02 February 2012

Kita Fokus PRU 13

Semua ahli PAS diseru memberi fokus kepada persiapan Pilihan Raya Umum ke-13 dan tidak perlu melayan isu-isu yang dibangkitkan oleh bekas Exco Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dr Hasan berhak memperkatakan apa sahaja yang beliau mahu namun PAS tidak akan melayannya, lebih-lebih lagi bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu juga sudah dipecat dari parti itu.

"Kita ambil sikap tak layan lah sebab kita anggap dia bukan lagi ahli PAS dan dia nak kata apa pun itu pandangan dia.

"Dalam konteks parti ini bukan tumpuan utama buat masa ini sebab seluruh jentera kita harus fokus kepada pilihan raya," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pendirian PAS terhadap siri jelajah oleh Dr Hasan yang antara lain menyerang beberapa pimpinan parti itu.

"Walau apapun, kita akan pantau perkembangan dia (Hasan) dan bagaimana serangan dia kepada PAS.

"Kalau kita lihat serangan itu bersifat fitnah atau sebagainya, kemungkinan ada pihak akan ambil tindakan undang-undang secara peribadi," katanya.

Mengulas penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jati oleh Dr Hasan pula, Tuan Ibrahim yakin ianya tidak menjejaskan PAS sama-sekali.

Malah sebagai sebuah negara demokrasi, Dr Hasan sememangnya berhak berbuat demikian dan PAS sama sekali tidak menghalang.

"Nak tubuh NGO Jati ke apa ke, ikut dia la sebab negara kita dasar terbuka dan dia bebas untuk tubuhkan apa-apa dia mahu," tegas Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim ketika mengulas perkara itu kepada beberapa media sebelum ini berkata, penubuhan NGO Jati itu juga bukan satu ancaman kepada PAS.

Malah beliau juga yakin ahli PAS sendiri tidak mudah terpengaruh dengan isu yang dibawakan Dr Hasan itu.

Tuan Ibrahim berkata, melalui tinjauan yang dijalankan dalam kalangan ahli parti, penubuhan Jati dan pelbagai isu yang dibawakan Hassan tidak menjejaskan pendirian dan kesetiaan ahli terhadap parti.

“Buat masa ini, kita tidak mahu melayan dan rasa terganggu dengan ‘kemuncup’ yang ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini