11 December 2009

PAS kena respon segera

Ketua Penerangan DPP Pusat telah mengemukakan sesuatu yang menarik perhatian saya.

Katanya, Umno menuduh PAS dengan beberapa perkara iaitu;

(1) PAS tidak lagi menjadi juara isu-isu Islam,
(2) PAS telah mengikut telunjuk PKR dan DAP,
(3) PAS lebih mementingkan undi bukan Islam daripada perjuangannya yang sebenar, dan
(4) PAS tidak mampu meyakinkan kebaikan Islam kepada DAP.

Beliau meminta pandangan umum terhadap tuduhan itu dan bersekali dengan cadangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagi saya, Ketua Penerangan Pemuda PAS berani berhadapan dengan realiti. Samada tuduhan itu benar atau salah, itu persoalan lain. Apa yang penting ialah tuduhan itu berjaya membentuk persepsi umum kepada PAS.
Justeru, tuduhan itu tidak perlu dijawab kepada Umno tetapi hendaklah dijadikan sebagai muhasabah kepada PAS untuk merangka strategi menolak tuduhan itu. 

Menyalahkan Umno dengan tuduhan itu memang mudah tetapi itu tidak kemana. Malah dalam keadaan tertentu menyalahkan Umno akan menguatkan sangkaan umum bahawa apa yang dituduh kepada PAS itu mungkin benar.  

PAS berhadapan dengan Islam yang dimomokkan oleh Umno. Bila PAS sebut Islam, maka Umno akan mencelah bahawa Islam PAS adalah potong sana-sini, haramkan semua benda, pinggirkan orang bukan Islam dan macam-macam lagi. Justeru, gambaran negatif mengenai Islam yang bakal dilaksanakan oleh PAS yang ditempel dengan keburukan oleh Umno hendaklah dibersihkan. Bagaimana?

Suburkan dialog antara agama atau budaya. PAS tidak kekeringan tokoh berwibawa untuk merencana dialog ini. Dialog tersebut tentunya bukan untuk saling menyalahkan antara satu agama dengan agama yang lain, tetapi mencari ruang-ruang untuk saling menerima kelainan.

Dialog antara agama atau budaya ini bukan sekadar ‘majlis dialog’ dan ia habis di situ. Ia hendaklah diinstitusikan. Maksudnya, PAS perlu menubuhkan sebuah jabatan atau majlis (namakan apa sahaja) yang berfungsi secara khusus untuk menangani isu-isu salah tanggapan kepada Islam.

Dan, tidak menjadi suatu kesalahan PAS mempelopori juga penubuhan sebuah badan yang mengumpulkan para cendekiawan pelbagai agama bertujuan mencari titik-titik yang memungkinkan wujudnya perasaan saling menerima dalam kepelbagaian beragama. 

Dan paling penting tidak ada sebarang permusuhan terhadap Islam. Selama ini Islam sering ditampilkan sebagai musuh kepada agama lain. Orang Islam pula adalah musuh kepada orang beragama lain. Begitu pula sebaliknya sikap penganut agama lain kepada Islam dan orang Islam. Kelainan dijadikan modal untuk bermusuh.

Kenapa ada orang yang masuk Islam dimusuhi oleh keluarganya? Kerana orang bukan Islam menganggap bila seseorang itu masuk Islam maka putuslah hubungan anak dan ibu atau bapa, adik dan abang atau kakak. Akibatnya, apabila tidak tahan dengan tekanan, murtad semula. Bukankah itu berpunca daripada salah gambaran mengenai ajaran Islam sebenar?

Ok, setakat ini dulu dan kalau ada kesempatan, tulisan ini mungkin disambung. Cuma jangan tuduh saya mempromosikan Islam Liberal dengan tulisan ini cukuplah. sumber

Oleh AF Ust Zolkharnain Abidin, Kangar Perlis @ bila sauh dibongkar

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini