, jadi sudah tentu Tun perlu membersihkan kepimpinan Umno pada pemilihan kali ini,” serunya. 

Terdahulu pada sidang media itu, Mahfuz turut menyinggung tempelakan Tun Mahathir ke atas kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak yang dilihat gagal mengurus kewangan negara sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara.

Ujarnya, Tun telah menggesa mereka itu meletak jawatan sekaligus memberi signal jelas kepada Perdana Menteri kerana  bertanggung jawab memilih dan melantik Menteri-menteri berkenaan.

“Bermakna bahawa, PM salah pilih menyebabkan memilih orang yang gagal mengurus dan menangani persoalan kewangan bawah kementerian masing-masing, ini kenyataan Tun kebelakangan ini,” ujar Mahfuz.

16 October 2013

Tidak wajar kata Muslim kafir kerana soal penggunaan kalimah Allah, kata Asri

Bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menolak pandangan mengatakan seseorang Muslim tersebut kafir kerana mempersoalkan pengharaman penggunaan kalimah Allah ke atas penganut agama lain.
Kenyataan Asri tersebut membidas bekas mufti Johor, Datuk Noh Gadut, yang juga penasihat Majlis Agama Islam, kerana memberi amaran kepada penganut Muslim yang mempersoalkan pengharaman kalimah Allah ke atas yang bukan Muslim.
"Walaupun kamu penyokong kuat kerajaan dan bersetuju dengan apa yang mereka lakukan, kamu tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan kebodohan kamu," kata Asri kepada The Malaysian Insider.
Asri kemudian menjelaskan isu kalimah Allah hanya menjadi pertikaian di Semenanjung Malaysia, sebaliknya kalimah suci tersebut tidak menjadi isu di negara-negara lain yang juga mengamalkan ajaran Islam.
"Di negara Arab yang penganutnya Muslim, tiada masalah seperti ini. Negara seperti Jordan dan Mesir, kalimah Allah telah digunakan oleh pihak gereja besar lebih 1,400 tahun dahulu lagi," katanya lagi.
"Jadi, adakah beliau (Noh) berkata semua cerdik pandai Muslim dan ulama seluruh dunia kecuali di Semenanjung Malaysia adalah kafir?"
Asri menganggap kenyataan sedemikian oleh Noh akan memberikan kesan yang besar kerana isu kalimah Allah tidak wujud di negara Islam lain.
"Beliau menuduh umat Islam seluruh negara sebagai murtad kerana membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah, ini sangat besar," dakwa Asri.
Noh dipetik berkata dalam Utusan Malaysia menyelar sesiapa yang mempersoalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai menderhaka dan keji.
"Jika Muslim mempersoalkan dengan menyedarinya, mereka boleh dianggap sebagai kafir atau menjadi murtad," kata Noh yang dipetik berkata dalam Utusan Malaysia.
Selain itu, Asri juga menerangkan selagi kalimah Allah digunakan untuk merujuk kepada "paling agung", ia tidak bukan satu masalah kepada pihak bukan Islam untuk menggunakannya.
"Jadi, ia sebenarnya bukan satu isu. Muslim percaya kepada satu tuhan. Maka bagaimana kita boleh mengatakan Tuhan kamu berbeza daripada saya," tambah beliau.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan semalam sebulat suara telah menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada Tuhan bagi agama Kristian.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campurtangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.
Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan.
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.
Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.
Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

15 October 2013

Dialog Antara Agama semakin Mundur


MP Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan Mahkamah Rayuan semalam berhubung kes melibatkan penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah Katolik The Herald menunjukkan dialog antara agama semakin mundur di negara ini.

Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini, anggota jawatankuasa PAS pusat itu menyalahkan kumpulan berhaluan kanan atas keadaan itu.

Katanya, beliau menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang mehe namun tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Katanya, banyak liputan dari media kerajaan mewakili pandangan dari kumpulan berhaluan kanan yang ekstrem.

“Ini adalah orang yang tidak dapat memahami keperluan hubungan antara agama. Mereka diberi perhatian seolah-olah mereka mewakili keseluruh masyarakat (Islam), yang tidak sepatutnya,” katanya.

Anak kepada bekas presiden PAS Yusof Rawa itu berkata, beliau telah meneliti penghakiman yang disampaikan oleh mahkamah semalam.

Katanya, beliau tidak setuju dengan alasan berhubung ancaman pengembangan agama ke atas orang Islam, seperti yang disebut dalam penghakiman tersebut.

Mujahid berkata, alasan tersebut seolah-olah menunjukkan Islam adalah agama yang lemah.

"Orang Islam harus melindungi agama lain untuk memastikan kebebasan beragama. Kita sepatutnya menunjukkan contoh bahawa tiada paksaan dalam Islam,” katanya.

Menurutnya, tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut mungkin dipengaruhi oleh kumpulan berhaluan kanan.

"Kita sepatutnya mampu melihat gambaran yang lebih besar. Keputusan ini bermakna kumpulan dari agama lain tidak boleh disatukan sekiranya kita terus bersikap sebegini,” katanya.

Tambahnya, keputusan semalam akan memberi kesan yang besar, terutama kepada golongan di Sabah dan Sarawak, yang menggunakan Bible dalam bahasa Indonesia atau bahasa Malaysia.

12 October 2013

TGNA cadang Selangor mula laksanakan syariat Islam

SHAH ALAM: Isu tahaluf siyasi menjadi bahan utama ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi ia senyap apabila Pakatan Rakyat dapat mengekalkan kemenangan di Selangor. 

Menurut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, begitu juga dengan isu perlaksanaan syariah Islam yang ditimbulkan akan selesai apabila Selangor memulakan langkah melaksanakan syariah Islam. 

"Selangor negeri orang cerdik pandai, ada pakar-pakar duduk di sini, banyak universiti di sini, buat perlaksanaan Islam ini, Insya Allah berjaya," katanya ketika menutup Seminar Syariah Islam, di sini, petang ini. 

Beliau turut menyentuh tentang kewajiban umat Islam perlu melaksanakan syariat Islam kerana ia menjadi `pasport' manusia untuk duduk di bumi ini. 

"Mana-mana orang yang tidak redha dengan hukuman Allah, boleh pergi ke bumi Amerika, bumi Jepun tetapi semua bumi itu milik Allah," tegasnya. 

Beliau menegaskan bahawa perlaksanaan syariat Islam itu wajib, mereka yang tidak melaksanakan hukum itu amat bertentangan dengan hukum Allah. 

"Susah nak jaga undang-undang ini sama juga nak jaga agama. Mana lebih baik jaga undang-undang buatan manusia dengan jaga syariat Allah," tegasnya. 

Perlaksanaan Islam tidak halang kerjasama PAS/PR

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perlaksanaan undang-undang Islam tidak menghalang kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat termasuk rakan bukan Islam kerana mereka tidak terlibat dengan undang-undang tersebut sebaliknya mereka harus melihat undang-undang itu dilaksanakan terlebih dahulu. 

Katanya, PAS menyatakan dasarnya secara terbuka manakala DAP turut menyatakan perjuangannya secara terbuka dengan berdialog maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa menghalang dalam perkara yang berbeza. 

Beliau turut menegaskan untuk melaksanakan undang-undang Islam kuasa politik  merupakan syarat utama untuk menggubal undang-undang dalam perlembagaan negara. 

Katanya, undang-undang merupakan salah satu rukun dalam negara mengikut kaedah politik dan undang undang sebuah negara tidak boleh diikhtiraf  kecuali mempunyai lima syarat. 

"Sebuah negara mesti mempunyai pemimpin iaitu kerajaan yang memerintah, negeri atau negara, rakyat, ada perlembagaan dan kedaulatan sebuah negara mesti bebas sepenuhnya," katanya dalam ucaptama `56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia', di Unisel, Shah Alam. 

Beliau menegaskan sebab itu negeri Kelantan, Terengganu ketika memerintah bahkan Selangor mempunyai bidang kuasa yang terhad untuk melaksanakan undang-undang Islam. 

Menurut beliau, penjajah telah meminggirkan undang-undang Islam setelah mereka gagal untuk memurtadkan penduduk supaya meninggalkan ajaran Islam kerana melaksanakan konsep sekularisma memisahkan agama dengan urusan dunia. 

Undang-undang Islam itu katanya telah dipinggirkan secara halus dengan cara mewujudkan Jabatan Agama Islam sedangkan Islam itu lebih besar dan tidak perlu berada di bawah satu jabatan.

 "Mengapa Islam ada pejabat seperti pejabat haiwan, pejabat hutan dan bermacam-macam pejabat lagi. Islam ditadbirkan bukan Islam dikongkong," tegasnya. 

Beliau berkata, undang-undang Islam bukan sekadar undang-undang keluarga, pusaka serta berkait dengan wakaf bahkan undang-undang keluarga tidak boleh diasingkan daripada undang-undang lain. 

Mengulas tentang Suruhanjaya Reid katanya, PAS bersama NGO Islam pernah menghantar memorandum mendesak supaya Islam diletakkan dalam pelembagaan kerana umat Islam merupakan majoriti besar selepas kemerdekaan. 

Katanya, tekanan itu menyebabkan Suruhanjaya Reid meletakkan Perlembagaan Fasa 3 Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama lain boleh diamalkan. 

Menurut beliau, selepas 56 tahun negara mencapai kemerdekaan pemikiran pimpinan negara masih jumud kerana mereka tidak mengikut ajaran Islam.

PAS mendesak supaya syariat Islam yang sempurna dilaksanakan secara umum malangnya ada kalangan yang menentang kerana menganggap syariat Islam lemah sehingga mereka menghentam undang-undang Islam, katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengimbas sejarah PAS menyertai kerajaan campuran pada tahun 1970-an yang tegas dengan pendirian sehingga menegaskan majlis tari menari bercampur lelaki dan perempuan. 

"PAS membantah minuman arak dihidangkan dalam jamuan negara menuntut laungan azan di radio dan TV di adakan," katanya. 

Begitu juga tambah beliau, iklan arak dan judi dihapuskan dalam media kerajaan dan PAS minta supaya ada hak untuk menyebarkan kefahaman Islam di Kementerian.

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini