http://www.mazidulakmal.com/ Jam 6 petang, hujan turun mencurah curah, tiada tempat berteduh kecuali di bawah pokok di tepi jalan. Saya berasa bimbang jika barangan elektronik, antaranya Samsung Galaxy Tap dan kamera digital terkena air. Mujur beg galas Crumpler saya tidak ditembusi air. Lihat gambar saya rakamkan di lokasi kejadian tanah runtuh menimpa bangunan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, Kajang, Selangor.
6.09 petang, mangsa mengalami kecederaan parah di kaki digegaskan ke hospital.
Pakaian basah dan tubuh menggigil kesejukan akibat berada di dalam hujan lebih 1 jam. Jam 6.45 ketika hujan mula reda, tiba-tiba puluhan pekerja penyelamat berlari turun dari belakang bangunan dibina di lereng bukit kerana berlaku pergerakan tanah. Lensa kamera saya berkabus namun 3 gambar berikut sempat saya rakamkan.
Sebelum gambar dirakamkan, 2 mangsa dikeluarkan dari bawah runtuhan, maut. Hairan bagaimana bangunan separuh siap itu mendapat kelulusan didirikan di cerun bukit. Lokasi rumah runtuh, di bahagian atas belakang bangunan terbabit dan tidak kelihatan di dalam gambar kerana pihak media tidak dibenarkan mendekati kawasan bencana.
Di surau berhampiran, 2 mayat ditemui awal, sempurna dikafankan. Tidak ramai orang berada di lokasi terbabit kerana majoriti menumpukan perhatian terhadap usaha menyelamatkan mangsa masih tertimbus.
Saya difahamkan, seorang daripada mangsa, Mohd Zaim Azahari, berusia 14 tahun. Adiknya, Mohd Azed, 8 tahun dilaporkan turut terkorban. Saya sempat menemui bapa dan ibu mangsa, Azahari Mat Selek dan Noreha Ariffin di surau terbabit sebelum mayat dihantar ke Hospital Kajang.
Azahari, warden manakala Noreha, tukang masak di asrama Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa terbabit.
Saya percayai kanak-kanak bertudung merah di bawah, adik Mohd Zaim, terselamat ketika bangunan runtuh. Saya terpandang air mata jernih masih mengalir di pipinya sewaktuanak kecil itu melangkah keluar dari surau. Biarpun berusia mentah, saya yakin dia faham, abang dan adiknya kini sudah tiada lagi di dunia ini.
Beberapa pemimpin negara dan negeri Selangor berada di lokasi termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wartawan 999, Hazlin Hussain tiba di lokasi, membawa bersama 2 tuala untuk saya dan jurukamera.
"Tadi ternampak kereta abang, bling! bling! Hazard light terpasang. Lyn jalan kaki 50 minit sebab kena parking jauh," ujarnya.
Spontan saya teringat, sewaktu memandu menuju ke lokasi kejadian, saya memberikan lalauan kepada kenderaan Bomba dan Penyelamat berikut.
Bertujuan mengelakkan kesesakan jalan raya, saya memasang hazard light dan kemudian mengikuti rapat kenderaan terbabit sebelum memakir kereta di tepi jalan. Jalan masuk ke lokasi kejadian ditutup pihak berkuasa untuk mengawal lalu lintas, berikutan itu saya berjalan kaki kira-kira 25 minit ke tempat bencana berlaku
Saya tidak sempat makan tengah hari, mujur anggota Bomba dan Penyelamat bermurah hati menghulurkan kami 2 bungkusan nasi berlauk ayam.
2 bungkus nasi dikongsi bertiga manakala tuala digunakan untuk mengelap dan mengeringkan badan basah kuyup.
Saya beredar dari lokasi kejadian pada jam 12.30 malam dan kemudian mendapati enjin kereta gagal dihidupkan.
Lebih 7 jam hazard light terpasang, bateri habis. Mujur saya bertemu anggota Malaysian Armateur Radio Emergency Service, MARES berkebetulan berada di lokasi sama.
Menggunakan jumper cable, enjin kereta saya berjaya dihidupkan. Terima kasih kepada Azman Zainal Abidin (berjaket hijau) dan semua rakan MARES sudi membantu.
Dilaporkan pada jam 5 pagi tadi, 17 mayat remaja lelaki berjaya dikeluarkan dan sebilangan jenazah di hantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Takziah kepada semua keluarga mangsa berhadapan kesedihan tidak diduga.
Saya percaya siasatan terperinci dan telus berhubung punca sebenar menyebabkan kejadian tanah runtuh akan dilakukan pihak berwajib. Mahu atau tidak, pasti ada pihak bakal terpaksa menjawab mengenai status kelulusan membenarkan bangunan dibina dicerun bukit.
No comments:
Post a Comment