01 March 2010

Bicara hati Khalid Samad, Dr. Mariah & Ust Idris Ahmad

Malam ini  tepat jam 9.00 mlm bertempat di Dewan Dato Fadhil Nor Bukit Naga akan berlangsung Forum Perginya seorang Pejuang bagi memperingati kembalinya kerahmatullah Almarhum Ustaz Hj Hambari Hj Nor kira-kira 2 minggu yang lalu.

Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS pusat yang setiap bulan hadir ke Dewan Bukit Naga untuk menyampaikan kuliah hiraki, YB Dr Siti Mariah dan YB Khalid Samad yang sudah belasan tahun bersama kami di kota Raja adalah antara pimpinan PAS yang mengenali Almarhum secara rapat kerana selepas atau sebelum program parti mereka semua pasti kerumah Almarhum untuk menikmati jamuan yang di sediakan oleh Almarhum Ust dan Isteri.

Sebelum Forum bermula hadirin akan ditayangkan dengan Video Klip penglibatan dan perjuangan Almarhum semasa hayatnya yang diusahakan oleh Sdr Shamsul, Sdr Azmi Awang, Sdr Syed & Sdr Razif.

Pada pagi Ahad 21 Februari 2010 saya telah menerima SMS dari beberapa orang sahabat membawa berita sedih mengenai kembalinya seorang sahabat ke Rahmatullah, Ustaz Hambari. Almarhum merupakan seorang aktivis PAS yang penuh dedikasi dan begitu bermurah hati. Markas PAS Bukit Naga dibina atas tanahnya yang telah beliau wakafkan kepada PAS Kawasan Kota Raja. Sebahagian besar dari sumbangan untuk pembinaan Markas itu pun datang dari almarhum sendiri. Tidak cukup dengan sumbangan wang, beberapa kali saya telah melihat beliau bersama sahabat setia beliau, Hj. Maskuri bertukang, membina Markas tersebut dengan tangan mereka sendiri. 

Hasil dari pengorbanan dan dedikasi almarhum selama ini, maka telah terdiri Markas Bukit Naga, tempat di mana berpuluh ceramah telah dianjurkan semenjak 2001 lagi. Di situ juga terdapat PASTI Saidatina Aisyah yang turut berjalan dengan jayanya.

Saya mengenali almarhum semenjak menjadi YDP PAS Kawasan Shah Alam pada tahun 1997. Pada waktu itu, persempadanan baru belum lagi dilakukan dan oleh itu Jalan Kebun, Johan Setia, Kg. Jawa, Bukit Naga dan beberapa lagi tempat masih terletak di dalam kawasan Parlimen Shah Alam. Sejak pertemuan pertama lagi saya telah merasa kagum dengan keikhlasan almarhum. Almarhum merupakan AJK Cawangan dan penasihat PASTI, namun saya yakin baginya jawatan bukanlah sesuatu yang penting. Apa yang penting adalah melihat PAS benar-benar kuat dan bertapak di Shah Alam.

Saya masih ingat lagi pada suatu malam apabila saya diminta oleh Dato’ Kamaruddin Jaafar, SU Agung PAS pada ketika itu, untuk turun bertemu dengan ahli PAS Kota Raja di Markas Bukit Naga. Pertemuan itu adalah untuk memaklumkan kepada ahli dan pimpinan kawasan Kota Raja bahawa kemungkinan besar PAS akan hanya bertanding di DUN Seri Muda dan oleh itu Parlimen Kota Raja bersama DUN Sri Andalas akan diserah kepada PKR. Oleh kerana saya TPJ pada ketika itu maka saya pun turut sekali untuk membantu Dato’ KJ yang begitu keberatan untuk menyampaikan berita tersebut. Seperti yang dijangka pertemuan itu diselubungi kesedihan dan tiada yang lebih sedih, saya lihat pada malam itu, selain almarhum Ustaz Hambari.

Pada 2004 PAS telah bertanding di Parlimen Kota Raja dan begitulah harapan kawasan untuk 2008. Almarhum turut berucap pada malam itu memohon diusahakan supaya PAS dapat bertanding juga diperingkat Parlimen kerana semangat ahli begitu tinggi dan usaha pun telah banyak digembeling sehingga jentera PAS berada diperingkat kekuatan yang optimum bagi menghadapi PRU ke 12. Saya mendengar ucapan almarhum yang penuh keikhlasan dengan penuh teliti dan melihat matanya sudah mula berlinangan. Almarhum khuatir ahli akan merasa kecewa dengan keputusan pimpinan untuk melepaskan Parlimen Kota Raja sedangkan ianya antara kerusi yang boleh membuktikan bahawa PAS mampu menang di kawasan majoriti pengundi orang bukan Islam sekiranya pendekatannya yang diambil adalah tepat.

Selepas pertemuan itu, apabila diadakan perbincangan dengan wakil PKR Selangor, usaha telah dilipat-kali gandakan untuk mendapatkan persetujuan mereka supaya PAS diberi Parlimen Kota Raja dan akhirnya, berkat usaha dan doa semua pihak, Alhamdulillah, telah berjaya.

Sebagai manusia biasa, kita tak boleh tidak, akan dipengaruhi oleh mereka yang kita kenali. Ada di kalangan kenalan kita ini yang mampu memberi dorongan kepada kita untuk berjuang dan berkorban. Sebahagian dari mereka adalah pimpinan dan sebahagian besar adalah ahli biasa. Mereka ini berjuang bukan kerana jawatan dan tanpa mendapat sebarang bentuk imbuhan. Kelompok yang besar ini tidak akan menjadi ADUN atau AP atau apa-apa jawatan sekalipun sekiranya menang. Namun mereka berjuang dengan gigih dan berkorban jauh lebih banyak dari yang memegang jawatan. Keikhlasan seperti inilah yang saya kagumi dan hormati.

Oleh itu, almarhum Ustaz Hambari merupakan salah seorang yang menjadi pendorong bagi diri saya secara peribadi. Keikhlasan beliau. Kesungguhan beliau untuk bekerja. Semangat memberi tanpa mengharapkan sesuatu balasan selain dari kemenangan Islam menjadi pendorong kepada ramai.

Semoga Allah merahmati beliau dan menerima beliau sebagai hambaNya yang ikhlas, yang tunduk kepada perintahNya. Semoga diampunkan dosa-dosanya dan dimasukkannya ke dalam syurgaNya.

Bagi kita yang tinggal, teruskan perjuangan dan sama-samalah kita berusaha untuk mencontohi keikhlasan dan pengorbanan almarhum. Semoga Markas Bukit Naga akan terus hidup dengan program yang menyeru manusia ke jalan ketaatan kepada Allah. 

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD
 Update: Jabatan Perancangan MBSA telah bersetuju supaya nama lorong ke Markas PAS Kota Raja dinamakan sebagai lorong Hj Hambari dan didaftarkan di dalam perancangan MBSA. 

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini