PETALING JAYA, 28 Dis — Dilihat sebagai isyarat arah aliran menjelang pilihan raya umum ke-13, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan melaksanakan dasar gaji minimum dilaksanakan secepat yang mungkin.
“Seberapa segera. Ya, keyakinan saya tinggi (akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum),” kata Syed Shahir Syed Mohamud pada sidang media selepas berucap merasmikan persidangan tiga tahun sekali MTUC di Rumah Peladang di sini hari ini.
“Kami akan menyokong mana-mana parti yang menghormati hak-hak pekerja,” kata beliau sambil menambah, walaupun ramai ahli MTUC berlainan parti tetapi dalam isu pekerja “kami bersatu.”
MTUC dilihat akan meletakkan ia sebagai salah satu perkara yang akan dituntut pihaknya pada pilihan raya umum ke-13.
Isu gaji minimum menjadi isu diperjuangkan MTUC sejak enam dekad yang lalu.
Baru-baru ini kerajaan sudah menyatakan keputusan mahu mewujudkan dasar gaji minimum dan kemungkinan dilaksanakan Jun depan.
MTUC mempunyai 500,000 ahli dengan 260 kesatuan gabungan.
Gaji minimum dijangaka akan memanfaatkan tiga juta pekerja secara langsung.
Pada 19 Oktober lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata, Kabinet telah memberi kelulusan melaksanakan polisi gaji minimum menerusi Majlis Konsultasi Gaji Negara.
Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan menggubal akta baru untuk membolehkan majlis tersebut ditubuhkan bagi penetapan kadar dan mekanisme gaji minimum.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2011 mengumumkan penubuhan majlis itu, yang akan menjadi platform utama penentuan gaji di negara ini.
Syed Shahir yang bertanding mempertahankan jawatannya berkata, sebagaimana masa-masa lalu MTUC akan menyediakan memorandum tuntutan untuk perhatian parti-parti politik menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Sesiapa yang terpilih nanti diharap akan mengadakan pertemuan Majlis Am untuk membincangkan pendirian MTUC dan dibawa untuk perhatian parti-parti politik yang bertanding.
“Di negara-negara lain, apabila ada pilihan raya parti-parti politik yang bertanding akan mengajak kesatuan sekerja untuk bertanya mengenai tuntutan pekerja,” kata beliau.
Syed Shahir juga berkata, sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, MTUC boleh memanggil mesyuarat khas Majlis Am bagi tujuan membincangkan isu-isu yang hendak dituntut.
Hari ini, selain dasar gaji minimum, beliau juga menyertakan isu melanjutkan usia persaraan pekerja sekerja swasta, cuti bersalin 90 hari, dana pemberhentian pekerja dan pindaan undang-undang perburuhan antaranya Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kerja yang tidak merugikan kaum pekerja.
MTUC pernah mengemukakan tuntutan pekerja ketika pilihan raya umum 2004 dan 2008.
Sementara itu, dalam ucapannya, Syed Shahir yang menerajui MTUC sejak 2004 berkata, kongres itu mahu gaji minimum RM900 dan elaun kos sara hidup RM300 dijadikan sebagai asas gaji minimum.
“Ia adalah satu pendapatan yang munasabah pada masa kini bagi seseorang pekerja untuk memenuhi tuntutan kehidupan manusiawi sebagai seorang pekerja di negara ini.
“Beberapa siri kempen dan forum gaji minimum yang dianjurkan MTUC melalui media elektronik dan media alternatif telah mendapat respons yang baik daripada pelbagai pihak serta memberi impak besar ke arah merealisasikan harapan semua pekerja di Malaysia terhadap gaji minimum.
“Sehubungan itu, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan draf undang-undang gaji minimum dalam usaha melaksanakan gaji minimum di pelbagai sektor pekerjaan dalam negara,” katanya lagi.
Katanya, pada masa yang sama MTUC tidak boleh merasa selesa dan alpa serta perlu terus mengambil langkah-langkah lain dengan memberi perhatian serius dalam usaha menjadikan MTUC terus relevan.
“Penubuhan Tabung Penamatan Pekerajaan, menjalankan program latihan, menghapuskan sistem pekerjaan kontrak dan ‘out sourcing’, mengurangkan penggantungan terhadap tenaga kerja asing, usaha meningkatkan kemahiran bagi mencapai pendapatan tinggi adalah merupakan di antara usaha tersebut,” katanya lagi...MI
No comments:
Post a Comment