"ANAK muda kini tidak patriotik langsung!"
Tentu kita pernah mendengar rungutan ini. Tetapi adakah adil untuk terus menyalahkan segelintir golongan muda kerana mereka gagal memperlihatkan jiwa patriotisme?
Menjawab persoalan ini, Presiden Institut Pengurusan Malaysia, Tun Mohammed Haniff Omar berkata, masalah ini wujud kerana generasi sebelum mereka tidak memberikan pengisian dan teladan supaya generasi seterusnya menghayati erti mencintai negara.
"Berbezanya semangat patriotisme generasi lama yang lebih berkobar berbanding generasi baru antara sebabnya kerana generasi terdahulu secara kolektif tidak memberikan anak-anak muda kini pengisian dan teladan seperti mana yang telah mereka peroleh daripada orang-orang terdahulu
"Malah, pendekatan yang diberikan kepada generasi baru berhubung pengertian sayangkan negara telah banyak menyimpang, kerana itu mereka juga menyimpang di dalam menterjemahkan pemahaman mengenai semangat patriotisme kepada negara," katanya.
Beliau berkata, penekanan terhadap mata pelajaran sejarah dan kesusteraan serta intisari subjek tersebut juga sangat berbeza berbanding pengisian pengajaran yang diberikan semasa peringkat persekolah sebelum memasuki era kemodenan yang mana lebih menitik beratkan kebendaan dan kemewahan.
"Oleh kerana itu, tidak wajar menyalahkan generasi muda kerana asas yang kita berikan kepada mereka pada awal telah menyimpang," katanya.
Beliau turut memetik kata-kata penulis Inggeris, John Selber dalam bukunya Straight Shooting, menyatakan 'kenapa nak menyalahkan generasi baru apabila tidak menyamai kita setelah kita sendiri dan secara kolektif tidak memberikan mereka pengisian dan teladan sama seperti yang diberikan kepada kita oleh ibu bapa kita'.
Katanya, perbezaan generasi baru dengan generasi lama adalah semula jadi namun, apabila menyentuh soal sahsiah; akhlak; pegangan; dan nilai hidup, golongan ini tidak mungkin boleh jauh berbeza sekiranya pengisian didikan; ilmu; ajaran; dan persekitaran di mana mereka dibesarkan diberi penekanan kerana ciri-ciri pengisian inilah yang menentukan corak dan tahap patriotisme seseorang.
No comments:
Post a Comment