14 December 2012

Jadikan pengundi atas pagar sebagai sasaran


Dengan tinggal sehari sahaja lagi Kongres Tahunan Ke-16 DAP akan berlangsung di Pulau Pinang, Lim Kit Siang hari ini menyeru agar rakan-rakan parti komponen pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR) supaya komited dalam menarik sokongan empat juta pengundi atas pagar supaya memilih mereka bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan di Putrajaya ketika Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
“Seandainya kita mahu berjaya melakukan perubahan kerajaan di Putrajaya, kerana kita mesti meyakinkan mereka (pengundi atas pagar) bahawa ketiga-tiga parti PR benar-benar komited untuk mengangkat prinsip-prinsip dan dasar-dasar yang menyatukan kita bersama seperti yang termaktub dalam Common Policy Framework dan Buku Jingga sambil meletak ke tepi sejarah perbezaan ideologi,” kata Ketua Parlimen DAP itu hari ini dalam satu kenyataan sempena kongres DAP.
Jelas ahli Parlimen Ipoh Timor itu lagi, PR telah sepakat untuk menyertai pilihan raya kali ini dan membentuk kerajaan di Putrajaya dengan 125 kerusi di Parlimen melalui pembahagian kerusi melalui kadar nisbah 45:40:40 antara PKR, PAS dan DAP.
“PR mempunyai jalan yang masih jauh dalam menuju objektifnya ... memandangkan ketiga-tiga parti komponen mesti memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi lagi berbanding dengan yang telah dimenangi pada tahun 2008 untuk mendapat majoriti 112 kerusi di Parlimen dalam PRU-13.
 “Namun untuk menjadi kerajaan persekutuan yang baik, PR tidak boleh setakat memiliki majoriti mudah dengan lebihan satu kerusi di Parlimen, bahkan mesti mencuba untuk memenangi lebih banyak kerusi majoriti dalam PRU-13.
 “Ini adalah tugas yang payah, malah amat berat, tetapi bukanlah mustahil,” katanya.
Beliau turut menyentuh berkenaan isu hubungan antara ketiga-tiga komponen parti PR yang menurutnya “adalah sama setaraf di mana kami menghormati perbezaan pendapat satu sama lain.”
“Inilah sebabnya pemimpin DAP telah menyatakan dengan jelas pendirian kami tentang kontroversi salun rambut di Kelantan kepada pimpinan PAS sejak dari mula, walaupun kami tidak mengumumkannya melalui media.
 “Peraturan pemisahan gender di Kelantan yang turut memberi kesan kepada orang bukan Islam adalah kes penting, di mana untuk isu yang serupa DAP dituduh tunduk kepada PAS manakala PAS pula dituduh berkompromi demi menyenangkan hati DAP.
“Tetapi ini tidak cukup untuk mendapatkan sokongan daripada empat juta pengundi atas pagar,” tambah pemimpin veteran DAP itu lagi.
 Beliau turut menegaskan, mana-mana komponen parti PR tidak pernah tunduk sesama mereka, sebaliknya mereka mengamalkan prinsip berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira sebarang perbezaan.
“Adalah bohong jika dikatakan pemimpin DAP takut kepada pemimpin PAS, seperti juga jika dikatakan pemimpin PAS takut kepada pemimpin DAP, dan jika dikatakan orang Melayu atau orang Cina akan tertindas di bawah pentadbiran kerajaan PR.
“PKR, PAS dan DAP amat komited untuk berkhidmat demi kebaikan semua rakyat Malaysia, tanpa peduli latar belakang kaum, agama ataupun kawasan,” tegasnya.
Kit Siang turut menegaskan, meskipun berlakunya sedikit perbezaan pendapat antara DAP dan PAS, atas semangat demokrasi, mereka mengetepikan perbezaan pendapat tersebut.
“DAP menyokong sebuah negara yang sekular ... PAS pula berada pada pendirian yang sama sekali berbeza tentang hudud.
“Namun kami bersetuju untuk berbeza pendapat demi kemaslahatan demokrasi.
“Asas DAP untuk bekerjasama dengan PAS bukanlah untuk negara Islam atau hudud, tetapi demi prinsip pendemokrasian, kemajmukan, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak wanita dan pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut mengakui, dua pertiga majoriti Parlimen untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah suatu perkara yang sukar apabila parti pemerintah itu hanya memerlukan tambahan lapan kerusi sahaja lagi berbanding 140 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum 2008.
“Biarlah Kongres Kebangsaan DAP ke-16 membunyikan semboyan siapsiaga untuk PR menjadi kerajaan di Putrajaya.
“Rahsia kepada kejayaan kempen ‘Seratus Hari Menuju Putrajaya’ oleh PR bergantung kepada kemampuan kita untuk memenangi undi empat juta pengundi atas pagar dengan menumpukan kepada isu-isu penting nasional, dan juga kemampuan PR,” tambahnya lagi.
Kongres ke-16 DAP yang bakal berlangsung esok adalah kongres terakhir parti politik di negara ini.
DAP juga adalah satu-satunya parti politik yang mengadakan pemilihan parti di ambang pilihan raya, sedangkan parti-parti politik lain telah menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini