25 December 2011

Jangan pandang remeh

Dapatan awal satu kajian oleh seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunjukkan 70 peratus responden daripada golongan belia kini berasa lebih dekat dengan kerajaan berikutan langkah yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendekati golongan itu.

Tinjauan terhadap belia melalui kajian yang dijalankan sejak 2010, berpendapat mereka menyambut baik penggunaan media sosial interaktif oleh Najib yang membolehkan golongan ini menghubungi Perdana Menteri secara langsung untuk memberi pendapat, idea dan juga kritikan mengenai pelbagai isu.
    
"Hasil kajian saya mendapati 70 peratus belia menyokong kerajaan kerana mereka seronok dan suka dengan pendekatan yang dilakukan kerajaan menerusi program-program yang dirangka.
    
"Itu adalah kuncinya untuk kerajaan mendekatkan diri dengan belia," kata pensyarah Sains politik di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Dungun (Terengganu), Che Hamdan Mohamed Razali kepada Bernama baru-baru ini.
    
Selain pendekatan melalui media sosial, katanya responden yang terdiri daripada golongan berusia antara 18 dan 40 tahun serta daripada pelbagai bidang pekerjaan termasuk pelajar, profesional hingga nelayan dan petani, berpendapat kerajaan pimpinan Najib juga kini lebih terbuka.

Rata-rata responden mengakui sedar akan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) yang semakin banyak melibatkan belia dan kepentingan mereka dalam merangka sesuatu program seperti rumah mampu milik untuk belia baru bekerja, bantuan kepada usahawan muda dan kemudahan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
    
Mereka menghargai sekecil-kecil usaha seperti Perdana Menteri duduk bersila bersama belia di jalan raya untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak, menganjurkan banyak kegiatan seperti futsal dan rancangan membina satu gelanggan futsal bagi setiap mukim.
    
Jadi adalah tidak benar jika dikatakan golongan belia suka menentang kerajaan dan 'anti-kerajaan' seperti yang cuba ditonjolkan pembangkang yang membawa belia ke jalan raya untuk berdemonstrasi dan bertindak tidak hormat terhadap pemimpin?
    
"Adalah menjadi sifat segelintir belia suka memberontak. Dapatan awal saya ialah belia ini bukanlah 'anti-kerajaan' seperti didakwa banyak pihak. Mereka cuma berjauh hati jika berasa dipinggirkan. Jika kerajaan memberi perhatian, mereka ini akan menyokong kerajaan," katanya.

Beliau berpendapat kerajaan perlu agresif memberikan penjelasan mengenai sesuatu perkara sekiranya tidak mahu golongan belia terus diracuni dengan maklumat dan fakta yang salah oleh pihak tertentu yang berkepentingan politik yang cuba menonjolkan golongan belia menyokong mereka.

Che Hamdan bagaimanapun belum bersedia memberikan perincian lanjut dapatan kajian itu atas alasan bahawa ia masih terus dijalankan dan akan hanya diumumkan sepenuhnya setelah selesai.
    
Rumusan awal beliau ialah belia tidak akan menggadai masa depan mereka semata-mata kerana janji-janji manis, sebaliknya mereka lebih bersedia bersama-sama bergelumang dan berusaha dengan kerajaan yang sudah terbukti mempunyai perancangan yang baik untuk masa depan mereka, malah mempunyai rekod yang terbukti.

Sementara itu, naib pesiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan belia dalam apa jua aspek termasuk Belanjawan 2012, malah menghargai dan terbuka menerima sebarang pandangan serta kritikan belia kepada kerajaan.
    
"Kerajaan telah melakukan yang terbaik dengan merancang pelbagai usaha untuk mendekatkan golongan belia dengan kerajaan. Jadi dakwaan mengatakan golongan belia anti kerajaan adalah tidak benar, cuma segelintir sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.
            
Selain mengiktiraf golongan belia dalam Belanjawan 2012, kerajaan juga sedia melakukan pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Mengenai penglibatan mahasiswa dalam politik negara, dan terbaru Perdana Menteri mengibaratkan golongan muda sebagai wira unggul yang mempunyai kuasa menjadikan program transformasi negara sebagai satu realiti.
    
Mengakui bahawa suara golongan muda mantap, Najib pada 12 Dis lepas berkata kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan dan idea golongan belia dan juga kritikan mereka supaya setiap program transformasi yang dirancang akan berjaya dengan penglibatan mereka.
    
Irmohizam yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam berkata hasil pemerhatiannya juga, ramai belia atas pagar kini menyukai kerajaan BN dan berterima kasih atas usaha-usaha kerajaan untuk melibatkan mereka dalam banyak isu dan projek.
    
Dalam pada itu, beliau mengakui memang terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menghasut golongan belia di universiti supaya membenci kerajaan hanya untuk kepentingan politik dan keghairahan merebut kuasa pemerintahan.
    
"Namun, belia yang terdedah kepada pelbagai maklumat tidak mudah menerima semuanya bulat-bulat tanpa memeriksa kebenarannya.

Begitu juga dengan janji-janji pembangkang, yang kami sedari sepenuhnya hanya gimik untuk meraih undi tanpa sebarang langkah konkrit diatur untuk belia seperti yang sudah dilaksanakan kerajaan BN sekarang," katanya.
    
-  Bernama

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini