18 October 2009

Kelab Penyokong Pas bantu mantap parti

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sokongan dari kalangan bukan Islam terhadap parti itu dilihat semakin meningkat dan ia dibuktikan dengan kesungguhan mereka dalam membantu jentera parti dalam menghadapi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

“Sayap kita banyak, (Kelab Penyokong) salah satu daripadanya dan ia bertujuan melakukan lonjakan setelah kita mencapai kejayaan, mereka bukan sahaja ingin menyokong malah mahu terlibat secara langsung dengan Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub bahawa Pas bersedia menerima Kelab Penyokong sebagai sayap parti memandangkan sokongan daripada pelbagai kaum terutama Cina dan India terhadap parti itu.

Katanya, sehingga kini keahlian Kelab Penyokong Pas melebihi 20,000 dan angka itu menunjukkan sokongan kuat golongan bukan Melayu terhadap Pas.

“Kita telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan kita dengan orang bukan Islam, kita bukan sahaja telah sampai satu tahap mengadakan kerjasama dengan parti bukan Islam, tetapi juga individu bukan Islam,” katanya.

Ditanya sama ada ahli kelab tersebut akan menjadi wakil Pas pada pilihan raya, Abdul Hadi yang ditemui selepas merasmikan Ijtima’ Kepimpinan Pas Terengganu di Markas Tarbiyah Pas, Kubang Lembek berkata, perkara itu akan dibincangkan.

Menurutnya, Pas tidak akan bersikap gopoh dalam menentukan perkara tersebut kerana pihaknya masih lagi berada dalam gabungan pakatan pembangkang bersama-sama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ianya akan dibincang dan kita tidak perlu gopoh dalam perkara ini kerana kita masih lagi bersama pakatan rakyat yang sudah mempunyai calon bukan Islam, ia perlu dilihat dari segi keperluan,” katanya.

Sementara itu di SHAH ALAM, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan kemasukan Kelab Penyokong Pas sebagai sayap baru parti.

“Kita faham mereka sudah menunggu lama untuk memastikan status mereka. Mesyuarat akan dilakukan pada masa yang telah ditetapkan dan harap mereka dapat bersabar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini