28 September 2012

Teguran/kritikan terbuka buat Ulamak Umno

Dr Asri menulis - Ada yang bertanya mengapa saya sering mengkritik aliran yang saya sifatkan literal yang dipegang oleh beberapa orang agamawan muda dalam Umno?

Saya kata bahawa saya tidak kisah untuk sesiapa menjadi ulama tua ataupun muda kepada mana-mana parti selagi berpegang kepada prinsip agama ini.

Umno dan PAS, semuanya sahabat saya. Prinsip agama itu lurus, fatwa agama tidak boleh berpihak. Hal ini terpakai untuk bukan sahaja untuk Umno, tetapi untuk PAS juga.

PAS pun dalam sejarahnya bukan tiada fatwa yang berbahaya termasuk yang boleh membawa kepada kafir mengkafir.

Hari ini nampaknya keadaan itu sudah berkurangan.

Sebenarnya, aliran literal itu sendiri jika kena pada tempatnya tidak salah. Mazhab Zahiri (literalisme) walau dikritik hebat, ia diiktiraf dalam fikah Islam.

Tokoh besar Zahiri iaitu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi dan kitabnya al-Muhalla menjadi rujukan fekah yang penting.

Literalis dalam Umno harukan proses keadilanSaya mengkritik golongan literalis dalam Umno kerana pemikiran yang dibawa itu boleh mengharukan proses keadilan yang wujud dalam negara ini keseluruhannya.

Hari ini mungkin sesetengah orang Umno seronok apabila terdapat beberapa orang agama yang boleh berhujah dengan nas-nas agama untuk membela Umno. Biasanya perkara ini dibuat oleh PAS.

Namun tanpa mereka sedar fatwa-fatwa aliran literalis tersebut jika diaplikasi dalam sistem politik negara ini, ia akan meruntuhkan keseimbangan, kemaslahatan dan keadilan politik yang menjadi tonggak kepada tujuan berpolitik.

Umpamanya, apabila mereka berfatwa haram mengkritik kepimpinan politik negara secara terbuka. Hanya yang dibenarkan berjumpa dan menasihati secara tertutup

Pengharaman ini jika diterima bererti sistem Parlimen yang membolehkan ahli-ahlinya Parlimen membahas dan mengkritik dasar dan perlaksanaan kerajaan secara terbuka kepada pengetahuan awam adalah haram.

Perhimpunan Agung Umno yang sering kali kita mendengar para perwakilan meluahkan perkara-perkara yang mereka tidak puas hati tentang kerajaan juga haram.

Golongan literalis ini mungkin berfikir bahawa hukum yang mereka keluar boleh digunakan untuk menentang pihak pembangkang, tetapi mereka lupa implikasinya meruntuhkan sistem negara dan parti itu sendiri.

Bahkan dalam sejarah Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan mantan perdana menteri dan presiden Umno sendiri apabila tidak puas hati dengan kepimpinan penggantinya Tun Abdullah Badawi, melakukan kritikan terbuka.Kebanyakan tokoh Umno yang ada, pernah melakukan hal yang sama apabila mereka berbeza ‘kem politik’.

Bahkan Umno dan ulama muda itu sendiri mengkritik terbuka kepimpinan kerajaan Kelantan, Selangor dan Kedah.

Malang sekali jika golongan ini hanya terfikir fatwa berkenaan terkena pembangkang sahaja, padahal ia juga terkena kepada ‘tubuh sendiri’.

Tentu mereka tidak akan kata “haram untuk kau, halal untuk aku”.

Saya tidak mahu kata golongan ini berniat memperalatkan agama. Saya rasa sebab hal ini terjadi kerana cara fikir yang literal dan tidak menghayati ilmu mukhtalaf al-hadith yang merupakan ilmu penting dalam memahami matan sesuatu hadis.

Ilmu tersebut membantu untuk menyelaraskan hadis-hadis yang pada zahirnya nampak bercanggah dengan teks al-Quran dan as-Sunnah.

Umpamanya apabila mereka membaca hadis:“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan.

Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka).

Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya.”(Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah, sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani).

Mereka mengambil hadis ini tanpa mempedulikan hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza.Ini seperti hadis: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun.”(Riwayat al-Tabarani, dinilai hasan).

Para sahabah bangun mengkritik al-Khulafa al-Rashidin dalam majlis-majlis mereka seperti Salman al-Farisi yang mempersoalkan Saidina ‘Umar al-Khattab semasa beliau berucap.

Sepatutnya perbezaan hadis-hadis ini diselaraskan dengan merujuk kepada kes yang berbeza. Isu dosa peribadi pemimpin hendaklah dibicarakan secara tertutup

Adapun yang membabitkan kepentingan awam maka rakyat yang terbabit boleh membahaskannya sekalipun terbuka

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini