Penalis Hebat
Saya menerima undangan untuk menjadi panelis dalam Debatkini sejak sebulan yang lalu. Saya agak teruja tetapi pada waktu yang sama berdebar kerana terpaksa berhadapan dengan Abdul Rahman Dahlan (gambar kiri) dari UMNO dan Gan Peng Siew dari MCA. Rahman Dahlan hebat berdebat di Parlimen dalam banyak isu dan agak "nakal" ketika mematahkan hujah di Parlimen dengan pendekatan sinisnya. Gan Peng Siew sebagai salah seorang Naib Presiden MCA juga dilihat sebagai tokoh muda MCA dan saya diberi penghormatan untuk berdebat dengannya secara maya dalam I Pidato tempoh hari. Debat itu berlarutan dua minggu tentang isu-isu masa depan negara. Saya berseloroh dengannya ketika bertemu dalam forum tersebut, "Hari ini kita bertemu mata bertentangan mata". Seorang lagi panelis ialah Sivarasa Rasiah yang sememangnya saya kenal sejak beliau terlibat dalam alam politik 10 tahun yang lalu.
Teruja dan Bimbang
Malaysiakini harus diberi pujian kerana membudayakan perdebatan dalam suasana terbuka kerana memberi peluang kepada yang hadir untuk membuat penilaian hujah kedua belah pihak secara objektif. Tajuk yang dipaparkan untuk didebatkan ialah "Adakah DemokrasiMalaysia ke Arah Lebih Baik" (terjemahan). Ia sememangnya tajuk yang besar dan kami hanya diberi 10 minit untuk memulakan hujah dan kemudian lima minit untuk menjawab soalan-soalan sebelum diberi peluang untuk menutup hujah dalam masa lima minit juga. Jadi seorang bercakap hanya dalam masa 20 minit. Saya terpaksa "kedekut" dengan hujah dan terpaksa menjimatkannya ke arah penghujahan ringkas tepat dan padat. Bukan mudah berbuat demikian dalam topik sebesar ini, apatah lagi hadirin datang dengan satu harapan untuk mendengar sesi yang bertenaga dan hidup. Saya harus akur antara keterujaan dan kebimbangan, saya menikmati suasana kebebasan berhujah dan berdebat berhadapan dengan UMNO dan MCA. Peluang ini tidak akan saya nikmati tanpa usaha Malaysiakini pada 19 Jun baru-baru ini di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.
Memulakan Hujah
Saya berjanji pada diri untuk menjadi panelis yang berbicara secara objektif tanpa mengheret diri dalam kitaran salah siapa? Saya mahu hadirin berfikir dan membuat penilian secara objektif tentang persoalan demokrasi di Malaysia. Saya terpaksa menurunkan komponen-komponen yang boleh diukur menjadi sebab mundur atau majunya demokrasi di Malaysia. Saya memilih lima komponen yang dibuat kajian untuk mendapat penemuan Indeks Demokrasi di seluruh dunia. Komponen tersebut ialah, Proses Pilihanraya, Pluralisma Politik, Hak Sivil, Fungsi Kerajaan dan Partisipasi Politik. Sahabat saya Sivarasa tertumpu kepada proses pilihanraya dan menghujahkan bahawa aspek ini skor pemerintah hari ini berada pada tahap yang rendah. Saya menumpukan persoalan fungsi kerajaan yang saya kaitkan dengan isu Federalisma kerana pencerobohan ketara pemerintahan pusat kepada negeri-negeri dikuasai PR telah mengheret kerajaan BN kepada tidak menghormati keputusan rakyat. Penubuhan JKKKP menunjukkan kerajaan pusat BN tidak menghormati kuasa negeri yang diberikan kuasa untuk membentuk JKKK. Selain itu percanggahan tugas masing-masing menjadikan rakyat di akar umbi sebagai mangsa politik pencerobohan ini. Royalti Minyak di Terengganu dan Kelantan adalah contoh pencerobohan ini sedangkan hak royalti adalah termaktub dalam perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri disaksikan oleh Kerajaan Pusat. Bagaimana kita mahu berbicara tentang demokrasi jikalau hak perjanjian pun gagal kita penuhi? Hujah awal ini amat sukar ditolak oleh sahabat panelis UMNO dan MCA dan ia telah membuka ruang suasana awal perdebatan di mana mereka berada dalam keadaan defensive
Negara Teokratik
MCA dalam penghujahan awalnya telah membuka ruang perdebatan dengan mengaitkan usaha PAS menubuhkan sebuah negara teokratik yang katanya adalah cita-cita PAS sejak dulu hingga kini. Teokratik yang dimaksudkan ialah Islamic State. Sebahagian besar ucapannya didedikasikan kepada saya untuk dibuat penjelasan kepada orang ramai. Saya faham mengapa MCA beria-ia benar membawa ide teokratik ini. Bagi MCA inilah hujah terbaik yang mereka ada untuk menyisihkan PAS dari sokongan masyarakat Cina dan golongan Liberal. Saya menjawab bahawa PAS komited dengan proses secara demokratik dalam usahanya untuk berpolitik. Lagipun PAS bergerak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan tidak sekali-kali membelakangkan lunas demokrasi baik sebagai pemerintah negeri mahupun sebagai pembangkang di Federal. Bagaimana teokratik dikaitkan dengan PAS sedangkan cara berpolitiknya ialah dengan menggunakan cara demokrasi. Teokratik dan Demokrasi adalah dua alam yang berbeza, malangnya MCA kurang mengerti perbezaan kedua-duanya.
Hudud?
Saya juga diminta menjelaskan usaha PAS untuk melakukan hudud. Saya menjawab bahawa hudud bukan isu politik, ia mempunyai jangkauan pemahaman dalam konteks syariah yang bukan hanya melihat persoalan hukuman dan denda tetapi membentuk sebuah masyarakat yang berbudayakan tingkahlaku dan akhlaq yang baik. Ia melibatkan tanggungjawab kerajaan untuk memelihara kemaslahatan manusia dari sudut ekonomi, sosial dan fizikal. Walaupun demikian apa sahaja yang diperkatakan tentang hudud "ala PAS" tiada siapa yang memungkiri ianya dilakukan secara demokratik melalui institusi Perundangan Negeri (DUN) dan tidak berlaku melalui pintu belakang. Saya bertanya kembali kepada Senator Gan (gambar kiri), "Adakah anda memahami apa itu hudud yang sebenanya? Ataukah MCA menggunakan isu hudud untuk kepentingan politik mereka?"
Penyerahan Kuasa dan Demokrasi
Satu soalan nakal yang ditujukan kepada UMNO ialah apakah UMNO akan menyerahkan kuasa secara aman jika PR menang dalam PRU nanti? Rahman Dahlan menjawab, pastinya UMNO akan berbuat demikian kerana menghormati pilihan rakyat. Namun jawapannya disambut dengan suara sinis oleh orang ramai seolah-olah tidak berapa yakin dengan jawapannya setelah menyaksikan apa yang berlaku di Perak dan di negeri-negeri lain di mana UMNO terus menerus "menyerang" dengan media yang sarat dengan sikap berpihak ke atas negeri negeri PR. Hujahan UMNO juga melambangkan mentaliti feudalisma yang mengisyaratkan bahawa setiap sesuatu itu ditentukan oleh tuan-tuan politik (political masters). Dia menamakan proses pendemokrasian ala BN itu berlaku secara evolusi dan rakyat harus terima proses ini kerana katanya masyarakat ramai belum bersedia.
Sivarasa Rasiah menamakan proses ini sebagai "babies step" atau langkah bayi kerana terlalu lambat. Saya menolak hujah masyarakat belum bersedia dengan mengatakan bahawa hakikatnya proses pendemokrasian di Malaysia lambat kerana kerajaan bimbang kuasanya akan hilang dan itulah ciri-ciri lembabnya pendemokrasian hampir di seluruh negara-negara Asia Tenggara. Soalnya ialah bukan untuk kekal berkuasa tetapi soalnya ialah apakah peranan kuasa untuk memastikan pendemokrasian berjalan dengan lancar dan berkesan?
Debat sememangnya mengundang tekanan tetapi mengawal keadaan adalah ciri perdebatan yang sihat. Saya berpeluang untuk merasakan aura hadirin melalui respons mereka terhadap hujah yang diberi. Sekali lagi BN berada pada garis defensif dan terpaksa bersikap konservatif dalam mempertahankan apa yang ada, manakala kami dari PR lebih selesa untuk keluar dari kepompong konservatif kerana agenda kami bertandakan Reformis. Kebanyakan yang hadir berkongsi garisan reformis ini lalu hujahan PR lebih dekat di hati mereka dari UMNO dan MCA. Sepanjang debat Rahman sering mengulangi seolah dia bersendirian kerana tidak mendapat sokongan para hadirin dalam hujahannya, begitu juga MCA.
Saya tidak merasakan bahawa Malaysiakini adalah platform pembangkang, begitu juga saya tidak merasakan bahawa yang hadir semua bersetuju dengan hujah kami. Bagi sesetengah, sikap PAS tentang sesuatu isu khusus mungkin belum terjawab tetapi saya lebih senang memfokuskan tujuan utama debat ini, iaitu persoalan demokrasi dan masa depannya.
Saya juga tidak bertujuan untuk mengatakan bahawa semua parti PR maksum dari kelemahan dan kekurangan. Agenda reform juga perlu berlaku dalam semua parti untuk menyambut kedatangan lanskap politik baru. Berusaha untuk menawarkan polisi yang lebih baik dari PR untuk rakyat adalah keutamaan sebagaimana keperluan untuk menjadikan parti masing-masing layak menyambut perubahan itu juga tidak kurang pentingnya. Malam itu sungguh panas walaupun biliknya berhawa dingin, apa pun tahniah Malaysiakini, teruskan usaha anda dalam membentuk budaya politik yang lebih berhemah dan bertamadun.
Mr Oon ada attd debat ini, komennya bagus & teratur, bukan mcm pasar mlm (mgkn mrujuk kpd debat bsma KJ tempohari). Mta smua menajamkn kfahaman politik serta mnambahkan ilmu.
ReplyDelete