11 July 2010

Tambahan 3 kerusi Ahli Majlis untuk DHPP Selangor

PAS mula melaksanakan janjinya untuk memberikan tempat kepada ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) apabila empat dari mereka dilantik menjadi ahli majlis kerajaan tempatan di bawah kouta PAS.

Mereka yang dilantik dan mengangkat sumpah di depan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Ali adalah K. Deepakaran yang dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang, S. Arun (Hulu Selangor), S. Lakshmanan (Kuala Selangor) dan Low Hock Khieng (Selayang).

S. Lakshmanan atau Letchumanan merupakan Pengerusi DHPP Selangor merangkap Pengerusi DHPP PAS Kawasan Kota Raja yang mengekalkan jawatan tersebut sejak 2 tahun yang lalu.
 
PAS mendapat 67 kerusi ahli majlis kerajaan tempatan di Selangor.

Antara sumpah atau ikrar mereka adalah mereka akan meletakkan jawatan serta-merta dan membayar ‘ganti rugi’ jika mereka tidak lagi bersama PAS.

Ketika ditemui wartawan, Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri mengakui, “saya percaya ini kali pertama PAS melantik kalangan bukan Islam sebagai ahli majlis di Selangor".

Sebelum ini, Kelantan telah melaksanakan perkara ini di mana orang bukan Islam yang menyokong PAS dilantik sebagai ahli majlis kerajaan tempatan atau penghulu untuk mukim atau kampung mereka di samping penghulu tanpa mukim.

Yang pasti, ia memang satu rekod lebih-lebih lagi selepas pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS, hasil dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS berusia enam tahun.

Ekoran langkah dinaik taraf, dewan itu telah menghantar wakil mereka dan berucap pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Kota Baru bulan lalu.

“Saya percaya ini kali pertama PAS berbuat demikian... kami hendak mengiktiraf peranan penyokong-penyokong bukan Islam yang menyokong kami selama ini,” katanya.

“Memang semasa kami mengemukakan nama kepada kerajaan negeri ada yang terkejut apabila calon bukan Islam dikemukakan... tetapi ini cara kami mengiktiraf peranan mereka dalam PAS,” katanya.

Ini kali ketiga kerajaan negeri Selangor membuat pelantikan ahli majlis sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri itu bermula Mac 2008.

Memandangkan ini kali pertama PAS khususnya PAS Selangor membuat pelantikan ahli majlis kalangan bukan Islam, sesi angkat sumpah taat setia kepada parti menjadi tumpuan mereka yang menghadiri majlis malam tadi.

Ahli-ahli majlis beragama Islam membacakan bai’ah manakala bukan Islam pula ikrar aku janji.

Malam tadi, mereka juga menandatangani surat letak jawatan sebagai langkah berjaga-jaga jika melompat ke parti lain ataupun tidak lagi menjadi ahli PAS.

Di bawah bai’ah mana-mana ahli PAS yang keluar parti atau menyertai parti dikehendaki meletakkan jawatan dan segala pendapatan wakil itu dan anggota keluarganya akan dianggap “haram”.

PAS lazimnya mengamalkan bai’ah semasa pemilihan calon pilihan raya.

Ahli-ahli bukan Islam pula dikehendaki meletakkan jawatan dan membayar balik segala pendapatan dan elaun yang diperolehi ketika memegang jawatan sebagai ahli majlis.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini