Aku membelek barang peninggalan ayah. Dompet ayah ku simpan didalam poket seluar bimbang direbut kembali oleh anak ayah yang ke 11 daripada 12 adik beradik kami. Aku ingin menyimpannya sebagai antara barangan kenangan paling berharga buat diriku. Baju-baju ayah tersusun rapi didalam almari. Banyaknya baju pemberian anak menantu tetapi semasa hayat ayah masih juga mengenakan kemeja lama lagi lusuh. Ayah masih menggunakan kain pelikat yang dah hampir reput walaupun berpuluh hadiah kain pelikat baru yang tersimpan tidak digunakan sehingga boleh difaraidkan kepada anak menantu malah kepada sahabat ayah. Ayah seorang yang amat penjimat. Mungkin kerana dek susahnya kehidupan keluarga kami semasa ayah mula-mula menjadi peserta peneroka felda. Berjimatnya ayah sehingga kami terpaksa berlapar kerana tiada makanan dirumah walau ayah ada simpanan dibank. “Esoklah ayah menoreh dan dapat duit nanti ayah akan beli makanan” pesan ayah kepada kami sekeluarga.
Namun ayah sebenarnya paling tidak lokek untuk berbelanja bila anaknya bersekolah berasrama dan menjejakkan kaki kemenara gading. Pada waktu beginilah tiba-tiba ayah menjadi pemurah. Rupanya kedekut ayah kerana menyimpan untuk anak-anaknya belajar. Betapa susahnya ayah membanting tulang untuk mengumpul wang dan betapa ayah lebih rela mengikat perut dan menyimpan wang untuk persekolahan anak-anak. Kerana itu aku amat sedih bila ayah menyerahkan wang sebanyak RM2000 untuk perbelanjaan dimenara gading. Satu jumlah yang cukup besar ketika itu.
Ayah telah diduga dengan penyakit yang sukar diubati. Sakit ayah ditanggung selama berbelas tahun. Sudah puas berubat dengan doktor pakar dan perubatan alternatif tanpa membuahkan hasil sehingga ayah dijemput oleh penciptanya pada tanggal 19 feb 2012. Kasihannya ayah, bertahun-tahun ayah menderita penyakit disamping karenah membesarkan 12 orang anak. Pengorbanan ayah cukup besar sehinggakan nabi pernah berpesan kepada seorang sahabat sebaik-baik amal adalah berbaik kepada kedua ibubapa. Pemergian ayah kutangisi semahu-mahunya kerana aku sangat kasihkan ayah dan sedihnya aku, tempoh peluang untuk berbakti semasa hayatnya telah tamat. Aku memandikan jenazah ayah, menyediakan kain dan mengapankan ayah. Aku cium dahi ayah semahu-mahunya sebelum aku menutup kain kapan ayah. Itulah ciuman terakhir dari anaknya. Doa ku untuk ayah selagi mampu akan kupanjatkan kehadrat Allah siang malam mengharapkan keampunannya. Alfatihah.
Sdra ku Shamsul
ReplyDeleteAku melihat semua yang kamu lakukan terhadap Allahyarham Ayahanda mu bermula disaat jenazah dimandikan hingga akhir. Syukurlah sebagai anak kamu telah melakukan yg terbaik.
Aku juga mengakagumi sifat & sikap Ayahanda mu terhadap perjuangan yang kita sama-sama dokong ini. Kali terakhir aku, Iqbal & Tok Batin bertemunya ketika PRK Hulu Selangor tempuh hari ... beliau tidak henti bercerita tentang perjuangannya bersama PAS.
A-Fatihah, aku yakin dia pergi sebagai Ansorullah ... semuga kamu terus bersemangat meneruskan legasi perjuangan beliau.
Amin ....
aku juga bersyukur kerna kamu tergolong dalam insan2 yang menyayangi ibu bapa. Tahniah kerna kasih sayangmu . takziah kerna perpisahan dgn insan tercinta
ReplyDelete