KUALA LUMPUR, 12 Mac: Ahli Parlimen Wanita Pakatan Rakyat menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mengiktiraf penyertaan kaum wanita dalam pelbagai sektor sama ada sektor awam atau swasta.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, peranan wanita tidak boleh dinafikan untuk memastikan keseimbangan dalam sesebuah kerajaan yang memerintah.
"Tuanku sultan meletakkan harapan 30 peratus pencapaian wanita dalam peringkat pembuat keputusan sama ada sektor korporat atau sektor awam. Ini adalah satu penghormatan dan kepercayaan yang diberi kepada kaum wanita.
"Wanita mengharapkan dengan harapan yang cukup tinggi, ucapan yang begitu menyeluruh seolah-olah satu persiapan kerajaan yang bakal ditubuhkan selepas PRU 13 nanti adalah kerajaan yang bersih, amanah, berintegriti, telus dan mengambil kira kepentingan semua pihak," kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu ketika ditemui selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula berpandangan, kerajaan tidak perlu menunggu 2015 untuk melaksanakan sasaran penyertaan 55 peratus wanita dalam tenaga kerja.
ini kerana katanya, ianya boleh dilaksanakan sekarang jika semua dasar untuk memudahkan penglibatan wanita dalam sektor profesional dilaksanakan.
"Alhamdulillah, isu wanita dijadikan salah satu isu utama dalam titah Yang di-Pertuan Agong. Hanya kita sedia maklum ianya masih tinggal dasar yang masih belum meluas pelaksanannya. Justeru kita tekankan dalam mana-mana usaha pengumuman kerajaan mesti berlandaskan pelaksaan.
"Pada saya bila disebut Tuanku sultan tentang penyertaan 30 peratus wanita ini, kita perlu buat sekarang dan pastikan semua pimpinan dan Ahli Parlimen tidak mengira parti melaksanakannya.
"Tak perlu tunggu 2015. Kita boleh laksanakan sekarang dengan memastikan semua dasar yang memudahkan wanita bekerja khususnya tempat jagaan anak-anak, tempat menyusu anak-anak yang baru lahir dan juga cuti bersalin 90 hari dibaut sekarang," katanya yang juga Naib Presiden PKR.
Yang di-Pertuan Agong dalam titahnya menyebut bahawa kerajaan akan memulakan inisiatif untuk menarik lebih ramai wanita yang berkelayakan profesional kembali ke pasaran pekerjaan bagi mencapai sasaran penyertaan 55 peratus wanita dalam tenaga kerja pada tahun 2015.
Tuanku Sultan juga percaya kaum wanita mampu menyahut cabaran dan meningkatkan potensi diri untuk memberi sumbangan lebih besar yang akan memancarkan sinar kecemerlangan masa depan negara.
No comments:
Post a Comment