21 February 2010

Perginya seorang pejuang

21 Februari 2010, Jam 10.30 pagi saya dikejutkan dengan pengiriman SMS berita pemergian ke rahmatullah Ustaz Hj Hambari bin Hj Nor, aktivis PAS Bukit Naga. 

Seminggu sebelum itu, saya dan pimpinan PAS kawasan sempat melawat almarhum di Hospital UKM selepas almarhum selesai menjalani pembedahan.

Menurut Dr Nora, anak perempuan almarhum, bapanya itu mengadu sakit perut sebelum ini dan hasil pemeriksaan pihak hospital didapati almarhum mengidapi kanser usus. 

Pembedahan dikatakan berisiko tinggi atas faktor usia almarhum, namun doktor tidak ada pilihan lain terpaksa melakukan juga pembedahan yang memakan masa 8 jam.

Selepas pembedahan, almarhum dikatakan mula stabil dan telah dipindahkan ke wad biasa dari wad ICU. Namun Allah lebih menyayangi hambaNya ini dan menjemput almarhum lebih awal daripada yang dijangkakan.

Secara peribadi, saya mula mengenali ustaz Hambari secara dekat setelah tertubuhnya PAS cawangan Bukit Naga sekitar tahun 1997.

Beliau telah menginfakkan tanahnya untuk didirikan Markaz PAS dan seterusnya PASTI Syaidatina Aisyah pada tahun 1998. Bermula di sinilah PAS kawasan Kota Raja menyerlah dengan pelbagai aktiviti semasa seperti program-program pentarbiyahan, ceramah-ceramah politik dan aktiviti-aktiviti dalaman parti.

Ustaz haji Hambari adalah di antara insan-insan kerdil di kalangan kita dalam perjuangan Islam di negara tercinta ini. Namun cukup istimewa untuk diperkatakan buat renungan kita bersama lebih-lebih lagi kepada generasi muda yang masih kuat kuderatnya.

Ketika di usia emas inilah ustaz Hambari masih berjiwa muda, bertenaga dan semangat perjuangannya cukup kental dibandingkan dengan sebahagian daripada kita termasuk diri saya sendiri.

Sepanjang ingatan saya, apa juga program-program PAS yang dianjurkan di Kota Raja ini, pasti ustaz Hambari ada bersama. Dia bukan orang-orang besar PAS, namun penglibatannya cukup meruntun perasaan. Apa tidaknya, khidmatnya tidak perlu dikerah namun diberi sebelum diminta. 

Tahap kesukarelaannya cukup mudah ditumpahkan. Seperti juga sifat kedermawannya yang tinggi. Sebut saja program apa yang hendak dianjurkan. Pasti saja Ustaz Hambari akan menghulurkan bantuan kewangan. Bukan seringgit dua tapi mencecah ribuan. 

Tengok saja markas yang ada, sebahagiannya adalah jasa-jasanya yang perlu kita kenang. Seperti penganjuran makan malam PASTI dan Jabatan Amal Kota Raja. Kupon belum dicetak tapi 100 orang telahpun ditaja. Inilah keperibadian Ustaz Hambari. Baca sini.

Dia bukan orang kaya. hidupnya sederhana sahaja. Pagi hingga ke petang kerjanya berkebun menanam nenas dan jagung. Bersih persekitaran markas kerana keperihatinannya. Kadang kala sempat juga mengecat dinding markas yang comot dimakan lumut.

Cerita ketika pilihan raya tak kurang hebatnya. Pernah satu ketika saya baru balik dari bandar Klang menyusuri jalan ke Jalan Kebun. Jam sekitar 2.30 petang yang teriknya tak terhingga. Hari bekerja dan tiada petugas PAS.

Ustaz gigih di sepanjang jalan hadapan MARDI sedang memacak papan tanda calon seorang diri.

Sayunya saya melihat tingginya semangat orang tua ini. Di markas pula, atas usaha beliau telah tersedia longgokkan papan-papan lapis kecil yang siap dipaku pada tiang-tiangnya menunggu poster yang belum siap dicetak lagi. 

Belum lagi cerita ustaz menjahit puluhan bendera. Juga cerita apabila ada sekumpulan belia India datang ke markaz minta bendera PAS yang telah kehabisan, waktu itu juga ustaz Hambari menjahit bendera untuk diberikan kepada mereka.

Hikayat Ustaz Hambari dalam perjuangan Islam di Kota Raja tak akan berkesudahan. Saya pasti setiap orang yang mengenali Ustaz Hambari akan ada cerita tersendiri. Pokoknya setiap cerita itu sebenarnya mengajak kita berfikir dan merenungi diri sendiri.

Sejauh mana usaha kita dalam perjuangan ini benar-benar atas keikhlasan kita atau sebaliknya. Dan sejauh mana kita menggunakan kemampuan yang kita ada untuk manfaat perjuangan yang amat panjang ini. Atau kita sudah mula melupai segala janji-janji Allah kepada pembela-pembela agamaNya.

Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati almarhum ayahanda Ustaz Haji Hambari bin Haji Noor dan mengumpulkannya bersama  para mujahid Islam di sepanjang zaman. Amin....

- Azman Mohd Mah Husin
  Sekretariat Parlimen Kota Raja

Gambar 1. Ustaz Hambari selepas menjalani pembedahan di HUKM.
Gambar 2. Ratusan yang mengiringi jenazah
Gambar 3. Suasana sayu di perkuburan

4 comments:

  1. Tanpa diminta menitis air mata saya membaca tulisan ini, saya telah mengulang membacanya utk kesekian kali, masih tidak jemu, terlalu banyak memory bersama pejuang ini. tahniah man anda mengingatkan saya untuk terus berjuang bersama PAS sehingga akhir hayat sepertimana yg ust lakukan.

    ReplyDelete
  2. Saya mengalu-alukan setiap pemimpin dan ahli PAS KR yg mengenali Almarhum Ustaz untuk menghantar artikal berupa memory bersama Ust kepada email saya supaya kita dapat kongsikan bersama, banyak menafaatnya.

    ReplyDelete
  3. Telah hilang sebutir permata yg amat berharga, apakah ada pengganti sekurang-kurang seperti amalan almarhum. Semoga setiap detik kemenangan yg dilalui kini dan masadepan adalah dari sumbangan penat lelah almarhum Insyaallah SYURGA sebagai ganjarannya. Ambe...

    ReplyDelete
  4. Apalah ertinya setitis air mata ini dengan erti kehilangan sebutir permata yang begitu berharga....Allah menjanjikan perjuangan ini dengan seseorang yang ikhlas dan tulus hatinya...hanya mengharap redha Allah. teringat ketika Umar berkata, kalaulah semua orang kesyurga kecuali seorang, janganlah yang seorang itu aku... lalu mari kita semaikan jiwa pejuang....agar kita benar mewarisi kegigihan Allahyarham haji Hambari...

    ReplyDelete

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini