Hari Raya Aidilfitri adalah hari perayaan umat Islam seluruh dunia bermula 1 Syawal menurut kalender Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.
Aidilfitri adalah perayaan terbesar di Malaysia dan Politik + kita dapat lihat sendiri betapa sambutannya begitu meriah apatah lagi ia turut diraikan oleh pelbagai lapisan kaum dan agama di Malaysia sejak dahulu lagi. Kunjung mengunjung, bermaaf-maafan antara satu sama lain dan bersedekah seperti menjadi ritual pada hari mulia ini.
Kotaraya yang lengang kerana penghuninya pulang ke kampung akan kembali sibuk semula seminggu kemudiannya sebab pesta rumah terbuka pula akan bermula di kota ini sehinggalah kadang-kadang terlajak melepasi bulan Syawal. Ini sudah jadi budaya kita.
Anehnya amalan yang digalakkan Islam ketika menjalani ibadah puasa dan berhari raya bertentangan pula dengan kerja-kerja politik di Malaysia.
Ramadan yang tenang dan menuntut umatnya lebih bersabar dirosakkan dengan agenda fitnah, adu domba serta bermacam-macam bentuk perkara keji lagi. Pada bulan Ramadanlah Rasulullah SAW dan sahabat mengharungi Perang Badar melawan kezaliman tetapi pemerintah di Malaysia telah menahan seorang rakyat Malaysia (baca: Rafizi Ramli) yang salahnya (salahkah?) membongkar beserta bukti kes penyelewengan bekas seorang menteri wanita dan perniagaan keluarga menteri tersebut.
Pembohongan berita dan kenyataan berat sebelah masih berleluasa di dalam media arus perdana. Isu air di Selangor terus dimainkan oleh Kerajaan Pusat untuk memburukkan imej kerajaan negeri Selangor selain berita sebelah pihak mengenai Talam Corp dan hutang Unisel yang semuanya seperti menampakkan salah di tangan musuh politik pemerintah.
Penekanan Islam terhadap berlaku adil dan memberikan keutamaan kepada rakyat ditendang ke dalam bakul sampah demi mempertahankan sebuah kuasa.
Paling teruk lagi rakyat dididik dengan pemahaman politik gula-gula yang cukup menghina fikrah dan maruah apabila bonus, BR1M, hamper dan ang pow dijadikan senjata untuk meraih sokongan kepada mereka. Pemberian itu sedikit sahaja tetapi perlu dipublisitikan untuk kepentingan politik.
Didikan politik mual ini diterapkan untuk membentuk pemikiran rakyat bahawa rakyat mestilah dalam keadaan “perlu ditolong” dan pertolongan mestilah dalam bentuk hadiah dan sedekah walhal yang digunakan adalah duit rakyat. Inilah "Ajaran Sesat" yang paling menghina dan merendahkan martaban insaniah.
Rakyat tidak perlu tahu bahawa sebenarnya wang itu puncanya adalah dari hasil kekayaan negara serta dari cukai yang kita bayar sendiri yang memang wajib diagihkan semula oleh mana-mana kerajaan yang memerintah kerana tugas pemerintah adalah menguruskan kekayaan negara dengan baik dan memulangkannya semula kepada rakyat.
Pemerintah terus mengajar rakyat konsep “Tuan dan Hamba” iaitu kerajaan itu tuan yang wajib ditaati supaya hamba (rakyat) akan terus dapat menikmati labanya. Teruslah rakyat percaya yang peranan ahli politik ini adalah menjaga longkang, sampah dan jalan selain menziarahi kenduri kahwin atau pun membuat rumah terbuka pada hari raya nanti.
Rakyat yang sudah dididik ajaran sesat ini akan terus menagih "ang pow" selamanya dan bukanlah memikirkan wawasan serta masa hadapan Malaysia yang cemerlang.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.
No comments:
Post a Comment