25 June 2012

Senjata PAS lawan Umno

PAS Pulau Pinang malam tadi melancarkan buku bertajuk "50 sebab kenapa Umno wajib ditolak" sebagai 'senjata' terbaru membalas kritikan Umno-Barisan Nasional (BN) terhadap parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Buku yang diterbitkan Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang itu memaparkan pelbagai kesalahan dan penyelewengan yang kononnya dilakukan oleh Umno-BN sepanjang pentabdir negara.

Buku tersebut dilancarkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Saleh Man semasa program Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Pulau Pinang di padang Haji Ahmad Badawi di sini malam tadi.

Buku setebal 26 muka surat itu menjelaskan tentang beberapa perkara penting termasuk 'Umno Suka Buat Fitnah', 'Umno Gagal Membela Nasib Melayu', 'Jenayah Umno Terhadap Islam', 'Siapa Kata Umno Pejuang Melayu?', 'Jenayah Umno terhadap Orang Melayu' dan 'Umno Sinonim Dengan Rasuah dan Penyelewengan'.

Pra-kata buku tersebut mengatakan penerbitan buku itu dalam usaha memberikan maklumat kepada seluruh rakyat khususnya di Pulau Pinang untuk menolak Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Hakikatnya bukan hanya 50 sahaja sebab untuk menolak Umno-BN, bahkan ribuan lagi sebab dan alasan boleh disenaraikan.

"Namun sebagai maklumat awal dan membantu asas pertimbangan apabila melakukan pilihan kelak, 50 sebab ini sudah lebih daripada cukup untuk teraju Putrajaya ditukarkan kepada pemerintahan yang lebih adil, cekap dan efisien.

"Percayalah negara tidak akan hancur hanya kerana kekalahan Umno. Tetapi negara boleh bankrup kalau Umno terus memberikan mandat," kata buku tersebut.

Antara pemimpin tertinggi PAS yang hadir sama dalam program itu adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mazlan Aliman, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) Hu Pang Chaw dan barisan kepimpinan PAS yang lain.

Kira-kira 5,000 penyokong kuat parti hadir bagi menjayakan program itu.

Program tersebut diadakan sebagai langkah persediaan untuk  meningkatkan daya juang jentera PAS di negeri ini bagi memperoleh lebih banyak kerusi pada PRU13.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini