25 January 2012

Dakwaan CSL disangkal : tiada parti dominan dalam PR

Dalam Pakatan Rakyat tiada parti yang dominan, sebaliknya yang dominan adalah prinsip bersama pakatan itu sendiri iaitu keadilan dan ketelusan. 

Dakwaan yang mengatakan PAS atau PKR atau DAP yang akan menjadi parti yang dominan dalam Pakatan Rakyat jika pakatan itu mencapai kemenangan dalam PRU Ke-13 akan datang ternyata tidak berasas dan hanya putar belit. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Pakatan Rakyat ternyata berbeza dengan Barisan Nasional (BN) kerana dalam BN sememangnya terdapat salah satu parti yang dominan iaitu Umno. 

Menurutnya, manakala dalam Pakatan Rakyat tidak sedemikian, sebaliknya kesemua parti yang terdapat dalam gabungan itu mempunyai peranan masing-masing bagi merealisasikan prinsip tersebut. 

Katanya, perbezaan tersebut sememangnya telah begitu jelas dalam Pakatan Rakyat dan ia tidak mempunyai sebarang asas untuk diputarbelitkan oleh para pemimpin Umno BN.

"Sekiranya perkara itu ditimbulkan oleh para pemimpin Umno BN, ia ternyata sengaja diada-adakan untuk mengelirukan orang ramai kerana ia ternyata tidak berasas," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ketika membangkitkan isu undang-undang Islam di Malaysia berkata, masyarakat Cina kini mula kembali ke pangkuan BN kerana mereka sedar sokongan kepada DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa. 

“PAS akan memerintah. PAS menjadi parti dominan. PAS yang akan memberi arahan, PAS yang akan memerintah jika mereka (pembangkang) berkuasa," katanya seperti yang dilaporkan media hari ini.         

Beliau menegaskan, ia adalah fakta dan menafikan ia hanya strategi untuk meraih semula sokongan komuniti Cina pada pilihan raya umum akan datang.

“Ini adalah sesuatu yang komuniti Cina perlu sedar - pengundi DAP berikan kuasa kepada DAP, memperkuatkan DAP (dan) membuka jalan kepada PAS, yang akan berkuasa di peringkat pusat,” katanya.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, PKR tidak mampu bersaing dengan parti Islam itu dalam soal organisasi, disiplin parti dan yang lebih penting, kesetiaan ahli sambil menyifatkan parti itu lebih lemah dalam gabungan tiga parti tersebut. 

Menurut Mujahid, dakwaan Chua itu ternyata propaganda murahan MCA bagi menghalang masyarakat Cina menyokong DAP atau Pakatan Rakyat, tetapi ia sememangnya gagal untuk menyekat sokongan orang-orang Cina terhadap Pakatan Rakyat. 

"Sebaliknya, masyarakat Cina di negara ini sendiri sudah sekian lama faham perkara itu, malah mereka juga amat faham dengan perbezaan antara DAP dan MCA itu sendiri," tegasnya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, perbezaan antara DAP dan MCA adalah kerana DAP merupakan parti yang berprinsip, iaitu berjuang bagi keadilan dan ketelusan, dan itulah yang menyebabkan DAP boleh bergabung dalam Pakatan Rakyat yang juga berjuang atas prinsip yang sama. 

"MCA pula adalah parti yang tiada prinsip. Itulah sebabnya MCA hanya menurut sahaja segala arahan Umno yang menjadi parti dominan dalam BN. 

"Jika MCA ada prinsip dah lama parti itu keluar dari BN disebabkan dalam BN sememangnya terdapat parti yang menjadi parti dominan iaitu Umno, manakala parti-parti lain hanya terpaksa menurut sahaja kemahuan Umno walaupun terpaksa mengenepikan kepentingannya," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini