06 November 2009

TIADA larangan JAIS halang bukan Islam masuk Masjid

Seorang ahli jawatankuasa Masjid Taman Sri Andalas mempertahankan tindakan menjemput exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar berucap di satu majlis berbuka puasa di situ, Ogos lalu.

Mohamad Tarmizi Ismail berkata, setakat ini tidak ada arahan rasmi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang melarang masjid-masjid di negeri itu dimasuki oleh orang bukan Islam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk mengambil tindakan terhadap jawatankuasa majlis itu kerana membenarkan Dr Xavier, yang juga ADUN PKR bagi Seri Andalas, berucap di dewan utama masjid itu.

Kehadiran Dr Xavier di masjid tersebut dibantah oleh pergerakan Pemuda Umno Kota Raja yang menghantar memorandum kepada Jais memintanya menyiasat tindakan jawatankuasa masjid itu.

"Setakat ini tidak ada apa-apa arahan kepada masjid yang melarang orang bukan Islam daripada memasuki masjid," tegas Mohamad Tarmizi.

"Sepatutnya Jais keluarkanlah arahan rasmi (dahulu) supaya jelas kepada seluruh umat Islam di Selangor," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa masjid berkenaan akan bermesyuarat malam ini berhubung bantahan Pemuda Umno tersebut.

Ditanya mengenai kenyataan pengarah Jais itu bahawa orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita Islam yang didatangi haid, Mohamad Tarmizi menjawab:

"Itu saya tidak boleh jawablah, sebab saya bukan mufti.

Reaksi Dr Xavier

"Tapi kalau kita sekat orang bukan Islam datang ke masjid, macam mana kita nak sampaikan dakwah kepada mereka?

"Tapi Masjid Negara dan Masjid Putrajaya pun boleh dikunjungi oleh orang bukan Islam.

"Masjid-masjid ini sediakan jubah untuk wanita bukan Islam supaya mereka menutup aurat ketika masuk masjid," tambahnya.

Menurut Mohamad Tarmizi lagi, Masjid Taman Sri Andalas bagaimanapun tidak mempunyai prasarana sebegitu untuk kemudahan wanita bukan Islam menutup aurat.

Jelasnya lagi, Dr Xavier sekadar memberi ucapan aluan di majlis berbuka puasa tersebut yang dihadiri kira-kira 300 orang jemaah.

"Beliau cuma berucap alu-aluan saja, bukannya ceramah atau apa. Berucap pun sekejap saja sebab pada masa itu sudah dekat hendak berbuka sangat," kata ahli jawatankuasa itu.

Tambahnya, selain Dr Xavier, turut berucap di majlis itu ahli parlimen PAS bagi Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu, akhbar Sinar Harian hari ini memetik Dr Xavier sebagai menafikan dakwaan di laman blog yang beliau memberikan ceramah di masjid tersebut.

Beliau dilaporkan ke masjid tersebut bagi memenuhi undangan majlis berbuka puasa bersama penduduk kawasan terbabit memandang exco kesihatan dan hal-ehwal bukan Islam itu seorang ADUN di situ.

Dr Xavier mengakui memasuki masjid tersebut tetapi hanya memberi ucapan alu-aluan di majlis tersebut yang disifatkannya sebagai aktiviti bersama rakyat yang sentiasa beliau penuhi.

Berita berkaitan - Dr Asri selar kenyataan Pengarah JAIS

1 comment:

  1. Bukan Islam memasuki masjid bukanlah suatu isu, namun perkara yang menjadi kebimbangan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah tentang umat Islam di negara ini yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca yang perlu diberi perhatian sama ada oleh UMNO mahupun PAS termasuk juga mereka yang mengaku diri sebagai Islam di dalam KEADILAN. Keadaan itu berlaku titah baginda, akibat pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah. Raja Dr. Nazrin bertitah, pemimpin sedemikian mungkin menyimpang daripada prinsip asas Islam yang sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah kerana merelakan agamanya dicemari dan umatnya dihina. Mengambil contoh penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iran, titah baginda, ia bermula daripada pemesongan di kalangan pemimpin yang rela membuka laluan kepada orang bukan Islam untuk melakukan pencerobohan serta kemusnahan terhadap bumi dan umat Islam itu sendiri

    http://celahgelegar.blogspot.com/2010/08/bukan-islam-boleh-masuk-masjid.html

    ReplyDelete

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini