08 November 2009

AJK Masjid Ar-Rahimiah serah lapuran kepada JAIS

Jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Rahimiah telah menghantar satu laporan penuh berhubung tindakan mereka membawa seorang anggota exco Selangor bukan Islam ke majlis di dalam masjid berkenaan, Ogos lalu.

Nazir masjid Nasruddin Tanawi berkata, laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu menyatakan, antara lain, sebab-sebab Dr Xavier Jayakumar, yang juga ADUN Seri Andalas, ke majlis berbuka puasa itu.

Nasruddin menjelaskan, laporan ini susulan mesyuarat jawatankuasa masjid malam tadi berhubung isu tersebut, yang bermula daripada bantahan Pemuda Umno bahagian tersebut.

Susulan bantahan pergerakan itu, Jais dilaporkan akan mengambil tindakan terhadap jawatankuasa masjid kerana menganggap kehadiran seseorang yang bukan Islam di dalam masjid suatu yang dilarang, seperti wanita Islam yang sedang haid.

Nasruddin memberitahu, pihaknya akan menanti keputusan Jais sama ada akan mengambil tindakan seperti yang dilaporkan di akhbar semalam.

"Hendak kata Jais akan ambil tindakan pun tidak juga, apa yang berlaku sekarang kena tengok kalau ada apa-apa keputusan daripada Jais. Saya tidak boleh komen lebih lanjut sehingga Jais buat keputusan nanti," katanya ketika dihubungi.

Beliau, yang dilantik nazir sejak Jun lalu, turut menjelaskan bahawa Dr Xavier diundang kerana beliau wakil rakyat kawasan tersebut.

"Kehadiran mereka ini disebabkan dia selaku wakil rakyat Seri Andalas dan dia bagi ucapan alu-aluan selam dua atau tiga minit sahaja," katanya.

Nasruddin menafikan laporan Utusan Malaysia semalam yang menyatakan Dr Xavier diberi ruang untuk berceramah di dalam masjid.

"Bukan ceramah, tapi (laporan media) yang saya tengok menyatakan dia berceramah. Dia tidak berceramah, cuma bagi kata-kata aluan di majlis tersebut," katanya.

Beliau mengakui tidak bertindak lebih awal untuk menghalang kehadiran Dr Xavier kerana lewat menerima maklumat berkenaan undangan pemimpin PKR itu ke majlis berkenaan, yang dihadiri kira-kira 300 orang jemaah.

Keadaan ini menyebabkan beliau serba salah dan tidak dapat berbuat apa-apa selain membenarkan Dr Xavier menyertai majlis berkenaan, tambahnya.

"Sebenarnya ahli jawatankuasa masjid, biro dakwah, memberi maklumat kepada saya pada saat-saat terakhir. Perkara ini di luar pengetahuan saya pada asalnya."

Jelas Nasruddin lagi, beliau juga tidak dapat merujuk sebarang garis panduan kerana isu melibatkan kemasukan orang bukan Islam ke majlis, setakat ini, belum ditetapkan oleh Jais.

"Masalahnya, Jais belum ada satu apa pun garis panduan atau apa-apa berkenaan perkara ini," katanya.

Beliau bagaimanapun berpendapat, seseorang bukan Islam tidak sepatutnya dilarang memasuki masjid kerana ada juga masjid yang perlu dimasuki oleh bukan Islam untuk tujuan-tujuan lain, termasuk penyelenggaraan.

"Saya fikir begitu, contohnya kontraktor yang buat masjid atau yang masuk masjid untuk baiki lantai marmar dan sebagainya, jadi perkara ini bukan menjadi satu isu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini