17 November 2009

Laman Web Pejabat Kerajaan Negeri Selangor bertaraf 5 bintang

Hanya tujuh laman web atau 0.65 peratus daripada 1,192 portal dan laman web kendalian kementerian serta agensi kerajaan yang disenaraikan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) memperoleh penilaian lima bintang, kata ketua setiausaha negara.

Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata maklumat daripada laporan 'Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Malaysia 2009' itu ternyata amat mengecewakan kerana ia jelas menggambarkan angka laman web yang mendapat kualiti tinggi adalah sangat kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan.

"Semua ketua jabatan perlu melakukan sesuatu bagi memulihkan imej mereka dan mendapatkan semula keyakinan rakyat.

"Saya harap hasil laporan MDEC ini diambil serius oleh mereka yang berkenaan dan saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa arahan memandangkan mereka ini bukannya golongan tidak cerdik, jadi sepatutnya mereka faham sendiri tentang tanggungjawab mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar 'Perubahan 1Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan Dalam Talian: Amalan Utama Untuk Berubah" di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata laman web yang mendapat pengiktirafan lima bintang itu ialah laman web kendalian Kementerian Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pejabat Kerajaan Negeri Selangor dan portal myGovernment.

"Hasil laporan itu juga sebenarnya satu cabaran kepada mereka jika tujuh laman web ini boleh mendapat penilaian lima bintang, jadi kenapa selebihnya tidak boleh mendapatkan pengiktirafan sama," katanya.

Mohd Sidek berharap agar kementerian dan agensi yang belum mencapai tahap membanggakan diminta untuk mencari jalan bagi menambah baik kandungan laman web kendalian mereka.

Beliau berkata antara kriteria diambilkira oleh MDEC untuk mendapat pengiktirafan itu ialah keupayaan laman web itu diakses oleh pengguna, menyediakan capaian dalam dwibahasa untuk memudahkan pengguna berurusan dan selalu dikemaskini.

"Usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan yang berfokuskan pelanggan bukan saja perlu bermatlamatkan yang terbaik saja, tapi perlu manfaatkan teknologi serta dilaksanakan secara inovatif.

"Transformasi dalam perkhidmatan awam perlu dilaksanakan seberapa segera dan teratur memandangkan sektor awam adalah sektor kritikal dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan boleh mencapai sasaran ditetapkan,” katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini